Sabtu, 18 November 2017

Allah menghidupkan yang mati



ARKIB : 02/04/2008 
SYEIKH Al-Maghari berkata: “Ayat ini merupakan perumpamaan yang lain bagi menunjukkan adanya hari kebangkitan. Di samping itu, ia juga menunjukkan kuasa Allah kepada orang yang beriman dengan mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya.

Diulangkan perbandingan untuk mengisbatkan hari bangkit dan tidak disebut kecuali satu perbandingan sahaja bagi mengisbatkan Rububiyah kerana yang mengingkari hari bangkit kebanyakannya yang mengingkari Uluhiyyah Tuhan.”

Firman Allah Taala: Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang-orang mati. Allah berfirman: Belum yakinkah kamu? Ibrahim menjawab: Aku telah menyakinkannya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku) Allah berfirman: (Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah semuanya olehmu. (Allah berfirman): Lalu letakkan di atas tiap-tiap satu bukit satu bahagian dari bahagian-bahagian itu, Kemudian panggillah mereka, nescaya mereka datang kepadamu dengan segera. Dan ketahuilah bahwa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana. (al-Baqarah: 260)

Firman Allah s.w.t.: Allah berfirman: Belum yakinkah kamu? Ibrahim menjawab: Aku telah meyakinkannya, akan tetapi agar hatiku tetap mantap (dengan imanku) Allah berfirman: (Kalau demikian) ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah semuanya olehmu.

Ibnu Jauzi berkata: “Sebab Ibrahim bertanya terdapat empat pandangan ulama:

Pertama: Kerana ia melihat bangkai yang telah dkoyakkan oleh binatang buas dan serangga. Lantas ditanya. Inilah pendapat Ibnu Abbas, al-Hasan, Qatadah, Ad-Dhohak, ‘Ata’ al-Kharasani, Ibnu Juraij dan Muqatil. Apakah yang mati itu? Ini mempunyai tiga pendapat:

* Seorang lelaki yang mati. Inilah pendapat Ibnu Abbas.

* Bangkai keldai seperti kata Ibnu Juraij dan Muqatil.

* Ikan yang mati. Inilah yang dinyatakan oleh Ibnu Zaid.

Kedua: Apabila Allah memberi berita gembira dengan melantiknya menjadi khalil lantas ditanya bagi mengetahui kebenaran berita itu. Inilah yang dinyatakan oleh As-Suddi daripada Ibnu Mas‘ud dan Ibnu Abbas.

Ketiga: Bahawa beliau bertanya demikian itu untuk menghilangkan segala rintangan was-was seperti pendapat ‘Ata’ bin Abi Rabah.

Keempat: Apabila Namruz membangkangnya berkenaan dengan menghidupkan yang mati lantas bertanya demikian itu untuk melihat apa yang Allah khabarkannya. Inilah pendapat Mahammad bin Ishak.

Sayyid Qutub berkata: “Yakni Allah menyuruh Ibrahim a.s. memilih empat ekor burung supaya beliau mendekati dan menjinakkan burung-burung itu kepadanya agar beliau dapat mengenal pasti sifat masing-masing tanpa tersalah, kemudian hendaklah beliau menyembelih burung-burung itu dan mencincang badannya setelah itu hendaklah beliau bahagikan cincangan-cincangan badan burung itu di atas bukit-bukau yang ada di sekelilingnya kemudian hendaklah beliau memanggil burung (yang mati dicincang) itu nescaya seluruh bahagian badannya yang dicincang itu akan berkumpul sekali lagi dan akan hidup kembali dan akan pulang kepadanya dengan segera. Dan beginilah apa yang telah berlaku.

Kini Ibrahim telah melihat rahsia Ilahi berlaku di hadapan matanya, dan itulah rahsia yang berlaku pada setiap saat tetapi tidak dilihat oleh manusia kecuali kesan-kesannya sahaja setelah ia berlaku dengan sempurna. Itulah rahsia pengurniaan hayat, iaitu hayat yang datang pertama kali, sedangkan sebelum ini ia tidak wujud dan itulah hayat yang tercetus berkali-kali yang tidak terhingga pada setiap makhluk hidup yang baru.

Kini Ibrahim telah melihat rahsia itu berlaku di hadapan matanya. Beberapa ekor burung telah mati dan cincangan-cincangan tubuh badannya telah dibahagi-bahagikan di tempat-tempat yang jauh. Kemudian burung-burung yang dicincang itu sekali lagi hidup kembali dan pulang mendapatkan beliau.

Bagaimana? Inilah satu rahsia yang di luar kemampuan kejadian manusia memahaminya. Mereka mungkin melihat rahsia ini sebagaimana dilihat oleh Ibrahim dan mereka mungkin mempercayainya sebagaimana dipercayai oleh setiap mukmin, tetapi mereka tidak dapat memahami hakikat rahsia ini dan dapat mengetahui caranya, kerana rahsia ini adalah daripada urusan Ilahi, sedangkan manusia tidak mengetahui sesuatu daripada ilmu Allah melainkan apa yang dikehendaki oleh-Nya. Malah Allah tidak menghendaki manusia mengetahui rahsia ini kerana ia lebih besar daripada mereka, kerana tabiat rahsia ini berlainan daripada tabiat mereka dan kerana rahsia ini tidak diperlukan mereka di dalam pentadbiran mereka.

Rahsia ini adalah urusan khas Ilahi yang tidak mampu dijenguk oleh para makhluk dan andainya mereka menjenguk juga untuk melihatnya, maka tiada apa yang dapat dilihat mereka selain daripada tirai yang menutupi rahsia itu. Segala usaha mereka sia-sia sahaja. Itulah usaha orang-orang yang tidak mahu menyerahkan urusan ghaib yang tersembunyi itu kepada Allah yang mengetahui segala yang ghaib.

Firman Allah Taala: (Allah berfirman): Lalu letakkan di atas tiap-tiap satu bukit satu bahagian dari bahagian-bahagian itu, Kemudian panggillah mereka, nescaya mereka datang kepadamu dengan segera.

Berkenaan dengan empat jenis burung terdapat tujuh pandangan:

Pertama: Burung merpati, ayam jantan, kurki (burung Jenjang) dan merak. Seperti riwayat Abdullah bin Hubairah daripada Ibnu Abbas.

Kedua: Burung merak, ayam jantan, ayam betina dan angsa. Inilah riwayat Ad-dhohak daripada Ibnu Abbas.

Ketiga: Empat ekor burung Sya‘nah. Inilah riwayat Abu Soleh daripada Ibnu Abbas.

Keempat: Burung merak, helang, gagak dan ayam jantan. Dinaqalkan daripada Ibnu Abbas juga.

Kelima: Ayam jantan, burung merak, gagak dan merpati. Inilah pendapat Ikrimah ,Mujahid, ‘Ata’, Ibnu Juraij dan Ibnu Zaid.

Keenam: Ayam jantan, gagak, itik dan burung merak. Inilah riwayat Laith daripada Mujahid.

Ketujuh: Ayam jantan, itik, gagak dan merpati. Inilah pendapat Muqatil.

Ibnu Kathir berkata: “Walaupun begitu lebih baik tidak ditentukan kerana kalau ia amat penting nescaya dinaskan oleh al-Quran berkenaan dengan binatang tersebut. Seterusnya disuruh untuk memotongnya dan mencincangnya.” Inilah pendapat Ibnu Abbas, Ikrimah, Sa‘id bin Jubair, Abu al-Aswad al-Duali dan lain-lain.

Firman Allah Taala: dan Ketahuilah bahawa Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

Iaitu Allah bersifat Maha Perkasa tiada bandingan dan tandingan serta tiada sesiapa pun yang dapat menegahnya dan Maha bijaksana dalam perbuatan, perkataan, syariat dan kudratnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0402&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4yr0HWXwa
© Utusan Melayu (M) Bhd

Kisah Musa, Khaidhir



ARKIB : 23/03/2008

Bersama:MOHD. YUSOF ABAS
SOALAN: SAYA membaca cerita Nabi Musa berguru dengan seorang hamba Allah yang soleh. Adakah cerita itu benar-benar berlaku sedangkan Nabi Musa adalah Nabi besar dari kalangan ulul azmi, manakala Khaidhir pula seorang saleh biasa yang dikurniakan ilmu dari Allah. Apakah cerita sebenarnya dan apakah pengajaran daripada cerita ini?

– Mohd Rizal Mohd Said,

Kuala Langat, Selanggor.

JAWAPAN: Ya! Cerita tersebut memang tercatat dalam al-Quran pada akhir surah Al-Kahfi yang bermula dari ayat 65-82. Dikatakan (dikisahkan) Nabi Musa pada suatu hari ada berkata bahawa dialah manusia yang paling alim. Lalu Allah mahu mengingatkanya bahawa ada lagi orang lain yang lebih alim daripadanya selain Allah. Iaitu seorang hamba-Nya yang dikurniakan ilmu daripada-Nya. Orang ini dikatakan bernama Khaidhir. Lalu Nabi Musa ingin bertemu dan belajar dengan hamba itu. Dan bila Nabi Musa bertemu dengannya, baginda pun berkata bolehkah aku mengikutimu untuk belajar.

Jawab Khaidhir: Boleh, tetapi dengan syarat bila kamu ikut aku maka jangan bertanyaku sesuatu sehingga aku bagi tahu kamu jawapannya. Dan kamu tidak mampu bersabar denganku , bagaimana boleh kamu tahan sabar terhadap perkara yang kamu tidak dapat memahami rahsianya.

Ringkas ceritanya: Mereka pun berjalanlah sehingga sampai di satu pelabuhan dan terpaksa menaiki kapal. Apabila kapal itu tiba di destinasinya penumpang pun turun lalu Khaidhir tidak terus turun malah mengambil kapak dan melubangkan kapal tersebut. Nabi Musa pun hairan, kenapa kamu rosakkan kapal ini yang telah membawa kita semua dengan selamat. Sedangkan anak kapal tersebut sangat memuliakan mereka berdua. Sepatutnya kita semua terhutang budi dengan mereka, kamu telah lakukan kerja bodoh. Maka jawab Khaidhir bukankah aku kata, yang kamu tidak mampu bersabar denganku. Kemudian jawab Musa ia terlupa dan iapun memohon maaf. Lalu mereka meneruskan perjalanannya dan bertemu dengan anak-anak yang sedang bermain lalu Khadhir menangkap budak itu dan membunuhnya. Kata Nabi Musa: Kenapa kamu bunuh budak kecil yang tidak berdosa. Ini satu kesalahan yang amat besar.

Jawab Khaidhir: “Aku dah katakan kamu tidak mampu bersabar dengan-Ku”. Kata Nabi Musa, “Sekiranya aku bertanya lagi maka jangan berkawan lagi denganku cukuplah kesilapanku denganmu yang tidak tertahan.”

Lalu mereka berjalan lagi sehingga tiba di sebuah kampung dalam keadaan kelaparan dan ingin mendapatkan makanan dari penduduk kampung yang kedekut itu. Tetapi seluruh penduduk kampung enggan menjamu mereka, lalu bermalamlah mereka dalam kelaparan tetapi Khaidhir apabila bertemu dengan dinding yang hampir roboh lalu beliau bertungkus lumus menegakkanya kembali sekalipun dalam kelaparan.

Kata Nabi Musa, “Elok kalau kamu minta sedikit upah atas kerjamu itu untuk menghilang kelaparan kita ini.” Kata Khaidhir, “Inilah tiba masa perpisahan antara kita. Aku akan ceritakan rahsia perkara yang kamu tidak tahan sabar mengenainya.

“Adapun kapal yang aku rosakkan tempoh hari adalah milik orang miskin yang bekerja (mata pencarian hidup mereka) dalam laut. Aku rosakkannya untuk mengelak dari dirampas raja zalim yang akan merampas semua kapal yang baik-baik. Ini dilakukan supaya dia boleh bekerja membawa penumpang dengan selamat kelak. Dan ternyata selepas itu kapal itulah satu-satunya kapal yang tidak dirampas dan dapat bekerja belayar berulang alik membawa penumpang. Dan kehidupan pekerja kapal yang miskin tadi berubah menjadi senang dan kaya-raya.

“Adapun budak kecil yang dibunuh tadi kerana bila besar nanti dia akan menderhakai ibu bapanya, lalu kemudian Allah ingin menggantikannya dengan anaknya yang lain yang lebih baik dan menyayangi lagi menghormati mereka. Adapun dinding yang hampir roboh tadi, adalah milik dua anak yatim dalam bandar tersebut. Tetapi oleh kerana mereka masih kecil dan tidak mampu menjaga dinding tersebut dengan baik maka aku betulkan sehingga mereka besar nanti dapatlah mereka keluarkan gedung harta yang tersembunyi di bawahnya sebagai harta simpanan dari ibu bapa mereka yang soleh.

“Ini semua kerana rahmat dari Tuhanmu. Semuanya ada rahsia yang kamu tidak mampu bersabar atasnya. Antara pengajaran yang dapat difahami dari kisah tersebut ialah: Tidak ada mereka yang lebih alim melainkan ada di atasnya Yang Maha Mengetahui daripadanya. Kita disuruh belajar sekalipun dengan orang yang lebih rendah dari kita dan setiap perkara yang berlaku itu pasti ada hikmatnya dan sekalipun ianya berupa musibah tetapi pasti ada bersamanya rahmat dan nikmat.” Allah berfiman bermaksud: Sungguhnya berserta kesusahan itu kesenangan (surah al-Insyirah ayat 5-6) Wallahualam.

Barang daripada kulit bangkai

Soalan: Bagaimana hukum memanfaatkan kulit bangkai? Saya waswas kerana di pasaran sekarang banyak barang kulit yang mungkin diperbuat daripada kulit bangkai.

– Amin Shah, Puchong, Selangor.

JAWAPAN: Anda tidak perlu waswas kerana kulit bangkai akan menjadi suci apabila disamak. Rasulullah pernah melihat bangkai kambing di tepi jalan lalu sabdanya kepada para sahabat kenapa kamu tidak menggunakan kulitnya? Tanya para sahabat bukankan ianya menjadi najis? Sabdanya yang najis itu kalau memakannya tetapi kultnya kalau disamak akan menjadi suci dan boleh digunakan (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Melainkan kulit binatang seperti anjing, babi dan kacukan keduanya sahaja yang tidak akan suci sekalipun setelah disamak. Adapun bangkai lain semuanya boleh disamak menurut mazhab kita dan tidak perlu ragu untuk menggunakanya setelah disamak. Sedangkan samak tersebut mestilah dengan menggunakan bahannya yang tertentu yang boleh membersihkan dan menghilangkan kotoran dari kulit tersebut, seperti kulit sejenis kayu (samak atau salam) atau barang lain yang boleh digunakan untuk tujuan tersebut. Adapun anjing dan babi tadi tidak boleh disucikan melalui samak itu kerana hukumnya najis aini (zatnya). Wallahualam.

- ALAMATKAN kemusykilan anda kepada Kemusykilan Anda Dijawab, Yadim, Jalan Perdana 50480 Kuala Lumpur atau e-mel mingguan@utusan.com.my. Nyatakan nama penuh dan nama samaran untuk siaran.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4ypi0pC00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dakwah Rasulullah secara terang-terangan (Siri 79)



ARKIB : 21/03/2008 
NABI Muhammad diwahyukan agar agama Islam secara terang-terangan. Pada mulanya baginda risau dengan penerimaan orang-orang di Mekah. Allah berfirman kepada Nabi Muhammad supaya tidak gentar.

Allah memberi jaminan akan memelihara baginda.

Nabi Muhammad pun mengumpulkan anggota keluarganya, iaitu dari suku Bani Hasyim. Selepas selesai makan, Nabi Muhammad pun berkata: “Wahai semua yang berada di sini. Hendaklah kamu menyembah Allah, berimanlah dengan ajaran Islam dan meninggalkan penyembahan berhala. Sesungguhnya aku adalah pesuruh Allah”.

Abu Talib segera bangun dan berkata, “Hentikan wahai Muhammad. Aku risaukan keselamatanmu. Kalau kau terus bercakap, aku khuatir jika kaum keluarga ini tidak menyenanginya dan akan mencederakanmu”.

Nabi Muhammad akur. Baginda berdiam diri. Keesokan harinya, sekali lagi majlis itu diadakan. Kali ini Nabi Muhammad masih terus menyeru kepada anggota keluarganya.

“Percayalah, aku membawa kebaikan yang tiada sesiapapun di kalangan kamu yang pernah membawanya. Ia akan membawa kebaikan di dunia dan akhirat. Allah telah mengutuskan aku kepada kamu untuk mengajak kamu beriman kepada-Nya. Siapakah di antara kamu yang menyahut seruanku?”

Semua yang ada di situ tidak menyahut seruan Nabi Muhammad. Mereka mengejek dan mencemuh Baginda. Waktu itu, bangun seorang kanak-kanak lelaki. Beliau ialah Ali bin Abi Talib.

“Ya Rasulullah. Aku akan membantumu. Aku akan melindungimu. Sesiapa saja yang menghalangmu, pasti akan aku lawan,” kata Ali.

Para hadirin ketawa terbahak-bahak mendengar kata-kata Ali itu. Mereka mengejek dan menghina Ali dan bapanya, Abu Talib. Akhirnya, Abu Talib meninggalkan tempat itu.

Suatu hari, Nabi Muhammad telah berdiri di Bukit Safa dan menyuruh semua orang berkumpul di situ. Semua orang pergi ke Bukit Safa. Malah ada yang menghantar wakil.

“Apakah kamu percaya jika aku katakan di belakang bukit ini ada sekumpulan tentera yang ganas?” tanya Nabi Muhammad.

“Ya. Kami tidak pernah mendengar kamu berbohong,” jawab mereka.

“Aku meminta kamu beriman kepada Allah. Jika tidak kamu akan ditimpa azab yang berat,” kata Nabi Muhammad.

“Adakah kerana ini kau kumpulkan kami? Celakalah kau, wahai Muhammad,” herdik Abu Lahab yang turut hadir di situ.

Sejak itu, Nabi Muhammad terus dimusuhi. Musuh ketat Baginda adalah Abu Lahab. Nabi Muhammad selalu dihina dan dikeji. Namun Baginda tetap sabar dan tabah dalam menyebarkan dakwah.

Mulai daripada itu, Ali menemani Nabi Muhammad pergi ke mana sahaja. Baginda pun mula menyebarkan agama Islam secara terang-terangan. Walaupun berlainan agama, Abu Talib terus memberi perlindungan kepada Nabi Muhammad.

* Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0321&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4ype99hcM
© Utusan Melayu (M) Bhd

Perjalanan Nabi Musa ketika kembali ke Mesir



ARKIB : 14/03/2008 
KISAH AL-QURAN - SIRI 78
MAKA tatkala Musa menyelesaikan waktu yang ditentukan dan dia berangkat dengan keluarganya, dilihatnya api di lereng gunung. Ia berkata kepada keluarganya: “Tunggulah (di sini) sesungguhnya aku melihat api, mudah-mudahan aku dapat membawa suatu berita kepadamu dari (tempat) api itu atau (membawa) sesuluh api, agar kamu dapat menghangatkan badan”. (al-Qashash: 29)

Dari Madyan, Nabi Musa membawa isterinya menuju ke Mesir iaitu negeri kelahirannya. Nabi Musa meninggalkan mertuanya yang sudah tua. Walaupun beliau bahagia bersama isterinya isterinya di Madyan, tetapi Nabi Musa mahu kembali ke tanah airnya.

Nabi Musa bersama isterinya berangkat menuju ke utara meninggalkan Madyan. Setelah berjalan menempuh padang pasir yang luas, akhirnya Nabi Musa bersama isterinya tiba di Thur Sina (Gunung Sinai). Nabi Musa bersama isterinya sesat dan berasa ragu untuk meneruskan perjalanan.

Malam telah tiba, membawa bersama ketenangan dan kedamaian dengan bintang-bintang yang gemerlapan di langit. Bertambah ragu dan bimbang Nabi Musa dengan perjalanan mereka. Tiba-tiba dari jauh Nabi Musa melihat api-api yang berkelip-kelip.

“Saya mahu ke sana. Mahu melihat api yang berkelip-kelip itu. Tinggallah kamu di sini sekejap. Saya akan segera ke sini membawa berita,” kata Nabi Musa kepada isterinya.

Nabi Musa pun berjalan menuju ke tempat itu. Nabi Musa tiba di bawah pokok zaitun yang rendang berhampiran api itu. Tiba-tiba dia terdengar satu suara.

“Wahai Musa, Aku adalah Allah Tuhanmu. Maka tanggalkanlah kedua-dua kasut di kakimu, kerana sesungguhnya engkau berada di lembah suci Thuwa. Aku memilih engkau menjadi utusan-Ku Dengan itu dengarlah baik-baik apa yang akan diwahyukan kepadamu. Sesungguhnya Aku adalah Tuhan. Tidak ada Tuhan selain Aku. Dengan itu sembahlah Aku. Dirikanlah sembahyang untuk mengingati Aku. Sesungguhnya kiamat pasti tiba. Manusia akan menerima balasan atas segala perbuatannya. Janganlah engkau menurut kata orang yang tidak mempercayai Aku dan janganlah engkau membawa celaka kepada dirimu sendiri.”

Ular

Wahyu pertama telah sampai kepada Nabi Musa. Nabi Musa telah diangkat menjadi rasul dan sebagai utusan Allah s.w.t.

“Wahai Nabi Musa apakah di tangan kamu itu,” bunyi suara itu selanjutnya.

“Ini adalah tongkatku. Tempat untuk aku bertekan dan menggunakannya untuk menghalau kambing gembalaan,” jawab Nabi Musa.

Allah memerintahkan Nabi Musa melemparkan tongkat yang berada di tangannya itu. Tiba-tiba tongkatnya itu bertukar menjadi ular. Pada mulanya ular itu kecil tetapi lama-kelamaan ular itu menjadi besar.

Nabi Musa menjadi takut sehingga baginda lari dengan sekuat-kuatnya.

“Jangan takut wahai Musa. Sesungguhnya orang yang telah diutus tidak boleh takut. Kamu peganglah semula pasti ia akan menjadi tongkatmu”.

Nabi Musa menjadi tenang dan insaf mendengar firman Allah s.w.t. itu. Baginda bersyukur atas pemberian Allah kepadanya. Musa telah menjadi nabi dan rasul Allah s.w.t.

“Kepitlah tanganmu ke dalam ketiakmu. Nescaya tanganmu akan menjadi putih bersih yang berkilat-kilat. Apabila kamu di dalam ketakutan, pangkulah tanganmu itu. Sekarang kamu boleh berangkat bagi menghadapi Firaun dan pengikut-pengikutnya”.

Inilah kedua-dua mukjizat yang diberikan Allah s.w.t. kepada Nabi Musa. Nabi Musa berjalan pergi ke tempat isterinya lalu meneruskan perjalanan ke Mesir.

PENGAJARAN

* Seseorang itu hendaklah bersyukur dengan kelebihan yang Allah berikan kepadanya.

PERBENDAHARAAN KATA

kembali: balik, pulang

menempuh: melalui

ragu: syak atau was-was

rendang: rendah dan banyak daun serta cabangnya

INFORMASI

Di Gunung Thur Sina, di lembah Thuwa yang suci, Nabi Musa diseru supaya membuka kasutnya dan menerima wahyu Allah s.w.t. serta mukjizat daripada-Nya. Itulah wahyu pertama diterima oleh Nabi Musa sebagai tanda kenabiannya.

- Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0314&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4ypOsQVMT
© Utusan Melayu (M) Bhd