Sabtu, 29 Julai 2017

Israk Mikraj menjana jiwa besar umat

ARKIB : 20/08/2006
Oleh: DR. ASYRAF WAJDI DUSUKI
Umat Islam ketika ini dihimpit dengan seribu satu keperitan dan kesengsaraan. Tragedi penyembelihan, pengusiran dan penyeksaan ke atas umat Islam di pelbagai rantau dunia ketika ini memang amat menyayatkan. Ditambah pula dengan pelbagai label murahan yang ditempelkan ke atas umat Islam bagaikan maruah dan hak-hak asasi umat sudah tidak berharga hingga mudah diperkosa sewenang-wenangnya.

Namun segala malapetaka yang melanda bukan sekadar untuk dirintih dan ditangisi. Lebih malang lagi sekiranya pelbagai bentuk keperitan dan kecelakaan yang menimpa menjadikan umat berjiwa kerdil, takut mendepani risiko, terbelenggu perasaan gundah-gulana dan kian mengakar rasa rendah diri.

Dalam konteks inilah, amat wajar sekali umat Islam menelusuri sejenak peristiwa Israk dan Mikraj yang disambut setiap tahun pada 27 Rejab. Sememangnya peristiwa yang berlaku pada tahun ke-11 kerasulan nabi itu mempunyai timbunan khazanah yang penuh dengan pengajaran bernilai untuk ditelaah oleh generasi pelanjut perjuangan Islam ketika ini.

Salah satu pengajaran besar yang boleh dirungkaikan melalui peristiwa Israk dan Mikraj ialah mengenai pembentukan generasi berjiwa besar. Umat yang berjiwa besar adalah umat yang kental daya juangnya, kaya dengan cita-cita dan tidak pernah mengaku kalah pada sebarang bentuk ujian yang melanda. Generasi yang terbina di atas keimanan dan ketakwaan tidak mudah kecewa dengan apa jua onak duri kehidupan.

Sebarang musibah dilalui dengan sabar berserta keyakinan bahawa setiap ujian adalah satu rahmat Allah untuk mengangkat martabat keinsanan umat. Keyakinan utuh ini didasarkan kepada firman Allah: Adakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja untuk mengatakan, "Kami telah beriman" sedang mereka belum lagi diuji. Sessungguhnya Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan yang berdusta. (Al-Angkabut:2-3).

Begitulah juga yang dimanifestasikan melalui pengalaman Nabi s.a.w. yang dimuliakan Allah dengan peristiwa Israk iaitu perjalanan pada waktu malam ke Baitulmaqdis di palestin dan dimikrajkan atau dinaikkan ke beberapa tingkatan langit sebelum pulang ke Mekah pada malam yang sama.

Ia berlaku ketika nabi berhadapan dengan musibah dan ujian getir dalam sejarah awal kerasulan baginda iaitu kehilangan dua orang paling dicintainya, Siti Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib yang merupakan sumber inspirasi penting dalam perjuangan baginda menyebar Islam. Bahkan peristiwa diusir dan diseksa masyarakat Ta'if sejurus selepas itu turut menambah sengsara perjuangan Rasulullah s.a.w.

Walau bagaimanapun indoktrinasi tauhid berasaskan keimanan dan ketakwaan seutuhnya kepada Allah telah membina keperibadian Nabi s.a.w. sebagai manusia berjiwa besar yang tidak mudah kecewa mahupun tergugah oleh pelbagai musibah yang menimpa. Demikianlah yang diisyaratkan Allah dalam al-Quran: Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya di sisi Allah) kerana kamu orang yang beriman (Ali Imran: 139).

Umat yang terbangun di atas doktrin ketakwaan, keimanan dan keilmuan yang kental seharusnya terbina jiwa besar sebagaimana yang diteladankan oleh Rasulullah s.a.w. Umat Islam yang telah menjalani doktrinasi tauhid seharusnya telah bebas daripada kongkongan jiwa hamba yang kerdil. Mentauhidkan Tuhan bermakna secara sedar ia telah menolak pengabdian kepada sesiapa selain Allah.

Dinamika tauhid inilah juga yang telah menghakis jiwa kerdil generasi awal Islam seperti Bilal bin Rabah, lalu tampil mendadak sebagai manusia baru berjiwa besar dan merdeka. Generasi seperti ini sanggup menghadapi keperitan cemeti seksaan dan dugaan getir kehidupan demi mempertahankan keyakinan terhadap tauhid yang telah mengangkat martabat keinsanannya.

Begitulah sikap dan peribadi manusia berjiwa besar. Ancaman, hambatan mahupun kekangan sentiasa ditempuh dengan tenang dan penuh kesabaran. Keyakinan kepada idealisme perjuangan tidak mudah tergugah malah terus subur memugar dalam jiwa.

Keimanan dan ketakwaan Allah juga menumbuhkan kepercayaan bahawa setiap kesukaran pasti di hujungnya ada kesenangan kerana Allahlah yang Maha Berkuasa ke atas sesuatu. Keyakinan ini bersandarkan janji Allah yang terungkap dalam ayat ‘seribu dinar’ yang begitu popular tergantung di dinding-dinding rumah masyarakat Melayu kini: Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan ke luar (kepada kesukaran yang melanda). Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka (At-Thalaq:2).

Kualiti jiwa besar inilah yang harus disemangati dan dihayati dalam keriuhan sorak-sorai sambutan Israk dan Mikraj kini. Selagi umat tidak mampu meleburkan unsur-unsur jiwa kerdil yang masih tersisa, selagi itulah mereka tidak akan berupaya mencipta kecemerlangan. Selagi umat masih terbelenggu jiwa kerdil yang kian menebal, selagi itulah mereka berterusan dirundung kekecewaan tanpa pembelaan.

Sesungguhnya tanpa mempunyai jiwa besar, sesuatu bangsa tidak akan mampu mencipta kegemilangan dalam sejarahnya. Malah impian untuk menjadi negara yang terbilang dan gemilang akan selama-lamanya tinggal impian andainya tidak dimulakan dengan usaha membina kualiti generasi, termasuk kualiti jiwa besar.



Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4oEsWzxzF

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan