Sabtu, 15 September 2018

Mengembala kambing sunah Rasulullah

ARKIB : 18/05/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
PEPERANGAN FUJJAR tentunya memberikan pengalaman yang menguji kekuatan, kepintaran, kepantasan dan kecekapan Rasulullah SAW. Namun untuk menjadi pemimpin umat malah pemimpin atau ketua dalam keluarga yang berjaya perlu mempunyai pengalaman yang lebih berkaitan tanggungjawab berat itu.

Oleh itu baginda mendapatkan semua pengalaman untuk menjadi pemimpin yang baik dengan menghabiskan sebahagian usia muda baginda sebagai pengembala kambing!

Kambing-kambing peliharaan baginda itu merupakan milik keluarga dan dikatakan juga mengambil upah mengembala kambing yang dimiliki oleh penduduk Mekah.

Namun tugas ini sebenarnya mempunyai falsafah yang unik lagi tinggi. Ia tidak sekadar mengembala kambing supaya tidak berkeliaran dan hilang dari kawalan.

Oleh kerana semua nabi sebelum ini pernah menjadi pengembala ternakan semasa mereka menjalankan amanah sebagai pembawa ajaran dari Allah. Lalu pengikut Rasulullah bertanya sendiri kepada baginda: "Adakah Wahai Rasulullah juga pernah menjadi gembala?" Lalu baginda menjawab: "Ya, selama beberapa waktu saya mengembalakan domba milik penduduk Mekah di daerah Qararit".

Justeru, kita hayati apa yang ditulis oleh penulis sejarah terkenal, Hussein Haekal mengenai corak kehidupan Rasulullah sebelum baginda mendirikan rumahtangga dengan wanita bangsawan yang terkenal, Siti Khadijah Khuwailid ini.

Kata Haekal, seperti yang kita ketahui, Perang Fijar atau Fujjar itu berlangsung hanya beberapa hari saja setiap tahun. Selebihnya masyarakat Arab kembali meneruskan pekerjaan masing-masing.

Pahit getirnya peperangan yang tergores dalam hati mereka tidak akan menghalangi mereka daripada kegiatan perdagangan, menjalankan riba, minum minuman keras serta pelbagai macam kesenangan dan hiburan dengan sepuas-puasnya.

Maka adakah Nabi Muhammad juga ikut serta dengan mereka dalam hal-hal yang seperti ini? Atau sebaliknya?

Menurut Haekal, telah berlaku pelbagai gejala yang teruk melanda anak-anak muda di kota Mekah ketika itu.

"Sudahlah mereka tinggal di pinggiran Mekah, yang tidak mempunyai mata pencarian, hidup dalam kemiskinan dan kekurangan namun merekalah yang ikut hanyut dalam hiburan itu.

"Bahkan di antara mereka lebih gila lagi dari golongan ternama Mekah dan bangsawan-bangsawan Quraisy dalam menghanyutkan diri dalam kesenangan demikian itu," katanya.

Akan tetapi Nabi Muhammad kata Haekal adalah anak muda yang ingin melihat, mendengar dan mengetahui.

"Itu sifat yang ditunjukkan oleh baginda," kata penulis sejarah Nabi yang terkenal ini.

Oleh itu baginda tidak ikut serta seperti yang dilakukan teman-temannya dari anak-anak bangsawan kerana baginda lebih berminat untuk memiliki pengetahuan berbanding berhibur dan menjauhi hidup ber foya-foya.

"Baginda mendambakan cahaya hidup yang akan lahir dalam segala manifestasi kehidupan dan yang akan dicapainya hanya dengan dasar kebenaran.

"Kenyataan ini dibuktikan oleh jolokan yang diberikan kepadanya dan pembawaan yang ada dalam dirinya.

"Itu sebabnya, sejak zaman kanak-kanak gejala kesempurnaan, kedewasaan dan kejujuran hati sudah tampak, sehingga penduduk Mekah semua memanggilnya Al-Amin (yang dapat dipercayai)," kata Haekal.

Ini menyebabkan baginda lebih banyak merenung dan berfikir melalui pekerjaannya menggembalakan kambing sejak sejak usia remaja baginda.

Baginda sendiri dikatakan begitu gembira dengan tugas sebagai pengembala kambing itu.

Haekal dapat mengutip kata-kata rasa gembira baginda di saat-saat mengembala ternakan itu, iaitu: "Nabi-nabi yang diutus Allah, kesemua mereka mengembala kambing. Ini termasuklah Nabi Allah Musa, Nabi Allah Daud sehinggalah aku sendiri meneruskan usaha murni ini mengembala kambing milik keluarga ku di Ajyad.

"Baginda mempunyai hati yang terang, menjalankan tugas dalam udara yang bebas di siang hari sehinggalah membawa kepada kemilau bintang di langit apabila malam menjelma.

"Ini menjadikan tugas baginda itu amat sesuai dan serasi untuk pemikiran dan merenung kejadian alam bagi mendapatkan sesuatu di atau penafsiran tentang penciptaan semesta ini," katanya.

Baginda membawa kambing-kambingnya jauh merentas padang sehinggalah ke kaki-kaki gunung dan bukit, jauh dari kesibukan kota Mekah.

Namun apabila kambing-kambing yang ada di hadapan Nabi Muhammad itu menarik kesedaran dan perhatiannya supaya jangan ada serigala yang akan menerkam kambing-kambing itu atau jangan sampai ada yang hilang dan sesat lalu baginda tidak lagi dalam dunianya yang tersendiri itu.

Baginda akan berusaha segenap tenaga dan akal pemikiran terhadap tahap keselamatan kambing-kambingnya itu.

Baginda akan mengawal dan memastikan sepenuhnya supaya ternakan tersebut dapat meragut rumput tanpa gangguan, hidup dan membiak dengan banyaknya.

Namun seperti yang ditulis oleh pakar sejarawan yang lain, Jaafar Subhani, apa yang penting mengembala kambing mengajar baginda supaya meningkatkan kesabaran dan ketabahan dalam 'memimpin' kambing-kambing itu.

Setiap ekor kambing akan mempunyai kerenah mereka yang tersendiri, begitu juga yang bakal dihadapi oleh baginda ketika baginda memimpin umat manusia.

"Apabila seseorang itu dapat menanggung kesukaran dalam menguruskan haiwan, yang tidak mempunyai akal dan kearifan, maka tentunya dia juga dapat bertanggungjawab untuk memimpin manusia yang sesat akal fikiran dan cara hidup mereka," kata Jaafar.

Malah dikatakan terdapat hadis Rasulullah sendiri yang menyebut: "Allah tidak mengangkat seorang nabi pun yang sebelumnya tidak dijadikan pengembala supaya mereka dapat belajar bagaimana hendak membimbing manusia."

Namun ada ketikanya, baginda hampir terpukau juga dengan kilauan segala macam maksiat dan hiburan yang berleluasa di Kota Mekah.

Ini apabila pada suatu hari ketika baginda menggembala kambing dengan seorang kawannya berkata bahawa baginda ingin bermain-main seperti pemuda-pemuda lain dengan menyertai pelbagai hiburan di kota Mekah dengan meminta kawannya itu menjaga kambing-kambing peliharaan baginda.

Tetapi sesampainya di hujung kota Mekah, perhatiannya tertarik pada suatu pesta perkahwinan dan baginda ingin hadir di tempat itu.

Tetapi tiba-tiba baginda terjatuh dan tertidur.

Begitu juga pada malam berikutnya, baginda lagi sekali cuba hendak mengunjungi Mekah, dengan maksud yang sama.

Baginda telah terdengar dari jauh kemeriahan irama muzik yang indah, seolah-olah turun dari langit.

Ini membuatkan baginda terleka namun menyebabkan baginda akhirnya tertidur lagi sehingga keesokan paginya.

Lagi sekali baginda gagal menyertai hiburan seperti pemuda-pemuda yang lain dan bagai direncanakan oleh Allah supaya baginda tidak terlibat dalam hiburan yang bakal melalaikannya.

Sebagai pengembala kambing tentunya tidak menjanjikan keuntungan, jauh sekali kemewahan tetapi baginda lebih mengejar 'kemewahan' yang menjanjikan kekuatan kepada jiwa dan minda. Semua ini diperolehi walau sekadar bergelar pengembala kambing!

Baginda sendiri pernah menyebut, "Kami adalah golongan yang hanya makan bila merasa lapar, dan bila sudah makan tidak sampai kenyang!"

Mengembala kambing bukan sekadar satu tradisi lama, wajar sekali dijayakan oleh kalangan anak-anak muda hari ini. Tidak sahaja untuk tujuan komersial tetapi bagi melahirkan pemimpin yang tabah dan tahan lasak sebagaimana yang menjadi rahsia di sebalik kejayaan si pengembala kambing, Nabi Muhammad SAW.



SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0518&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5RDctIGXJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Jumaat, 14 September 2018

Ummu Haram menyeberang lautan

ARKIB : 12/05/2009
UMMU Haram binti Milham merupakan isteri kepada Ubadah bin Samit dan ibu saudara susuan nabi Muhammad. Ummu Haram merupakan salah seorang dari kumpulan wanita Ansar yang mula-mula memeluk Islam.

Beliau juga merupakan ibu saudara kepada Anas bin Malik. Nabi Muhammad memuliakan Ummu Haram dengan mengatakan, "Kamu termasuk orang yang pertama daripada kalangan mereka".

Ini adalah kerana sifatnya yang berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan seperti berjihad, menuntut ilmu, mendahulukan kepentingan orang lain dan merendah diri.

Ummu Haram juga melibatkan diri dalam peperangan menentang pihak musuh Islam. Dia membantu merawat luka dan memberikan air kepada pasukan tentera Islam sewaktu peperangan Badar dan Uhud.

Jiwa Ummu Haram yang cekal dan kental memudahkan beliau bergerak di kawasan peperangan yang penuh bahaya bagi membantu dan merawat tentera Islam yang cedera.

Nabi Muhammad selalu mengunjungi masjid Quba yang didirikan oleh beliau atas dasar takwa kepada Allah. Kadangkala, beliau menaiki unta atau berjalan kaki menuju Masjid Quba lalu menunaikan solat sunat dua rakaat.

Kadang kala, Nabi Muhammad singgah di rumah Ummu Haram yang terletak berhampiran masjid Quba bagi melawatnya serta tidur siang di rumahnya. Malahan ada ketika beliau solat di rumah Ummu Haram.

"Assalamualaikum Ummu Haram!" Nabi Muhammad memberi salam sambil mengetuk pintu rumah Ummu Haram.

"Waalaikumusalam. Silakan masuk," jawab Ummu Haram sambil membuka pintu mempelawa Nabi Muhammad masuk.

"Apa khabar Ummu Sulaim dan Anas? Mari kita solat bersama-sama," kata Nabi Muhammad.

"Khabar baik, Rasulullah," balas Ummu Sulaim dan anaknya.

Mereka menunaikan solat sunat bersama-sama kerana pada ketika itu beliau belum masuk waktu solat wajib.

Kemudian Nabi Muhammad mendoakan kesejahteraan dan kebaikan dunia serta akhirat untuk Ummu Haram, Ummu Sulaim dan anaknya. Selepas itu, Ummu Haram menjemput nabi Muhammad makan bersama-sama.

"Ummu Haram, saya mahu berehat sebentar," kata Rasulullah selepas menjamah makanan yang disediakan oleh Ummu Haram.

"Baring dan berehatlah," balas Ummu Haram yang sedang mengemas pinggan di dapurnya.

Nabi Muhammad yang baring di ruang tamu tidak lama kemudian tertidur. Ummu Haram, Ummu Sulaim dan Anas berbual perlahan supaya tidak mengganggu baginda yang sedang tidur. Selepas beberapa ketika berlalu, Nabi Muhammad terjaga dari tidurnya dan tersenyum sendirian.

"Mengapa kamu tersenyum," tanya Ummu Haram dalam kehairanan.

"Beberapa orang dari umat Islam menawarkan diri berperang di jalan Allah. Mereka menaiki kapal merentas lautan menuju ke arah raja-raja yang zalim," jawab Nabi Muhammad sambil memandang wajah Ummu Haram.

"Ya Rasulullah, doakan saya semoga termasuk di antara golongan itu," pinta Ummu Haram yang berangan-angan supaya dapat menyertai peperangan bersama pasukan tentera Islam menyeberang lautan bagi menyebarkan agama Islam pada suatu hari nanti.

"Baiklah," balas Nabi SAW lalu mendoakan Ummu Haram. Kemudian, Rasulullah berbaring dan menyambung semula tidurnya.

Beberapa ketika kemudian, Nabi SAW bangkit dari tidurnya dan tertawa. Ummu Haram yang hairan dengan kelakuan baginda bertanya, "Ya Rasulullah, mengapa kamu ketawa".

"Sekumpulan umat Islam diperlihatkan kepada saya seketika mereka berperang menentang pihak musuh Islam seperti raja bagi pasukannya," jawab Nabi Muhammad.

"Ya Rasulullah, doakan agar saya termasuk dalam golongan itu," mohon Ummu Haram.

"Kamu termasuk golongan yang pertama dari kalangan mereka," jawab Nabi Muhammad.

Peristiwa yang dikatakan oleh Nabi Muhammad berlaku pada era pemerintahan Khalifah Usman bin Affan. Pada ketika itu, penaklukan bandar-bandar musuh Islam berlaku dengan rancak.

Ketika Usman ditabalkan sebagai Khalifah, Muawiyah Abu Sufian yang ketika itu menjadi Gabenor Syria mencadangkan pembentukan pasukan armada laut bagi menentang Empayar Byzantine.

Ekspedisi armada laut Muawiyah dibantu dengan sebuah kapal perang yang diketuai oleh Abdullah bin Abu Sarah dari Mesir.

Kedua kapal angkatan tentera laut Islam mula belayar menuju ke pulau Cyprus bagi bertempur pasukan tentera Byzantine yang berpangkalan di pulau itu.

"Tercapai juga cita-cita saya untuk berjihad di jalan Allah merentas lautan. Permintaan saya yang telah didoakan oleh rasulullah telah dimakbulkan oleh Allah," bisik hati Ummu Haram yang berdebar-debar berdiri di atas dek kapal.

Kedatangan kedua kapal angkatan tentera laut Islam itu tidak disedari oleh pasukan tentera Empayar Byzantium dan penduduk tempatan pulau Cyprus.

Ini adalah kerana tanggapan pihak musuh bahawa umat Islam tak mampu menyeberang lautan dan berperang di kawasan laut.

Abdullah bin Qais menghantar perisik untuk meninjau kekuatan pihak musuh sebelum melancarkan serang hendap. Pihak musuh yang terkejut dengan kehadiran pasukan tentera Islam dengan tiba-tiba hanya mampu memandang melihat kem kawalan mereka diambil alih oleh pihak tentera Islam.

"Panglima, saya sebagai ketua penduduk pulau ini sanggup membayar jizyah sebanyak 70,000 dinar setahun kepada kerajaan Islam. Tolong jangan apa-apakan penduduk pulau ini," mohon ketua penduduk pulau Cyprus kepada Abdullah bin Qais.

"Baiklah," balas Abdullah bin Qais dengan tegas.

"Panglima, izinkan saya untuk melihat kawasan sekitar pulau ini," tanya Ummu Hakim kepada Abdullah bin Qais setelah pulau Cyprus telah selamat ditakluk oleh tentera Islam.

"Kamu boleh melawat sekitar pulau ini dengan menaiki kuda ini. Pastikan ada orang temankan kamu," Abdullah bin Qais memberikan kebenaran kepada Ummu Haram yang teringin melawat sekitar pulau itu.

Ummu Haram bersama beberapa orang tentera Islam mula bergerak menaiki kuda mengelilingi kawasan sekitar pulau Cyprus itu.

Pada suatu ketika, seekor binatang buas tiba-tiba muncul dan menyerang kuda yang dinaiki oleh Ummu Haram. Ini menyebabkan Ummu Haram tercampak daripada kudanya lalu jatuh menghempas tanah. Oleh sebab mengalami kecederaan parah, Ummu Haram meninggal dunia di tempat beliau jatuh.

Ummu Haram meninggal dunia pada tahun 27 Hijrah. Kubur beliau masih lagi terdapat dipinggir pantai Cyprus dan dikunjungi oleh umat Islam sehingga kini. Ummu Haram adalah pejuang Muslimah pertama menyeberang lautan untuk berjihad di jalan Allah.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5R8qWb98k
© Utusan Melayu (M) Bhd