Rabu, 9 November 2016

Kaum Yahudi dan munafik di Madinah

ARKIB : 20/11/1998
KETIKA Rasulullah s.a.w. berhijrah ke Madinah dan menubuhkan kerajaan di sana, baginda telah menyusun beberapa rancangan dan strategi pemerintahan untuk memantapkan kerajaan pimpinan baginda.

Seperti yang sering dijelaskan, bahawa langkah pertama yang diambil oleh baginda ialah menghubungkan tali persaudaraan dan persefahaman serta kerjasama di antara orang-orang Islam sendiri yang terdiri dari golongan Ansar dan Muhajirin.

Setelah memastikan kesepaduan antara orang-orang Islam, maka baginda bertindak memeteraikan perjanjian dengan kaum-kaum lain, termasuk kaum Yahudi yang berada di bawah pemerintahan baginda. Dengan itu negara Madinah menjadi negara yang aman damai dan berpadu dengan diketuai oleh baginda.

Sesungguhnya model negara dan pemerintahan yang dibangunkan oleh baginda merupakan model terbaik bagi pembangunan sebuah negara yang berdaulat dan berwibawa. Semua rakyat mencintai negaranya dan mengakui baginda sebagai ketua negara yang mempunyai kuasa memerintah dan melaksanakan segala undang-undang dan peraturan yang dipersetujui bersama.

Hanya orang-orang yang tidak berilmu dan tidak memahami sirah dan sejarah sahaja yang mungkin merasakan bahawa Islam membenarkan kekerasan dan tindakan ganas untuk memberontak melawan dan menjatuhkan sebuah kerajaan yang tegak di atas perlembagaan yang sah.

Kalau cara ini dibenarkan Islam, maka mungkin Rasulullah s.a.w. telah bertindak keras dan memaksa kaum-kaum di sekeliling baginda di Madinah tunduk kepada baginda tanpa berunding dan memeterai perjanjian dengan mereka. Tetapi baginda tetap menggunakan cara diplomasi dan perundingan untuk membentuk masyarakat Madinah secara aman bagi menegakkan peaceful coexistence di kalangan semua kaum.

Bagaimanapun, setelah dua tahun tertubuhnya kerajaan Madinah, maka lahirlah tembelang kaum yang tidak ikhlas dan kaum yang hanya mementingkan diri sendiri, iaitu apabila kaum Yahudi yang pada mulanya sama-sama bersetuju dengan dasar-dasar perjanjian dengan Rasulullah s.a.w. tiba-tiba menunjukkan sikap angkuh dan permusuhan dengan baginda dan bertindak melawan dan memusuhi orang-orang Islam.

Menurut catatan sejarah, kaum Yahudi merasa cemburu dan dengki melihat kekuatan tentera Islam di bawah pimpinan baginda Rasulullah s.a.w. memenangi peperangan Badar dengan cemerlang sekali.

Kemenangan Islam ke atas kaum musyrikin di dalam peperangan tersebut mendorong kaum Yahudi mengambil beberapa tindakan secara konfrontasi terhadap kaum Muslimin dan ketua negara sendiri. Hal ini berlaku adalah semata-mata kerana perasaan dengki dan sombong terhadap kekuatan kerajaan Islam yang diterajui oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Kembali ke zaman kini, maka perasaan hasad dan dengki inilah yang sebenarnya diwarisi turun-temurun oleh golongan-golongan seperti ini dan konco-konconya yang sealiran. Hari ini kita dapat melihat bagaimana kerajaan dan kuasa-kuasa yang diterajui oleh rejim-rejim bongkak seperti ini bertindak menindas dan melebarkan penjajahan kuku besi mereka ke atas negara-negara lain, khususnya negara-negara Islam.

Mereka tidak mahu melihat negara Islam berdaulat, merdeka dan kuat, dapat berjuang dan survive, dalam dunia yang mahu mereka kuasai sepenuhnya ini.

Dalam minggu ini di dalam Persidangan APEC kita dapat melihat dan mendengar dengan mata kepala kita sendiri, bagaimana negara kita juga dicemburui dan diganggu secara terang-terangan oleh kuasa luar yang mewakili mentaliti dan gerakan provokasi seperti yang dilakukan terhadap kerajaan pimpinan Rasulullah s.a.w. lima belas abad yang lalu.

Mereka datang ke negara kita dan cuba meracuni fikiran awam dengan dasar penjajahan ''pecah dan perintah''. Mereka ingin menjadikan Malaysia seperti Baghdad atau Mindanao dan mengorbankan rakyat Islam dengan dasar penindasan yang tidak berperi kemanusiaan.

Kalau ditinjau ketika dasar konfrontasi yang diambil oleh kaum Yahudi terhadap Rasulullah, maka keadaan menjadi bertambah kusut kerana Banu Qainuqa' yang mewakili sebahagian dari kaum Yahudi adalah didalangi oleh seorang musuh Islam dalam selimut, iaitu ketua kaum munafik, Abdullah ibn Ubai ibn Salul, yang bertindak menjadi tali barut golongan pengacau itu.

Ia dengan bijaknya menjalankan peranannya melicinkan segala urusan pengkhianatan kaum Yahudi terhadap baginda Rasulullah dan negara Madinah sehingga akhirnya baginda terpaksa mengusir kaum Yahudi keluar dari Madinah.

Maka hari ini nampaknya sejarah ini berulang lagi, menepati apa yang terjadi pada belasan abad yang lalu, terutamanya dengan kelahiran dalang-dalang seperti Abdullah ibn Ubai ibn Salul dalam negara kita sendiri.

Watak-watak seorang ini tanpa segan-silu sanggup bekerjasama dan membantu pihak ketiga yang mempunyai niat yang tidak baik terhadap rakyat dan negara.

Baru beberapa hari yang lalu, kita melihat di tanah air kita dalang-dalang ini merempat meminta sedekah dan merayu agar seorang ketua negara penjajah menyelamatkan negara ini, menangkap ketua negara ini tanpa mempunyai sebarang maruah dan kehormatan diri. Tidak pernah berlaku dalam sejarah negara kita perbuatan hina yang menjatuhkan imej bangsa dan maruah diri seperti yang kita saksikan akhir-akhir ini.

Nilai dan harga diri yang digadaikan itu sesungguhnya amat menjatuhkan keperibadian bangsa merdeka, terutamanya apabila dilakukan oleh orang-orang Islam yang mengaku dan menerima konsep ''bahawa kamulah umat yang paling tinggi ....'' (Ayat 3, surah Ali-Imran).

Malaysia memang dicemburui, kerana dalam dunia Islam, mungkin tidak banyak negara yang cuba bangun dengan agak bebas dan merdeka dari pengaruh kuasa-kuasa luar, dan cuba menunjukkan kekuatannya dalam pembangunan Islam. Sejak tahun tujuh puluhan lagi, negara kita melahirkan penglibatannya yang serius dalam dasar pelaksanaan Islam di dalam semua aspek pembangunannya.

Pembangunan negara kita mendapat kejayaan besar dengan dokongan semua rakyat berbagai kaum dan agama dengan penuh kerjasama dan harmoni, satu kejayaan yang amat jarang berlaku dalam negara berbagai etnik, malah biasanya negara berbagai etnik akan menghadapi pelbagai masalah dan pertikaian yang membawa kepada pertumpahan darah secara berpanjangan. Maka dalam keadaan ini pihak musuh akan merasa cemburu dan akan berusaha mengganggu-gugat kestabilannya, memecah-belah rakyatnya dan mengembalikan semula kuasa penjajahannya.

Agama kita terang-terangan dari awal lagi memberi amaran tentang taktik permusuhan terhadap Islam oleh golongan-golongan yang tertentu. Tentang golongan yang akan terus memusuhi Islam ini kajilah ayat 12 dan 13 dari surah Ali-Imran yang merumuskan tentang kekecewaan golongan yang memusuhi kaum Muslimin.

Tentang kedudukan musuh Islam seperti yang menjelma dalam watak Abdullah ibn Ubai pula baca dan fahamilah ayat 54 surah al-Maidah yang menekankan tentang perwatakan buruk kumpulan ini.

Kini sejarah itu berulang lagi dalam bentuk yang lebih canggih, tetapi saya percaya hal ini akan lebih memberikan kekuatan mental dan azam kepada orang-orang yang teguh dan mantap imannya.

Rakyat umum merasakan diri mereka terlalu hina untuk menjual maruah dan kepercayaan mereka dengan harga yang amat murah. Golongan ramai (silent majority) tetap mempunyai prinsip dan harga diri yang tinggi, mereka tentulah tidak akan membiarkan negara dan akidah mereka tergadai kerana tuntutan nafsu yang tamak dan sikap fanatik melulu.

Gangguan yang dibuat ke atas kedaulatan agama secara berselindung di belakang tabir politik atau ekonomi sentiasa dapat dicium baunya yang busuk. Watak munafik Abdullah ibn Ubai yang berkeliaran dalam masyarakat dapat dilihat belang dan kehinaannya. Rakyat umum tentu masih rasional dan bermaruah untuk mempertahankan kedaulatan negara dan agamanya. Mereka mengetahui bahawa kaum penjajah dan konco-konconya itu adalah ibarat anjing menyalak bukit, tidak dapat memberi kesan apa-apa.

* Datuk Dr. Ismail Ibrahim ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

e-mel:ismail@ikim.gov.my

Oleh: DR. ISMAIL IBRAHIM

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1120&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=ot_03.htm#ixzz4PVCZPCke © Utusan Melayu (M) Bhd