Sabtu, 29 Julai 2017

Israk Mikraj bukan hanya perbincangan soal solat


 

ARKIB : 22/08/2006
Israk Mikraj bukan hanya perbincangan soal solat
Dr. M. BADLIHISHAM MOHD. NASIR.

Maha suci Allah yang menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (Mekah) ke Masjid al-Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang maha mendengar, lagi maha mengetahui. (al-Israk: 1)

Setiap kali bulan Rejab, umat Islam akan mengenang kembali peristiwa Israk dan Mikraj, salah satu mukjizat kepada Rasulullah s.a.w..

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan juru foto ABDUL RAZAK LATIF menemu bual pensyarah Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. M. Badlihisham Mohd. Nasir mengenai sambutan majlis itu di Malaysia.

Apakah maksud peristiwa Israk dan Mikraj?

DR. BADLIHISHAM: Israk dan Mikraj ini adalah kisah yang amat simbolik serta bermakna dalam Islam. Israk bermakna perjalanan dari Mekah ke Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. Mikraj pula adalah perjalanan dari bumi ke langit sehingga ke Sidratul Muntaha. Ia berlaku pada malam 27 Rejab setahun sebelum hijrah.

Peristiwa ini antara lain untuk memberi kegembiraan kepada Rasulullah selepas dilanda dukacita berikutan kewafatan isteri tercinta, Siti Khadijah dan juga bapa saudaranya, Abu Talib. Tahun itu juga digelar sebagai tahun dukacita.

Perjalanan ini melibatkan bukan sahaja ruh tetapi juga jasad Rasulullah. Ia juga menguji keimanan umat Islam terutama pada ketika itu ia dianggap satu keajaiban dan tidak diterima akal terutama oleh golongan kafir.

Di sinilah, diperlihatkan manusia pertama yang membenarkan kisah Rasulullah itu iaitu saidina Abu Bakar sehingga mendapat gelaran as-siddiq atau yang membenarkan.

Ia juga menunjukkan kekuasaan Allah kepada manusia melalui tanda-tanda manzurah (yang boleh dilihat).

Bagaimanakah sambutan masyarakat Islam Malaysia terhadap majlis ini?

Sambutan Israk dan Mikraj menjadi tradisi dalam kalendar umat Islam. Sehinggakan ada yang beranggapan sesuatu kekurangan bagi mana-mana masjid atau surau yang tidak menyambutnya.

Bagaimanapun, jika diamati, keseluruhan sambutan masih tidak terlepas dari kerangka tradisi seperti ceramah, forum sebagai agenda utama.

Memanglah peristiwa itu penting dari segi kerohanian selain menunjukkan betapa pentingnya ibadat tertentu khasnya solat yang diterima sendiri oleh Rasullullah tanpa perantaraan Jibril.

Ia juga penting sebagai iktibar kepada umat Islam. Lebih utama lagi, sambutan ini perlu diperkasakan antaranya dengan membincangkan isu-isu semasa yang melibatkan umat Islam.

Sambutan yang stereotaip barangkali menyebabkan kita tidak dapat melihat kaitan peristiwa besar ini dengan kehidupan masa kini. Bagaimanakah cara untuk membetulkan keadaan ini?

Saya berpendapat sudah sampai masanya bagi kita memberi nafas baru kepada sambutan Israk dan Mikraj. Dengan kata lain, sambutannya bukan sahaja membicarakan soal perintah solat sebagaimana lazim.

Sebaliknya, para penceramah atau ustaz perlu mengambil peluang peristiwa ini untuk mengaitkannya dengan isu-isu semasa yang berkaitan. Ia tidak boleh hanya difahami dalam konteks perjalanan spiritual Rasulullah sahaja.

Sebaliknya, ia perlu diarahkan secara langsung bagaimana membantu umat Islam memahami isu Palestin dan Lebanon secara mendalam.

Antaranya, bagaimana perjalanan malam Rasulullah ke Jerusalem diselitkan dengan persekongkolan syaitan dan yahudi yang mengganggu baginda.

Peristiwa di mana seorang lelaki datang dari arah kanan meminta baginda berhenti seolah-olah hendak bertanya sesuatu adalah simbolik seruan yahudi. Jibril menerangkan jika baginda melayannya, nescaya ramai umat Islam menjadi yahudi.

Begitu juga seorang tua yang duduk di tepi jalan dan menyuruh Nabi berhenti. Ini adalah seruan iblis yang cuba menghalang usaha Nabi berdakwah.

Keazaman kedua-dua makhluk ini mengancam Islam tetap berlarutan sehingga hari ini walaupun ditepis oleh Nabi dalam perjalanan tersebut.

Apakah contoh lain yang dapat diambil pengajaran dalam konteks isu semasa?

Isu Masjid al-Aqsa misalnya. Rasulullah pernah mengimamkan solat para nabi di masjid itu yang kini sedang menanti dirobohkan oleh pihak zionis bagi mendirikan impian mereka ialah Kuil Raja Sulaiman.

Kaum yahudi ini memanglah tidak akan selamanya bersetuju dengan Islam sebagaimana diterangkan dalam al-Quran, Orang-orang yahudi dan nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka yang terpesong itu. (al-Baqarah; 120)

Ini adalah antara perseteruan yang disebut oleh Allah yang mesti dijadikan peringatan kepada kita umat Islam. Mereka ini keras dengan fahaman sebagai umat pilihan mengetahui akan kerasulan Nabi tetapi tetap enggan beriman semata-mata kerana Rasulullah bukan dalam kalangan mereka.

Mengenai solat misalnya, kita melihat menerusi media tentera Israel sembahyang dan berdoa sebelum berperang. Ini sepatutnya mengajak kita berfikir betapa ramai umat Islam termasuk di Malaysia yang masih tidak bersolat walaupun tinggal dalam negara yang aman.

Bagaimanakah pula pendekatan berdakwah yang sesuai dalam hal ini?

Bagi menjamin keberkesanan dakwah, isu Palestin dalam konteks Israk dan Mikraj perlu difahami dengan baik. Para penceramah hanya jangan mengulang syarahan.

Ada baiknya juga menggabungkan penyampaian dengan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) termasuk melalui slaid.

Ceramah-ceramah Israk dan Mikraj juga perlu memandu umat Islam ke arah penyelesaian masalah bukan setakat menyentuh isu kulit sahaja.

Pada masa yang sama, kita harus bersiap-sedia dengan segala kelengkapan untuk menghadapi musuh-musuh Islam sebagaimana ditegaskan dalam ayat 60 surah al-Anfaal.

Dalam isu Palestin dan Lebanon ini, kita wajib membantu mengikut kemampuan. Setidak-tidaknya mendoakan kesejahteraan umat Islam kerana doa itu adalah senjata orang mukmin.

Kita juga perlu menghulurkan sumbangan dalam bentuk wang ringgit atau tenaga membantu saudara Muslim di sana. Ini juga ditunjukkan dalam perjalanan Israk dan Mikraj Rasulullah yang melihat sekumpulan manusia menanam gandum, sesaat kemudian ia berbuah dan dituai.

Inilah gambaran golongan yang suka membelanjakan harta untuk perjuangan menegakkan kalimah Allah.

Antara sebab kekeliruan mengenai Islam adalah kurang pemahaman golongan bukan Islam. Bagaimanakah cara mengatasinya?

Pertama kita perlu jelaskan Islam kepada semua. Dakwah yang sebenarnya bukan setakat menyeru orang yang sudah Islam tetapi mereka yang bukan Islam.

Dengan kata lain, pendekatan dakwah kita perlu menyeluruh. Dalam menyambut Israk dan Mikraj misalnya, kita boleh mengadakannya di kawasan lapang atau padang bagi membolehkan golongan bukan Islam hadir.

Kita juga perlu menjemput mereka yang mampu berdialog menjelaskan apa yang mereka kurang faham tentang Islam iaitu agama yang sejahtera.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=0822&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4oGUSOt8G

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan