Jumaat, 21 April 2017

Di mana bidaahnya perbuatan berselawat semasa Maulidur Rasul?

ARKIB : 09/05/2004
SOALAN: Sehingga sekarang ini saya berasa pelik, kenapa umat Islam, yang mengetahui amalan menyambut maulidur rasul itu bidaah, tetapi masih melakukan, menyambutnya setiap tahun di bandar-bandar dan kampung-kampung.
Saya harap amalan-amalan bidaah yang terus-menerus diamalkan seperti ini ada dalam maklumat tuan. - Ahmad Syawal, Guar Periuk.
JAWAPAN: Istilah ``bidaah'' berasal dari kata Arab ``bada'a'' yang bererti mengadakan atau menciptakan sesuatu yang baru tanpa contoh terlebih dahulu. Dalam surah al-Baqarah: 117, terdapat firmah Allah yang berbunyi: Badi'u `s-samawati wa'l-ard (yang mengadakan atau yang menciptakan tanpa contoh terlebih dahulu, iaitu langit dan bumi).
R.J Wilkinson (1, 1959:136) menjelaskan ``bidaah'' bererti innovation in religion, in popular speech, lying. Al-Badi' ialah yang mengadakan atau menciptakan pertama kali. Ia adalah merupakan salah satu nama Allah yang indah (asma'u `l-husna), sedangkan orang yang pertama sekali menciptakan sesuatu atau orang yang mengadakan perbuatan bidaah disebut sebagai `mubtadi,' contohnya Edison, James Watt atau Stevenson adalah mubtadi. Kerana mereka adalah orang yang pertama kali menciptakan listrik, mesin wap dan kereta api.
Menurut istilah, bidaah ialah suatu perbuatan, pekerjaan atau cara baru dalam agama yang menyerupai syariah, dengan maksud bahawa melaksanakannya itu akan mendapat keredaan Allah s.w.t.
bidaah boleh dikategorikan kepada beberapa kelompok, di antaranya ialah (i) bidaah sebenar, iaitu sesuatu perbuatan atau acara agama yang sama sekali tidak ada keterangannya daripada al-Quran ataupun hadis.
Contohnya seperti amalan mendekatkan diri kepada Allah dengan menjauhkan diri daripada hiruk-pikuk manusia dengan berpuasa dan bertapa, berpuasa pati geni, iaitu puasa tiga hari atau beberapa hari tertentu menurut yang diajar oleh guru, seperti tujuh hari, atau empat puluh hari berturut-turut tanpa makan dan minum kecuali sedikit, juga makanan tertentu dalam jumlah tertentu, menjadi rahib sehingga tidak beristeri dan sebagainya. bidaah ini juga diistilahkan sebagai bidaah kulliyah.
bidaah lain (ii) ialah bidaah idhafiyah, iaitu amalan yang keterangannya boleh disandarkan kepada al-Quran atau hadis, tetapi salah dalam pelaksanaannya, seperti melakukan sembahyang dua rakaat setelah melakukan sembahyang asar atau subuh. bidaah ini dinamakan bidaah juz'iyyah.
Amalan menyambut maulud di Malaysia dilakukan dengan berkumpul beramai-ramai, berarak dari tempat-tempat tertentu, sama ada dimulakan dari pejabat daerah atau tempat-tempat tertentu menuju ke tempat tertentu, selalunya berhenti di masjid. Demikian dilakukan sekiranya maulud itu diadakan di peringkat daerah.
Pada peringkat yang lebih kecil, selalunya tempat berhenti juga di masjid atau di surau. Ketika perarakan itu berjalan, sepanduk, yang ditulis dengan cogan kata tertentu, dengan ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis dan sebagainya dijadikan panji-panji. Mereka beramai-ramai seperti kanak-kanak sekolah, ibu bapa berpakaian cantik kerana menyambut hari yang mereka anggap amat bersejarah lagi besar, berjalan sambil berselawat ke atas nabi yang dikasihi.
Setelah tiba di masjid atau surau, mereka berhenti. Di sana mereka berhimpun beramai-ramai mendengar syarahan oleh orang-orang tertentu yang telah dijemput hadir bersama, setelah itu mereka dijamu dengan hidangan yang disediakan. Di peringkat negeri perhimpunan ini menjadi satu hari kebesaran tahunan. Terlalu janggal sekiranya ia tidak diadakan. Setahu saya amalan menyambut hari kebesaran seperti ini tidak pernah ditinggalkan biar dalam keadaan apa sekalipun.
Di kebanyakan tempat, terutama di peringkat kampung atau daerah, majlis diadakan dengan menjemput penduduk tempatan hadir ke masjid, atau datang ke tempat tertentu, seperti di tanah lapang untuk hadir, biasanya di malam hari mendengar ceramah daripada penceramah yang dijemput.
Pada hari berkenaan majlis-majlis marhaban dan lain-lainnya diadakan. Kaum ibu bapa, jiran juga jawatankuasa masjid berpadu tenaga dalam usaha menyempurnakan perhimpunan tertentu.
Saudara menekankan bahawa amalan ini sebagai amalan bidaah iaitu ``bidaah dalalah'', bidaah sesat, melencong daripada amalan rasulullah dan setiap amalan bidaah itu tempatnya di dalam neraka.
Upacara keagamaan yang memenuhi sebahagian daripada upacara tersebut ialah berselawat. Dalam surah al-Ahzab: 56 Allah menjelaskan bahawa Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas nabi. Kerana itu Allah menyuruh orang yang beriman agar berselawat dan salam yang sempurna.
Rasulullah dalam sebuah hadis menyatakan bahawa barang siapa berselawat ke atasnya satu selawat, Allah akan berselawat ke atasnya sebanyak 10 kali. Orang yang paling utama bersama nabi pada hari kiamat kelak ialah mereka yang paling banyak berselawat ke atasnya.
Sebaik-baik hari ialah hari Jumaat. Kerana itu perbanyakkan selawat pada hari berkenaan, kerana selawat manusia itu akan diperlihatkan atau ditunjukkan ke atas nabi dan baginda akan menjawab salam berkenaan.
Tidak dijelaskan secara khusus ketika bila dan keadaan seseorang itu dianjurkan berselawat, ketika duduk selepas sembahyang lima waktu, ketika kenduri akikah selepas bermarhaban, atau ketika berarak maulidur rasul.
Terlalu besar fadilat mereka yang berselawat, termasuk mereka yang berarak maulidur rasul atau oleh orang-orang tertentu yang diikuti oleh mereka yang hadir di masjid-masjid, surau-surau atau di tanah-tanah lapang.
Agaknya saudara yang berasa pelik dengan amalan seperti ini dapat membuktikan, di manakah bidaahnya amalan berselawat tersebut, yang menyebabkan pengamalnya iaitu mereka yang berselawat itu akhirnya akan berada di neraka jahanam seperti yang saudara luahkan dalam surat saudara yang panjang lebar itu?
Kebesaran
Maulidur rasul adalah salah satu lambang atau syiar kebesaran agama Islam. Kerajaan Malaysia telah mengiktirafnya, lalu memberi cuti pada hari berkenaan, memberi peluang setiap orang Islam menyambut hari berkenaan.
Sebahagian daripada mereka keluar rumah. Kecil, besar, ibu dan bapa berkumpul berarak sambil berselawat beramai-ramai menuju ke masjid seperti yang dijelaskan.
Sebahagian masyarakat Melayu tidak mengambil endah dengan perayaan ini kerana menganggapnya tidak penting, tidak ada masa kerana balik kampung, cuti atau atas sebab-sebab peribadi dan mungkin ada juga menganggap bahawa amalan ini satu amalan bidaah, kerana terpengaruh dengan pandangan orang yang seperti saudara, atau secara kebetulan mempunyai pegangan seperti saudara.
Mereka yang berarak maulud berakhir di masjid, seperti yang dijelaskan. Satu amalan menggalakkan manusia Islam ke masjid, rumah Allah. Apabila saudara mengatakan bahawa berarak ke masjid itu amalan bidaah dan setiap bidaah itu akan berakhir di neraka, bererti bahawa secara tidak langsung saudara memberi tafsiran bahawa perbuatan ke masjid itu adalah bidaah, yang akhirnya ke neraka. Pegangan saudara secara tidak langsung seperti mengancam atau menakut-nakutkan mereka yang pergi ke masjid.
Apabila satu kumpulan umat Islam itu telah mengamalkan satu upacara keagamaan, contohnya seperti mengadakan majlis maulidur rasul, majlis bertahlil kenduri arwah, membaca talkin kematian, juga amalan wirid setelah sembahyang lima waktu, seperti yang dilakukan sekarang ini, tiba-tiba lahir pendapat yang mengatakan bahawa amalan tersebut sebagai bidaah, tidak pernah dilakukan oleh rasulullah, oleh para sahabat, tabiin atau oleh negara-negara Arab, maka kumpulan umat Islam itu sebahagian daripadanya akan terpengaruh oleh pendapat seperti ini, lebih-lebih lagi sekiranya orang yang bercakap, atau memberi syarahan atau pendapat itu terdiri daripada guru-guru agama atau oleh orang yang berpengaruh.
Apabila ini terjadi, maka akan berlakulah perpecahan di kalangan umat Islam tempatan, hasil daripada pengaruh atau apa yang boleh dianggap sebagai hasutan orang yang seperti saudara. Di sini jelas, membuktikan bahawa orang yang seperti saudara inilah yang memecahbelahkan umat Islam, dengan bertopengkan alasan-alasan agama seperti yang dijelaskan hasil daripada rasa taksub yang menebal.
Cukuplah dengan apa yang berlaku sekarang ini, di mana orang Islam dibunuh, dihina, dikencing dan ditelanjangi juga dirogol, berpunca daripada perpecahan sesama sendiri, perpecahan akibat kabilah, mazhab, perbezaan parti politik, perbezaan taraf hidup keturunan dan batas-batas geografi. Jadikan apa yang berlaku di negara-negara Islam sebagai contoh, jangan diheret terbawa-bawa di negara tersayang kita ini.
Kalau saudara kata sambutan maulud itu bidaah sesat, boleh agaknya saudara beri jalan keluar, satu alternatif mengganti upacara memperingati maulidur rasul yang ada sekarang ini. Adakah perlu kita mengadakan majlis maulud itu dengan lumba motor di jalan raya, perlawanan bola di padang atau duduk di rumah menonton tv, tayangan main kompang, menonton gambar kartun atau gusti?
Saudara perlu ada kesedaran dan sensitiviti bahawa di Malaysia ini, setiap bangsa berusaha hendak menonjolkan syiar pegangan agama masing-masing. Orang Cina, cuba menonjolkan perarakan tanglung mereka, untuk menjadi lambang pegangan budaya yang dikagumi di universiti-universiti, orang India yang beragama Hindu berusaha menonjolkan perarakan Thaipusam, bersatu berarak berbatu-batu ke kuil-kuil, di setiap kuil, daerah dan negeri, terutamanya di Batu Caves, yang dihadiri penganut dan peminatnya dari seluruh pelosok dunia, tetapi orang yang seperti saudara tidak berhenti-henti meracuni pemikiran orang Islam yang cuba bersatu atas dasar ``bidaah'' yang saudara sendiri hakikatnya tidak begitu faham apa itu bidaah yang sebenar akibat taksub yang dimiliki.

Sabtu, 8 April 2017

Rasulullah juga memendekkan langkah ke tempat sembahyang



ARKIB : 26/10/2003

Soal Jawab Agama Bersama Dr. Amran Kasimin
SOALAN:
Saya terbaca dalam sebuah kitab menyatakan bahawa seseorang itu digalakkan berjalan kaki ke masjid untuk sembahyang. Semakin hampir kepada masjid, dia digalakkan supaya mengecilkan langkahnya untuk memperbanyakkan lagi pahalanya. Orang yang langkahnya kecil, akan banyak langkahnya, apabila langkahnya banyak, maka pahalanya akan lebih banyak. Saya mohon dapat sekiranya ustaz menjelaskan secara tepat apakah yang patut dilakukan oleh setiap orang yang hendak ke masjid mendirikan sembahyang agar memperoleh pahala atau ganjaran yang maksimum. - ANIS, Keramat.

Jawapan:
Rasulullah mengajar, supaya setiap orang yang ke luar dari rumah untuk mendirikan sembahyang di masjid itu dalam keadaan bersih, tenang, sopan, merendah diri dan khusyuk serta tidak dalam keadaan gopoh-gapah.

Hadis daripada Abu Hurairah menyatakan, Aku telah mendengar Rasulullah bersabda: Apabila sembahyang itu hendak didirikan, jangan engkau tergesa-gesa untuk menunaikannya, datanglah dengan berjalan, hendaklah kamu dalam keadaan tenang, maka apa yang kamu peroleh sembahyangnya dan apa yang tertinggal daripada maka sempurnakanlah akan dia - riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Hadis ini adalah jelas. Tidak sayugia bagi seseorang yang ingin berjemaah itu berlari untuk mendapatkan rakaat bersama imam, sama ada rakaat pertama atau akhir rakaat atau untuk mendapatkan qiyam bersama imam, sebelum imam sujud dengan berlari.

Jalan perlahan seperti biasa, apa yang dapat, lakukan dan yang tertinggal sempurnakan. Menurut Ibn al-Qayyim, ketenangan (as-sakinah) itu melahirkan rasa khuduk dan menundukkan pandangan mata.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah beliau berkata, telah bersabda Rasulullah: Apabila seseorang itu berwuduk, maka perelokkanlah wuduk tersebut, kemudian keluar untuk sembahyang, tidak keluar dia kecuali untuk sembahyang. Tidak melangkah dia satu langkah, kecuali diangkat baginya satu darjah dan dihapuskan daripadanya satu dosa. Maka apabila dia berselawat, maka malaikat sentiasa berselawat ke atasnya selagi ia berada di tempat sembahyang - riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Hadis daripada Zaid bin Thabit, beliau berkata: Aku pernah berjalan bersama Rasulullah untuk sembahyang, di mana baginda memendekkan langkah, baginda berkata: Adakah kamu tahu kenapa aku pendekkan langkah? Aku menjawab: Allah dan rasulnya lebih mengetahui. Baginda berkata: Seorang hamba itu sentiasa berada di dalam sembahyang selagi dia dalam usaha untuk menunaikan sembahyang. Menurut satu riwayat: Sesungguhnya aku berbuat demikian untuk memperbanyakkan langkahku ketika hendak sembahyang - riwayat at-Tabrani.

Berdasarkan hadis ini, memang benarlah bacaan yang saudara katakan. Nabi menganjurkan supaya seseorang itu memendekkan langkah kerana mahukan pahala yang lebih banyak, berdasarkan banyaknya langkah yang di tapak ketika menuju ke tempat sembahyang. Kita perhatikan, Rasulullah sendiri pun berbuat demikian, mahukan pahala yang lebih berdasarkan kepada langkah yang dilakukan, padahal baginda adalah maksum, terpelihara daripada dosa, pada masa yang telah lalu dan yang akan datang. Baginda telah dipastikan tempatnya di syurga, tetapi tetap mahukan pahala yang lebih.

Demikianlah kehidupan manusia kekasih Allah, yang semakin tunduk, menghambakan diri kepada Allah. Semakin banyak menikmati kurniaan Allah, maka semakin banyak kesyukuran kepada-Nya. Demikianlah di antara amalan baginda yang sewajarnya dijadikan teladan kepada hamba-Nya.

Ketika keluar rumah disunatkan membaca doa berikut yang bermaksud: Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah, tidak ada usaha juga tidak ada kekuatan kecuali pada Allah.

Menurut hadis daripada Anas r.a. bahawa Rasulullah apabila keluar dari rumah membaca doa di atas, maka dikata bagi orang yang membaca itu: Engkau telah diberi petunjuk, memadailah dan engkau telah terpelihara dan syaitan menjauhi darinya - hadis riwayat at-Tarmizi, Abu Daud dan Ibn Habban dalam sahihnya.

Selain doa di atas, Rasulullah mengajar agar seseorang itu membaca doa berikut: Ya Allah, jadikan dalam hatiku cahaya, pada lidahku cahaya, pada pendengaranku cahaya dan jadikanlah pada pandanganku cahaya, belakangku cahaya, hadapanku cahaya dan jadikanlah di atasku cahaya, bawahku cahaya dan anugerahkanlah akan daku cahaya - riwayat Muslim.

Jangan bertasbik, iaitu memasukkan jari-jari tangan ke celah-celah jari tangan yang lain. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Said daripada Rasulullah bahawasanya baginda telah bersabda: Apabila seorang daripada kamu berada di dalam masjid, maka janganlah dimasukkan jari-jarinya di celah-celah jari tangan yang lain, maka sesungguhnya tasbik itu daripada perbuatan syaitan. Dan sesungguhnya seseorang daripada kamu sentiasa berada dalam sembahyang selagi dia berada di masjid, sehinggalah dia keluar darinya - riwayat Ahmad dengan sanadnya yang hasan.

Dalam sebuah hadis lain, daripada Kaab bin Ujzah dinyatakan bahawa Rasulullah telah melihat seorang lelaki memasukkan jari-jarinya di celah jari-jari tangannya yang lain dalam sembahyang, maka baginda menghuraikan jari-jarinya tadi. Hadis riwayat Ibn Majah. Begitu juga makruh hukumnya berbuat demikian ketika menantikan waktu mendirikan sembahyang.

Rasulullah mengajar membaca doa berikut ketika hendak memasuki masjid: Dengan nama Allah, aku berlindung kepada Allah yang agung juga wajah-Nya yang mulia dan kekuasaan-Nya yang kekal daripada syaitan yang direjam. Ya Allah, selawat sejahtera ke atas Muhammad. Ya Allah ampunilah dosa-dosaku, dan bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmat-Mu.

Setelah membaca doa ini, barulah masuk masjid melangkah dengan kaki kanan. Dalam sebuah hadis lain, baginda mengajar supaya seseorang itu membaca doa berikut sebelum masuk masjid, maknanya: Aku berlindung kepada Allah yang agung juga dengan wajah-Nya yang mulia dan kekuasaan-Nya yang kekal daripada syaitan yang direjam.

Baginda memberitahu: Apabila seseorang itu membaca doa di atas, syaitan berkata: Dia terpelihara daripada aku sepanjang hari - hadis riwayat Abu Daud. Hadis hasan.

Jangan duduk di masjid kecuali setelah mendirikan sembahyang dua rakaat tahiyat masjid. Demikianlah yang dilakukan oleh baginda di mana baginda sembahyang dua rakaat sebelum duduk. Dalam sebuah hadis daripada Jabir yang diceritakan tentang seorang lelaki yang telah masuk masjid ketika baginda sedang membaca khutbah Jumaat. Baginda bertanya: Adakah anda telah sembahyang? Lelaki itu menjawab: Belum. Baginda berkata: Bangun. Sembahyang dua rakyat - riwayat Bukhari dan Muslim.

Duduk menghadap kiblat. Setiap sesuatu itu ada penghulu atau ketuanya. Ketua bagi sesuatu majlis itu ialah arah kiblat. Demikianlah yang disebut oleh sebuah hadis dengan sanadnya yang hasan, riwayat oleh at-Tabrani, kemudian berzikir, membaca al-Quran ataupun diam dan jangan bertasbik, iaitu memasukkan jari-jari ke celah jari-jari tangan lain.

Makruh berbicara tentang urusan dunia, termasuk berbicara urusan perniagaan. Dalam sebuah hadis mursal, dinyatakan bahawa Rasulullah ada bersabda: Akan datang satu zaman di mana manusia perbualan mereka ialah urusan dunia ketika berada di masjid-masjid. Maka janganlah kamu duduk bersama mereka, maka tidak ada bagi Allah itu hajat pada mereka - riwayat al-Bayhaqiy.

Dalam sebuah hadis lain, hadis daripada Abu Hurairah dinyatakan bahawa Rasulullah ada bersabda: Apabila kamu lihat orang yang sedang berjual beli di masjid, maka katakanlah: Allah tidak akan memberi keuntungan terhadap perniagaanmu - riwayat at-Tarmizi.

Ketika iqamah telah dibacakan, maka ditegah seseorang itu mendirikan sembahyang sunat, sekalipun ia terdiri daripada sunat rawatib, iaitu sekiranya sembahyang tersebut belum dilakukan sepenuhnya satu rakaat.

Sekiranya telah dikerjakan satu rakaat, lalu kedengaran iqamah dibacakan, maka dia hendaklah menyempurnakan sembahyang sunatnya tadi iaitu dua rakaat. Sekiranya belum sempurna satu rakaat, iaitu belum melakukan rukuk, atau baru hendak membaca al-Fatihah, dia hendaklah membaca salam dan memutuskan sembahyangnya lalu ikut berjemaah.

Dalam keadaan seperti ini, muazzin atau orang yang terlibat membaca iqamah hendaklah memastikan bahawa setiap orang itu tidak dalam keadaan sembahyang sunat, untuk mengelakkan daripada berlakunya kejadian seperti dijelaskan, iaitu seseorang itu sedang sembahyang sunat pada hal iqamah telah sempurna dibaca.

Keterangan ini adalah berdasarkan kepada hadis daripada Abu Hurairah, yang menyatakan bahawa Rasulullah ada bersabda: Apabila iqamah sembahyang telah dimulakan, maka tidak ada sembahyang kecuali sembahyang fardu.

Mendirikan sembahyang di masjid dengan berjemaah mempunyai adab-adab dan peraturan tertentu menurut sunah Rasulullah. Apabila membicarakan tentang pahala yang banyak bagi mereka yang berjalan kaki, menurut banyaknya langkah yang diatur, maka akan timbul persoalan tentang orang yang menaiki basikal, kereta dan sebagainya, termasuk mereka yang menjadi tauke, duduk di belakang kereta lalu menuju ke masjid dipandu oleh pemandu.

Keterangan hadis di atas memperlihatkan bahawa seseorang itu perlu berusaha melakukan ibadah yang hendak dilakukan, iaitu ibadah sembahyang sebaik boleh, agar memperoleh pahala yang banyak. Untuk memperoleh pahala atau ganjaran yang banyak atau maksimum seperti saudara harapkan, amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah perlu difahami, dihayati dan diikuti. Semoga Allah memberkati amalan kita semua.

Pembaca yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:

Dr. Amran Kasimin

Mingguan Malaysia

46M, Jalan Chan Sow Lin

55200 Kuala Lumpur.

Faks: 03-92213752

E-mel: mingguan@utusan.com.my

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4de5RRvSo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, 7 April 2017

Rahsia tersirat Israk dan Mikraj



ARKIB : 24/09/

Oleh Mohd. Shauki Abdul Majid
 ISRAK dan Mikraj atau perjalanan Nabi Muhammad s.a.w dari Mekah ke Baitulmaqdis dan naik ke Sidratul Muntaha, kemudian kembali ke Mekah dalam waktu singkat merupakan peristiwa yang sukar diterima oleh akal yang rasional kecuali melalui pendekatan iman. Satu perjalanan spiritual yang paling tinggi yang tidak pernah dialami oleh mana-mana Nabi pun. Ia dianggap mukjizat kedua terbesar setelah al-Quran.

Para ulama banyak berselisih pendapat tentang bilakah terjadinya Israk dan Mikraj. Sebahagian ulama berpendapat ia terjadi pada malam 7 Rabiulawal, sebahagian yang lain pula menyatakan 27 Rabiulawal dan ada yang mengatakan pada 29 Ramadan. Namun sebahagian besar ulama antaranya seperti Al-Allamah Al-Manshufury berpendapat Israk dan Mikraj terjadi pada malam 27 Rejab.

Demikian juga perselisihan pendapat tentang jumlah atau berapa kali terjadinya Israk dan Mikraj, tentang bagaimana terjadinya iaitu adakah dengan tubuh kasar (jasmani) atau tubuh halus (rohani) atau rohani sahaja, apakah ia termasuk mukjizat Nabi atau tidak dan sehinggalah dalam menentukan tempat menjadi titik tolak perjalanan Israk itu.

Selepas pelbagai penafsiran dan pendapat mengenai cara bagaimana Israk dan Mikraj itu terjadi, peristiwa ladunity (Ilahi) itu diakui kebenarannya oleh segenap umat Islam. Dalam kaitan masalah tersebut, kenyataan menunjukkan ia benar-benar berlaku meskipun hanya hadis yang membicarakan peristiwa Israk dan Mikraj. Penyebutannya dalam al-Quran dapat dikatakan amat sedikit. Kerana itu wajarlah jika timbul pelbagai pendapat dan pentafsiran. Yang perlu kita ketahui adalah cara al-Quran dalam mengemukakan suatu peristiwa sejarah kehidupan Rasulullah s.a.w tidak sama dengan cara yang ditempuh oleh para penulis kitab-kitab Sirah, atau buku-buku sejarah yang lainnya. Ia merupakan salah satu ciri-ciri khas al-Quran.

Penjelasan al-Quran mengenai peristiwa-peristiwa yang terjadi, baik yang ringkas mahupun yang panjang, memang berbeza sekali dari penjelasan yang lazim diberikan oleh penulis buku. Al-Quran tidak mengutamakan besar atau kecilnya skala kejadian, tetapi lebih mengutamakan kandungan hikmahnya yang dikehendaki Allah s.w.t.

Keimanan

Penyajian yang ringkas ini mungkin bermaksud menguji keimanan, mana yang mantap dan mana yang goyah di kalangan para pengikut Rasulullah s.a.w, yakni kaum Muslimin. Ia ditunjukkan oleh kenyataan bahawa beberapa orang yang pada masa itu telah memeluk Islam terus menjadi murtad setelah mendengar berita tentang Israk dan Mikraj. Itulah yang menjadi dasar pentafsiran yang menegaskan bahawa peristiwa Israk dan Mikraj merupakan ujian bagi kaum Muslimin.

Sejauh mana hikmah yang dikehendaki Allah s.w.t dalam peristiwa besar itu, kita tidak dapat menjangkaunya, akan tetapi dengan disebut peristiwa itu di dalam al-Quran telah memberi dorongan kepada kita untuk berfikir dan merenungkan kekuasaan Allah s.w.t Yang Maha Mutlak.

Sebenarnya adalah tidak wajar diberi tempat untuk perdebatan yang berlarutan yang timbul di zaman dahulu dan sekarang mengenai hakikat peristiwa Israk dan Mikraj yang nyata berlaku dalam kehidupan Rasulullah s.a.w. Jarak di antara Israk Mikraj dengan roh, jasad, atau jarak di antara melihat dalam masa tidur atau melihat dalam masa jaga adalah jarak yang tidak jauh.

Ia tidak sedikit pun menjejaskan hakikat peristiwa ini sebagai satu peristiwa yang telah mendedah dan membuka kepada Rasulullah s.a.w tempat-tempat dan alam yang amat jauh dalam sekilas masa yang pendek sahaja. Orang yang memahami sesuatu daripada hakikat kudrat Ilahi dan hakikat nubuwah, tidak sedikit pun memandang ganjil kepada peristiwa itu.

Segala kerja yang kelihatan berbeza-beza dari segi mudah dan payah pada pandangan manusia mengikut ukuran kudrat dan pemikiran mereka atau mengikut apa yang dibiasakan dan difikirkan mereka adalah sama sahaja di hadapan kudrat Ilahi. Sesuatu kebiasaan yang dilihat di alam manusia itu tidak boleh dijadikan hukum dalam penilaian segala perkara dibandingkan dengan kudrat Allah.

Hakikat nubuwah pula ialah perhubungan dengan al-Mala'ul-A'la, iaitu perhubungan yang bukan menjadi ukuran atau kebiasaan kepada insan-insan yang lain (daripada para Rasul). Kebolehan menjelma di tempat atau di alam yang jauh atau kebolehan sampai di tempat yang jauh dengan wasilah yang diketahui umum dengan wasilah yang tidak diketahui umum bukanlah sesuatu perkara yang lebih pelik daripada perhubungan dengan alam al-Mala'ul-A'la dan menerima wahyu darinya.

Abu Bakar telah berkata benar apabila dia memulangkan perkara yang dirasakan pelik dan ganjil oleh kaum Musyrikin kepada hakikat yang mudah dan biasa dengan katanya: ``Aku percayakan beliau lebih dari itu lagi, iaitu aku telah percaya bahawa baginda membawa wahyu dari langit (Allah)!''

Kebenarannya

Di antara perkara yang menarik perhatian sehubungan dengan peristiwa ini, yang mana kebenarannya ternyata kepada kaum Musyrikin dengan bukti fizikal yang dipinta mereka, iaitu bukti kafilah (dalam perjalanan balik ke Mekah) dan sifat-sifatnya, ialah Rasulullah s.a.w tidak mendengar nasihat Ummu Hani yang menyatakan kebimbangannya bahawa baginda akan didustai oleh kaum Musyrikin kerana peristiwa itu sangat ganjil.

Kepercayaan Rasulullah s.a.w kepada kebenaran yang dibawa olehnya dan kebenaran yang berlaku kepadanya membuat baginda sanggup menceritakannya kepada mereka dengan terus terang tanpa mempedulikan apa sahaja pendapat mereka terhadap dirinya. Sesetengah mereka telah bertindak keluar dari Islam dan sesetengah pula menggunakan peristiwa itu sebagai bebanan ejekan dan menanamkan keraguan, tetapi semua itu tidak dapat mematahkan keazaman Rasulullah s.a.w untuk mengumumkan secara lantang kebenaran yang dipercayainya.

Ini adalah menjadi contoh teladan kepada para pendakwah agar sanggup menerangkan dakwah yang benar itu dengan berterus terang tanpa menaruh kebimbangan terhadap kesannya di dalam hati manusia, tanpa mengampu-ampu untuk mengambil hati mereka dan tanpa berusaha mencari titik-titik kebenaran yang hendak dikemukakan kepada mereka.

Satu perkara lagi yang menarik perhatian ialah Rasulullah s.a.w tidak menggunakan peristiwa ini sebagai mukjizat untuk membenarkan kerasulannya sedangkan kaum Musyrikin mendesak beliau supaya menunjukkan mukjizat-mukjizat. Dan kini sekurang-kurangnya telah terbukti kepada mereka kebenaran peristiwa Israk itu. Ini kerana dakwah Islam tidak bergantung kepada mukjizat, malah bergantung kepada tabiat dakwah dan kepada cara dakwah itu sendiri yang diambil dari fitrah manusia yang lurus, yang sesuai dengan daya-daya pemikiran mereka setelah ia dibetulkan.

Pengumuman peristiwa ini yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dengan terus-terang itu bukanlah terbit kerana beliau berpegang kepadanya untuk membuktikan sesuatu daripada kerasulannya, malah ia merupakan pengumuman hakikat yang diyakini benar oleh baginda, iaitu pengumuman semata-mata kerana ia adalah benar.

- Mohd. Shauki Abdul Majid ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_04.htm#ixzz4dZpqwYK0
© Utusan Melayu (M) BhdARKIB : 23/09/2003