Sabtu, 29 Julai 2017

Nabi Hud mengajak kaumnya beriman kepada Allah

ARKIB : 25/08/2006

Ads by Kiosked
Nabi Hud mengajak kaumnya beriman kepada Allah
Kisah Al-Quran (Siri 4)

DAN kepada kaum ‘Ad, Kami utuskan saudara mereka, Nabi Hud. Dia berkata: “Wahai kaumku, sembahlah kamu akan Allah! Sebenarnya tiada tuhan bagi kamu selain dari-Nya. Kamu hanyalah orang-orang yang mengada-adakan perkara-perkara yang dusta (terhadap Allah). (Hud: 50)

NABI Hud dilahirkan dalam kalangan kaum ‘Ad. Kebiasaan kaum ‘Ad adalah menyembah berhala. Nabi Hud diutuskan oleh Allah untuk mengembalikan kaumnya daripada kesesatan dan syirik kepada menyembah Allah.

Baginda mengajak mereka kembali kepada ajaran yang benar dan tidak menyekutukan Allah dalam apa bentuk sekalipun. Baginda menerangkan tentang kewujudan Allah s.w.t. dengan sebaik-baiknya kepada mereka. Perbandingan-perbandingan yang telah dibuat bagi menyedarkan kaumnya yang berada dalam kegelapan yang berpanjangan.

Banyak patung berhala dibuat oleh kaum ‘Ad dan mereka menyembahnya. Baginda menerangkan bahawa patung-patung itu adalah khayalan dan rekaan mereka semata-mata. Patung-patung itu tidak mampu memberikan faedah sedikitpun kepada mereka. Perbuatan mereka itu hanyalah sia-sia sahaja.

“Wahai kaumku, marilah menyembah Allah. Hanya Allah yang berhak disembah. Dialah yang menjadikan kita semua. Patung-patung itu tidak berhak disembah. Kamu semua yang membuat patung-patung itu. Benda yang kita buat tidak patut disembah. Perbuatan kamu itu adalah sia-sia sahaja,” Nabi Hud berkata kepada kaumnya.

Baginda menerangkan bahawa kedatangannya adalah untuk menyampaikan ajaran yang benar dan suci kepada mereka. Ajaran-ajaran yang disampaikan itu bukanlah rekaannya. ia juga bukan kehendak hatinya. Baginda tidak menerima sebarang upah untuk menyampaikan dakwah kepada kaumnya.

Nabi Hud mengajak kaumnya berfikir tentang segala kejadian, rezeki dan pelindungan yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepada mereka di muka bumi ini. Keadaan tanaman dan ladang akan bertambah subur serta makmur sekiranya mereka sujud bersyukur kepada Allah s.w.t.

Allah s.w.t. berjanji akan memberi rezeki dan kesenangan yang melimpah-ruah bagi makhluk yang sujud dan patuh kepada suruhan-Nya. Walaupun sukar untuk menarik perhatian kaumnya supaya meninggalkan amalan penyembahan berhala, namun Nabi Hud tidak pernah berputus asa.

Informasi

Kaum ‘Ad hidup di lembah Ahqaf yang terkenal dengan kesuburannya. Lembah ini terletak di antara negara Yaman dan Oman sekarang.

Pengajaran

*Amalan menyembah berhala adalah perbuatan syirik

*Rezeki akan berlipat ganda sekiranya kita tunduk dan patuh kepada suruhan Allah

Perbendaharaan kata

*Syirik : perbuatan menyekutukan (menduakan Allah)

*Khayalan : gambaran sesuatu dalam fikiran

*Sujud : Berlutut sambil meletakkan dahi ke lantai

*Rezeki : Segala sesuatu yang dikurniakan oleh Allah untuk keperluan rohani dan jasmani
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0825&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_06.htm#ixzz4oHqDLe98
© Utusan Melayu (M) Bhd

Israk Mikraj bukan hanya perbincangan soal solat


 

ARKIB : 22/08/2006
Israk Mikraj bukan hanya perbincangan soal solat
Dr. M. BADLIHISHAM MOHD. NASIR.

Maha suci Allah yang menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (Mekah) ke Masjid al-Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang maha mendengar, lagi maha mengetahui. (al-Israk: 1)

Setiap kali bulan Rejab, umat Islam akan mengenang kembali peristiwa Israk dan Mikraj, salah satu mukjizat kepada Rasulullah s.a.w..

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan juru foto ABDUL RAZAK LATIF menemu bual pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. M. Badlihisham Mohd. Nasir mengenai sambutan majlis itu di Malaysia.

Apakah maksud peristiwa Israk dan Mikraj?

DR. BADLIHISHAM: Israk dan Mikraj ini adalah kisah yang amat simbolik serta bermakna dalam Islam. Israk bermakna perjalanan dari Mekah ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. Mikraj pula adalah perjalanan dari bumi ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha. Ia berlaku pada malam 27 Rejab setahun sebelum hijrah.

Peristiwa ini antara lain untuk memberi kegembiraan kepada Rasulullah selepas dilanda dukacita berikutan kewafatan isteri tercinta, Siti Khadijah dan juga bapa saudaranya, Abu Talib. Tahun itu juga digelar sebagai tahun dukacita.

Perjalanan ini melibatkan bukan sahaja ruh tetapi juga jasad Rasulullah. Ia juga menguji keimanan umat Islam terutama pada ketika itu ia dianggap satu keajaiban dan tidak diterima akal terutama oleh golongan kafir.

Di sinilah, diperlihatkan manusia pertama yang membenarkan kisah Rasulullah itu iaitu saidina Abu Bakar sehingga mendapat gelaran as-siddiq atau yang membenarkan.

Ia juga menunjukkan kekuasaan Allah kepada manusia melalui tanda-tanda manzurah (yang boleh dilihat).

Bagaimanakah sambutan masyarakat Islam Malaysia terhadap majlis ini?

Sambutan Israk dan Mikraj menjadi tradisi dalam kalendar umat Islam. Sehinggakan ada yang beranggapan sesuatu kekurangan bagi mana-mana masjid atau surau yang tidak menyambutnya.

Bagaimanapun, jika diamati, keseluruhan sambutan masih tidak terlepas dari kerangka tradisi seperti ceramah, forum sebagai agenda utama.

Memanglah peristiwa itu penting dari segi kerohanian selain menunjukkan betapa pentingnya ibadat tertentu khasnya solat yang diterima sendiri oleh Rasullullah tanpa perantaraan Jibril.

Ia juga penting sebagai iktibar kepada umat Islam. Lebih utama lagi, sambutan ini perlu diperkasakan antaranya dengan membincangkan isu-isu semasa yang melibatkan umat Islam.

Sambutan yang stereotaip barangkali menyebabkan kita tidak dapat melihat kaitan peristiwa besar ini dengan kehidupan masa kini. Bagaimanakah cara untuk membetulkan keadaan ini?

Saya berpendapat sudah sampai masanya bagi kita memberi nafas baru kepada sambutan Israk dan Mikraj. Dengan kata lain, sambutannya bukan sahaja membicarakan soal perintah solat sebagaimana lazim.

Sebaliknya, para penceramah atau ustaz perlu mengambil peluang peristiwa ini untuk mengaitkannya dengan isu-isu semasa yang berkaitan. Ia tidak boleh hanya difahami dalam konteks perjalanan spiritual Rasulullah sahaja.

Sebaliknya, ia perlu diarahkan secara langsung bagaimana membantu umat Islam memahami isu Palestin dan Lebanon secara mendalam.

Antaranya, bagaimana perjalanan malam Rasulullah ke Jerusalem diselitkan dengan persekongkolan syaitan dan yahudi yang mengganggu baginda.

Peristiwa di mana seorang lelaki datang dari arah kanan meminta baginda berhenti seolah-olah hendak bertanya sesuatu adalah simbolik seruan yahudi. Jibril menerangkan jika baginda melayannya, nescaya ramai umat Islam menjadi yahudi.

Begitu juga seorang tua yang duduk di tepi jalan dan menyuruh Nabi berhenti. Ini adalah seruan iblis yang cuba menghalang usaha Nabi berdakwah.

Keazaman kedua-dua makhluk ini mengancam Islam tetap berlarutan sehingga hari ini walaupun ditepis oleh Nabi dalam perjalanan tersebut.

Apakah contoh lain yang dapat diambil pengajaran dalam konteks isu semasa?

Isu Masjid al-Aqsa misalnya. Rasulullah pernah mengimamkan solat para nabi di masjid itu yang kini sedang menanti dirobohkan oleh pihak zionis bagi mendirikan impian mereka ialah Kuil Raja Sulaiman.

Kaum yahudi ini memanglah tidak akan selamanya bersetuju dengan Islam sebagaimana diterangkan dalam al-Quran, Orang-orang yahudi dan nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka yang terpesong itu. (al-Baqarah; 120)

Ini adalah antara perseteruan yang disebut oleh Allah yang mesti dijadikan peringatan kepada kita umat Islam. Mereka ini keras dengan fahaman sebagai umat pilihan mengetahui akan kerasulan Nabi tetapi tetap enggan beriman semata-mata kerana Rasulullah bukan dalam kalangan mereka.

Mengenai solat misalnya, kita melihat menerusi media tentera Israel sembahyang dan berdoa sebelum berperang. Ini sepatutnya mengajak kita berfikir betapa ramai umat Islam termasuk di Malaysia yang masih tidak bersolat walaupun tinggal dalam negara yang aman.

Bagaimanakah pula pendekatan berdakwah yang sesuai dalam hal ini?

Bagi menjamin keberkesanan dakwah, isu Palestin dalam konteks Israk dan Mikraj perlu difahami dengan baik. Para penceramah hanya jangan mengulang syarahan.

Ada baiknya juga menggabungkan penyampaian dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) termasuk melalui slaid.

Ceramah-ceramah Israk dan Mikraj juga perlu memandu umat Islam ke arah penyelesaian masalah bukan setakat menyentuh isu kulit sahaja.

Pada masa yang sama, kita harus bersiap-sedia dengan segala kelengkapan untuk menghadapi musuh-musuh Islam sebagaimana ditegaskan dalam ayat 60 surah al-Anfaal.

Dalam isu Palestin dan Lebanon ini, kita wajib membantu mengikut kemampuan. Setidak-tidaknya mendoakan kesejahteraan umat Islam kerana doa itu adalah senjata orang mukmin.

Kita juga perlu menghulurkan sumbangan dalam bentuk wang ringgit atau tenaga membantu saudara Muslim di sana. Ini juga ditunjukkan dalam perjalanan Israk dan Mikraj Rasulullah yang melihat sekumpulan manusia menanam gandum, sesaat kemudian ia berbuah dan dituai.

Inilah gambaran golongan yang suka membelanjakan harta untuk perjuangan menegakkan kalimah Allah.

Antara sebab kekeliruan mengenai Islam adalah kurang pemahaman golongan bukan Islam. Bagaimanakah cara mengatasinya?

Pertama kita perlu jelaskan Islam kepada semua. Dakwah yang sebenarnya bukan setakat menyeru orang yang sudah Islam tetapi mereka yang bukan Islam.

Dengan kata lain, pendekatan dakwah kita perlu menyeluruh. Dalam menyambut Israk dan Mikraj misalnya, kita boleh mengadakannya di kawasan lapang atau padang bagi membolehkan golongan bukan Islam hadir.

Kita juga perlu menjemput mereka yang mampu berdialog menjelaskan apa yang mereka kurang faham tentang Islam iaitu agama yang sejahtera.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0822&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4oGUSOt8G

© Utusan Melayu (M) Bhd

Israk Mikraj menjana jiwa besar umat

ARKIB : 20/08/2006
Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Umat Islam ketika ini dihimpit dengan seribu satu keperitan dan kesengsaraan. Tragedi penyembelihan, pengusiran dan penyeksaan ke atas umat Islam di pelbagai rantau dunia ketika ini memang amat menyayatkan. Ditambah pula dengan pelbagai label murahan yang ditempelkan ke atas umat Islam bagaikan maruah dan hak-hak asasi umat sudah tidak berharga hingga mudah diperkosa sewenang-wenangnya.

Namun segala malapetaka yang melanda bukan sekadar untuk dirintih dan ditangisi. Lebih malang lagi sekiranya pelbagai bentuk keperitan dan kecelakaan yang menimpa menjadikan umat berjiwa kerdil, takut mendepani risiko, terbelenggu perasaan gundah-gulana dan kian mengakar rasa rendah diri.

Dalam konteks inilah, amat wajar sekali umat Islam menelusuri sejenak peristiwa Israk dan Mikraj yang disambut setiap tahun pada 27 Rejab. Sememangnya peristiwa yang berlaku pada tahun ke-11 kerasulan nabi itu mempunyai timbunan khazanah yang penuh dengan pengajaran bernilai untuk ditelaah oleh generasi pelanjut perjuangan Islam ketika ini.

Salah satu pengajaran besar yang boleh dirungkaikan melalui peristiwa Israk dan Mikraj ialah mengenai pembentukan generasi berjiwa besar. Umat yang berjiwa besar adalah umat yang kental daya juangnya, kaya dengan cita-cita dan tidak pernah mengaku kalah pada sebarang bentuk ujian yang melanda. Generasi yang terbina di atas keimanan dan ketakwaan tidak mudah kecewa dengan apa jua onak duri kehidupan.

Sebarang musibah dilalui dengan sabar berserta keyakinan bahawa setiap ujian adalah satu rahmat Allah untuk mengangkat martabat keinsanan umat. Keyakinan utuh ini didasarkan kepada firman Allah: Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja untuk mengatakan, "Kami telah beriman" sedang mereka belum lagi diuji. Sessungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan yang berdusta. (Al-Angkabut:2-3).

Begitulah juga yang dimanifestasikan melalui pengalaman Nabi s.a.w. yang dimuliakan Allah dengan peristiwa Israk iaitu perjalanan pada waktu malam ke Baitulmaqdis di palestin dan dimikrajkan atau dinaikkan ke beberapa tingkatan langit sebelum pulang ke Mekah pada malam yang sama.

Ia berlaku ketika nabi berhadapan dengan musibah dan ujian getir dalam sejarah awal kerasulan baginda iaitu kehilangan dua orang paling dicintainya, Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib yang merupakan sumber inspirasi penting dalam perjuangan baginda menyebar Islam. Bahkan peristiwa diusir dan diseksa masyarakat Ta'if sejurus selepas itu turut menambah sengsara perjuangan Rasulullah s.a.w.

Walau bagaimanapun indoktrinasi tauhid berasaskan keimanan dan ketakwaan seutuhnya kepada Allah telah membina keperibadian Nabi s.a.w. sebagai manusia berjiwa besar yang tidak mudah kecewa mahupun tergugah oleh pelbagai musibah yang menimpa. Demikianlah yang diisyaratkan Allah dalam al-Quran: Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya di sisi Allah) kerana kamu orang yang beriman (Ali Imran: 139).

Umat yang terbangun di atas doktrin ketakwaan, keimanan dan keilmuan yang kental seharusnya terbina jiwa besar sebagaimana yang diteladankan oleh Rasulullah s.a.w. Umat Islam yang telah menjalani doktrinasi tauhid seharusnya telah bebas daripada kongkongan jiwa hamba yang kerdil. Mentauhidkan Tuhan bermakna secara sedar ia telah menolak pengabdian kepada sesiapa selain Allah.

Dinamika tauhid inilah juga yang telah menghakis jiwa kerdil generasi awal Islam seperti Bilal bin Rabah, lalu tampil mendadak sebagai manusia baru berjiwa besar dan merdeka. Generasi seperti ini sanggup menghadapi keperitan cemeti seksaan dan dugaan getir kehidupan demi mempertahankan keyakinan terhadap tauhid yang telah mengangkat martabat keinsanannya.

Begitulah sikap dan peribadi manusia berjiwa besar. Ancaman, hambatan mahupun kekangan sentiasa ditempuh dengan tenang dan penuh kesabaran. Keyakinan kepada idealisme perjuangan tidak mudah tergugah malah terus subur memugar dalam jiwa.

Keimanan dan ketakwaan Allah juga menumbuhkan kepercayaan bahawa setiap kesukaran pasti di hujungnya ada kesenangan kerana Allahlah yang Maha Berkuasa ke atas sesuatu. Keyakinan ini bersandarkan janji Allah yang terungkap dalam ayat ‘seribu dinar’ yang begitu popular tergantung di dinding-dinding rumah masyarakat Melayu kini: Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar (kepada kesukaran yang melanda). Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka (At-Thalaq:2).

Kualiti jiwa besar inilah yang harus disemangati dan dihayati dalam keriuhan sorak-sorai sambutan Israk dan Mikraj kini. Selagi umat tidak mampu meleburkan unsur-unsur jiwa kerdil yang masih tersisa, selagi itulah mereka tidak akan berupaya mencipta kecemerlangan. Selagi umat masih terbelenggu jiwa kerdil yang kian menebal, selagi itulah mereka berterusan dirundung kekecewaan tanpa pembelaan.

Sesungguhnya tanpa mempunyai jiwa besar, sesuatu bangsa tidak akan mampu mencipta kegemilangan dalam sejarahnya. Malah impian untuk menjadi negara yang terbilang dan gemilang akan selama-lamanya tinggal impian andainya tidak dimulakan dengan usaha membina kualiti generasi, termasuk kualiti jiwa besar.



Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4oEsWzxzF

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sabtu, 8 Julai 2017

Nabi Nuh berdakwah kepada kaumnya



ARKIB : 18/08/2006
Kisah Al Quran (Siri 3)

SESUNGGUHNYA Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah ia: “Wahai kaumku! Sembahlah kamu akan Allah (sebenarnya) tidak ada Tuhan bagi kamu selain daripada-Nya. Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa azab pada hari yang besar (hari kiamat).” Ketua-ketua daripada kaumnya berkata: “Sesungguhnya kami melihatmu (Wahai Nuh) berada di dalam kesesatan yang nyata. (al-A’raaf: 59-60)

KAUM Nabi Nuh merupakan kaum yang pertama menyembah berhala. Apabila melihat keadaan itu, Allah mengutuskan Nabi Nuh untuk memberi peringatan kepada mereka. Nabi Nuh pun menyeru kaumnya tanpa mengira waktu.

Baginda menyeru dan berdakwah kepada kaumnya supaya meninggalkan perbuatan syirik itu. Baginda mengajak mereka supaya menyembah Allah Yang Esa. Baginda menggunakan pelbagai cara untuk membawa mereka ke jalan yang benar. Namun, mereka tetap ingkar. Hanya sedikit yang mendengar dakwah dan seruan Nabi Nuh itu.

Apabila Nabi Nuh mengajak mereka menyembah Allah, mereka mengejek-ejek Nabi Nuh. Malah ada yang sanggup mencederakan baginda.

Mereka tidak percaya bahawa Nabi Nuh adalah utusan Allah. Setiap kali Nabi Nuh mengajak mereka supaya tunduk kepada Allah, mereka menuduh Nabi Nuh gila. Mereka juga menuduh Nabi Nuh seorang penipu dan pendusta.

Namun, Nabi Nuh tetap bersabar terhadap tuduhan mereka. Pada suatu hari, orang kaya-kaya dalam kalangan kaum Nabi Nuh berkata, “Wahai Nuh, jika kamu mahu kami mengikutmu, maka usirlah golongan miskin dan biasa itu. Kami tidak mahu bergaul dengan mereka.”

Pada waktu itu, pengikut Nabi Nuh terdiri daripada golongan miskin dan biasa sahaja. Lalu Nabi Nuh menjawab, “Aku tidak akan mengusir orang-orang beriman. Allah tidak melihat harta dan pangkat di kalangan hamba-hamba-Nya. Hanya keimanan dan ketakwaan kepada Allah yang membezakan setiap insan.”

Oleh kerana Nabi Nuh enggan mengusir orang biasa dan miskin daripada menjadi pengikutnya, golongan kaya tidak mahu mengikut Nabi Nuh.

Kaum Nabi Nuh tetap degil dan keras hati. Mereka tidak mahu beriman kepada Allah. Pelbagai alasan dikemukakan mereka apabila diajak supaya menyembah Allah.

Ada di antara mereka yang menutup telinga dengan jari kerana tidak mahu mendengar kata-kata Nabi Nuh. Ada juga yang menutup muka dengan baju kerana tidak mahu melihat wajah baginda. Mereka terus sombong dan ingkar.

Kaum Nabi Nuh dengan berani menolak agama yang dibawa oleh Nabi Nuh. Malah mereka mencabar Nabi Nuh dengan berkata, “Wahai Nuh, jika engkau benar, maka datangkanlah azab yang telah engkau katakan kepada kami.”

Baginda menjawab dengan sabar, “Wahai kaumku, sesungguhnya aku tidak mampu berbuat demikian kerana aku ini hanya insan biasa. Aku hanya nabi Allah yang diutuskan untuk memberi peringatan. Hanya Allah yang mampu menimpakan azab ke atas sesiapa yang Dia kehendaki.”

Nabi Nuh terus berdakwah dengan sabar dan memberi peringatan tentang azab Allah kepada mereka yang ingkar.

Baginda tidak pernah berputus asa dalam berdakwah kepada kaumnya yang degil itu.

Allah pun memberikan balasan yang dahsyat kepada kaum tersebut kerana keingkaran mereka. Mereka telah ditenggelami oleh banjir yang besar.

Hanya orang yang beriman sahaja yang terselamat kerana mereka menaiki bahtera yang dibina oleh Nabi Nuh.

- Petikan daripada Untaian 366 kisah daripada al-Quran,Edusystem Sdn. Bhd.

Tel: 03-6137 9220/8396/7834 atau Emel: edusb@streamyx.com

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0818&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4mFXuELzK
© Utusan Melayu (M) Bhd

Nabi Muhammad utusan Allah



ARKIB : 17/08/2006

KATAKANLAH (wahai Muhammad): “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu; diwahikan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Satu; maka hendaklah kamu tetap teguh di atas jalan yang betul lurus (yang membawa kepada mencapai keredaan-Nya) serta pohonlah kepada-Nya mengampuni (dosa-dosa kamu yang telah lalu). Dan (ingatlah), kecelakaan besar bagi orang-orang yang mempersekutukan-Nya (dengan sesuatu yang lain).” (Fussilat: 6).

HURAIAN

Nabi Muhammad merupakan rasul terakhir yang diutuskan oleh Allah s.w.t. kepada seluruh umat manusia di muka bumi ini bertujuan menyebarkan ajaran Islam dengan menyeru mereka mengesakan Allah s.w.t., tiada tuhan yang layak disembah melainkan-Nya. Manusia diseru supaya mematuhi segala suruhan-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang oleh-Nya.

Sebagaimana nabi-nabi dan rasul-rasul yang diutuskan sebelum ini, baginda juga adalah dalam kalangan manusia. Walaupun baginda seorang yang ummi (tidak tahu membaca) tetapi baginda dapat mempelajari dan mendalami al-Quran dengan sebaiknya dengan dibantu oleh malaikat Jibril a.s.

Baginda juga terkenal dengan akhlak terpuji dan budi pekerti yang tinggi sehingga menjadi idola dan contoh tauladan kepada manusia sejagat di sepanjang zaman.

Setelah melalui pelbagai rintangan ketika mengembangkan agama Allah s.w.t., baginda dapat melembutkan hati-hati yang keras agar memeluk Islam dengan menggesa mereka agar bertaubat terhadap kesalahan dan dosa yang lampau. Mereka juga diberi peringatan bahawa sesiapa yang mempersekutukan Allah s.w.t. dengan sesuatu yang lain akan mendapat balasan azab di akhirat kelak. Akhirnya, jadilah mereka orang yang sanggup berkorban dan mempertahankan Islam hingga ke titisan darah yang terakhir.

KESIMPULAN

Kejayaan Rasulullah s.a.w. menyebarkan agama Allah s.w.t. sungguh mengkagumkan. Sehingga kini kita masih mampu merasai kemanisan iman yang dibawa oleh baginda. Sebagai generasi Islam masa kini, kita hendaklah meneruskan dakwah Islamiah bagi memperjuang dan menyambung usaha baginda dalam menegak dan mengembangkan syiar Islam di serata dunia.

- Disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0817&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4mFQvFbbN
© Utusan Melayu (M) Bhd