Jumaat, 31 Mac 2017

Rasulullah s.a.w. amalkan toleransi beragama



ARKIB : 09/05/2003
Wacana Islam
Oleh Mohd. Shauki Abd Majid
Menjelang perayaan atau peringatan Maulid yang akan disambut dalam bulan Rabiulawal, ia adalah sebagai pernyataan cinta daripada umat Islam kepada Nabinya.

Sejarah mencatatkan mulanya perayaan ini diadakan pada abad keempat Hijriah setelah tentera Salib merampas Palestin daripada tangan umat Islam. Kemenangan ini disambut dengan perayaan Hari Natal secara besar-besaran.

Lantas bagi mengembalikan kembali semangat umat Islam yang kian luntur itu, maka diadakan perayaan Maulid Nabi. Setelah 200 tahun lamanya dijajah, akhirnya tentera Salib berjaya di usir dari Palestin di bawah pimpinan Sultan Salahuddin Al-Ayyubi.

Umat Islam dituntut bukan hanya untuk menghayati ajaran Nabi Muhammad s.a.w., tetapi juga memantapkan cinta dan penghargaan ke atas jasa-jasa serta pengorbanannya menegakkan syiar Islam.

Justeru kerana jasa dan pengorbanan Rasulullah, serta atas dasar pemberian hak penghormatan itulah, sehingga Allah s.w.t dan para malaikat mencurahkan rahmat dan memohon maghfirah untuk baginda serta menganjurkan umat Islam untuk menyampaikan selawat dan salam sejahtera kepada Nabi Muhammad s.a.w serta keluarganya.

Menyedari kedudukan baginda sebagai ikutan dan teladan, menuntut kita tidak terpaku dalam kelakuan (kelaziman) lahiriah dan melupakan hakikat ajarannya yang sebenar. Lebih daripada itu harus disedari bahawa ajaran Rasulullah berorientasikan kepada usaha perpaduan kemanusiaan.

Namun perpaduan yang diajarkan itu tidak meleburkan perbezaan tetapi tetap menghormati setiap perbezaan antara kaum kerana setiap daripada mereka telah memilih jalan kehidupan sendiri, sehingga mereka harus mencapai prestasi kebajikan masing-masing.

Kalau dilihat dalam konteks kehidupan masyarakat majmuk yang telah berjaya membawa keserasian sosial di negara ini, ia adalah salah satu hakikat daripada ajaran Nabi Muhammad s.a.w. Kita amat bersyukur kerana dunia tertumpu kepada kita dengan penuh penghargaan bahawa ajaran Nabi Muhammad s.a.w terpancar dalam kehidupan bangsa Malaysia.

Islam di Malaysia, menurut pandangan dunia luar, menampakkan wajah-wajah yang menarik dan karakternya yang memikat sebagai kerahmatan lil alamin (sebagai rahmat bagi seluruh alam, seluruh manusia) jauh daripada radikalisme dan ekstremisme yang melanda dunia masa kini.

Mereka mengagumi pendekatan keagamaan kita, mereka menunjuki Malaysia sebagai model alternatif bagi kewujudan kerukunan hidup antara umat beragama di permukaan bumi ini. Ramai di kalangan cendekiawan Muslim terkenal meramalkan bahawa Islam yang indah, sejuk dan menarik yang menghidupkan kembali nilai-nilai luhur, toleransi daripada ajaran Nabi Muhammad s.a.w akan menyingsing dari bumi Malaysia.

Jelas sekali bahawa pengamalan agama dalam masyarakat Malaysia dibanding dengan masyarakat Islam lainnya, merupakan model yang paling dekat dengan nilai al-Quran dan sunah Nabi Muhammad s.a.w. Banyak kalangan kita yang menganggap bahawa kerukunan hidup dalam masyarakat majmuk adalah hal yang biasa dan lumrah, kerana telah sebati dalam jiwa raga bangsa, sehingga prestasi ini tidak kita anggap suatu keunggulan dan keistimewaan yang patut diyakini.

Namun jika kita melihat dari dunia luar, kita akan tahu dan sedar betapa besar nikmat Allah yang dilimpahkan kepada bangsa kita. Nilai luhur bangsa serta ajaran toleransi Nabi Muhammad s.a.w telah berakar dalam jiwa, berkat kearifan dan jasa para pemimpin terdahulu yang kemudian diteruskan oleh pemimpin-pemimpin yang ada hari ini.

Dalam konteks ini, kepada golongan generasi muda, hendaklah memperhatikan pesan Allah dalam firmannya yang bermaksud:

Janganlah kamu menjadi seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat menjadi bercerai-berai. (Surah al-Nahl ayat 92).

Untuk memulihkan prestasi gemilang ini orang Melayu khususnya generasi penerus, dituntut bukan sahaja mempertahankan dan melestarikan apa yang telah dicapai tetapi meningkatkannya sehingga model dan pendekatan kita dapat mula diperkenalkan dan aplikasikan di dunia luar demi tanggungjawab moral kita menciptakan perdamaian dunia. Kerana pada hakikatnya perdamaian dunia tidak akan tercapai tanpa perdamaian antara umat beragama.

Untuk mencapai hakikat dan tujuan ini, kita harus mampu mensosialisasikan semangat ajaran serta keteladanan Nabi Muhammad s.a.w.

Toleransi yang Rasulullah ajar harus sentiasa menjadi acuan dan pedoman dalam interaksi kita dengan umat agama lain. Di antara sekian banyak contoh yang ditunjukkan oleh Nabi dalam menjalin hubungan keakraban ialah sikap lapang dada.

Baginda mengizinkan rombongan Kristian Najran yang berkunjung ke Madinah untuk berdoa di kediaman beliau, sebagaimana diungkapkan oleh sejarahwan Islam Ali bin Burhanuddin Al Habibi Al Shafie dalam bukunya Al Shirah.

Dalam usaha merealisasikan kehidupan yang damai, umat Islam, mahupun juga penganut agama lain, sepatutnya tidak terpengaruh oleh sejarah konflik yang pernah terjadi di dunia luar. Sejarah konflik antara umat beragama di dunia luar telah melahirkan kesalahfahaman, rasa curiga dan permusuhan. Ia harus dibuang jauh dari bumi kita.

Dari apa yang diutarakan di atas tersimpul suatu harapan yang mendorong kepada umat beragama untuk menunjukkan semangat keakraban dan persaudaraan mendalam terhadap saudara-saudaranya umat agama lain.

Kalau harapan ini dapat wujud, insya-Allah akan tercipta suatu model unik yang mampu menerobos tembok pemisah psikologi yang selama ini menghambat kemesraan hubungan antara umat beragama.

- MOHD. SHAUKI ABD. MAJID ialah Penolong Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0509&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm#ixzz4cuqj01S1
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 28 Mac 2017

Aidiladha - Sejarah dua nabi

ARKIB : 12/02/2003
MENGHADAP kiblat yang satu untuk menyembah Tuhan yang satu.
Oleh ZAMRI MOHAMAD
HARI ini, 10 Zulhijjah 1423 Hijrah bersamaan dengan 12 Februari, umat Islam menyambut perayaan Hari Raya Haji atau lebih di kenali sebagai Aidiladha.

Merenung kembali jejak-jejak sirah para nabi, perayaan ini lebih sinonim dengan kisah Nabi Ibrahim a.s dan anaknya, Nabi Ismail a.s.

Catatan sirah kedua-dua nabi ini, menjadi satu inspirasi kepada jutaan umat Islam ke arah rasa taqwa kepada Allah s.w.t. tanpa berbelah bagi.

Malah ia juga menjadi gambaran simbol kasih sayang yang kukuh antara seorang nabi kepada Tuhannya, seorang suami kepada isterinya, Siti Hajar serta kasih antara ibu dan anaknya.

Terdapat tiga peristiwa penting yang boleh dikutip daripada catatan sirah ini.

Pertama, peristiwa Siti Hajar dan anaknya Ismail a.s diperintahkan oleh Allah s.w.t. agar Nabi Ibrahim meninggalkan mereka di satu kawasan padang pasir yang tandus.

Ia kini menjadi tumpuan jutaan umat Islam menunaikan rukun Islam yang ke lima, Mekah atau dahulunya di kenali sebagai Bakkah.

Peristiwa kedua merupakan ujian Allah s.w.t. ke atas Nabi Ibrahim agar menyembelih anaknya, Nabi Ismail a.s yang berakhir dengan penyembelihan seekor kambing biri-biri sebagai ganti kepada anaknya.

Peristiwa ini menunjukkan betapa patuhnya Nabi Ismail a.s dalam memenuhi arahan yang diberikan oleh Allah tanpa rasa ragu-ragu mahupun curiga:

Nabi Ismail a.s. berkata: ``Hai bapaku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, insya-Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.'' (Ash-Shafaat:102)

Dan ketiga, pembinaan semula Kaabah oleh kedua-dua nabi Allah yang mulia ini.

``Dan (ingatlah), ketika Kami menjadikan rumah itu (Baitullah) tempat berkumpul bagi manusia dan tempat yang aman. Dan jadikanlah sebahagian maqam Ibrahim tempat solat.

``Dan telah Kami perintahkan kepada Ibrahim dan Ismail: ``Bersihkanlah rumah-Ku untuk orang-orang yang tawaf, yang i'tikaf, yang ruku' dan sujud...'' (Al-Baqarah:125)

Al-Quran memberikan gambaran yang jelas tentang keperibadian Nabi Ibrahim di dalam surah Al Nahl ayat 120-122 bermaksud: ``Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam yang dapat dijadikan teladan lagi patuh kepada Allah, dan seorang yang selalu berpegang kepada kebenaran dan tidak pernah meninggalkannya.

``Dan sekali-kali bukanlah dia termasuk orang-orang yang mempersekutukan (Tuhan), (lagi) yang mensyukuri nikmat-nikmat Allah, Allah telah memilihnya dan menunjukkannya kepada jalan yang lurus dan kami berikan kepadanya kebaikan di dunia.

``Dan sesungguhnya dia di akhirat benar-benar termasuk orang-orang yang soleh.'' (An-Nahl:120-122)

Baitullah yang juga dikenali sebagai Kaabah, merupakan arah kiblat bagi semua umat Islam bersembahyang untuk mengabdikan diri kepada Allah.

Kaabah pada mulanya telah dibina oleh Nabi Adam, bapa kepada sekalian manusia. Apabila banjir besar melanda Mekah, Kaabah telah rosak.

Nabi Ibrahim membinanya semula di atas tapak yang sama. Baginda meminta Nabi Ismail mencari sebiji batu bagi menandakan penjuru bagi Kaabah.

Maka Jibril memberikan Nabi Ismail petunjuk untuk mencari sebiji batu yang diberi nama Hajarul Aswad.

Semasa batu itu diletakkan, mereka berdoa, ``Dan (ingatlah) ketika Ibrahim meninggikan (membina) dasar-dasar Baitullah bersama Ismail (seraya berdoa): ``Ya Tuhan kami terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah yang maha mendengar lagi maha mengetahui.

``Ya Tuhan kami, jadikanlah kami berdua orang yang tunduk patuh kepada-Mu dan (jadikanlah) di antara anak cucu kami umat yang tunduk patuh kepada-Mu dan tunjukkanlah kepada kami cara-cara dan tempat-tempat ibadat haji kami, dan terimalah taubat kami.

``Sesungguhnya Engkaulah yang maha penerima taubat lagi maha penyayang.'' (Al-Baqarah:127-129)

Kaabah merupakan kiblat, yakni arah tuju Muslim ketika menunaikan kewajipan solat.

Meskipun Muslim mengarahkan dirinya kepada Kaabah ketika solat, Muslim tidak menyembahnya.

Hakikatnya, yang layak disembah hanyalah Allah s.w.t.

Firman Allah menjelaskan: ``Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menghadap ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah Masjidul Haram (tempat letaknya Kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.'' (Al Baqarah: 144).

Struktur berbentuk kubik ini mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Ia menjadi lambang perpaduan jutaan Muslim di seluruh dunia.

Misalnya dalam menunaikan ibadah solat, Muslim menghadapkan dirinya ke arah kiblat yang satu untuk menyembah Allah yang satu.

Perpaduan merupakan elemen penting di dalam Islam ke arah persaudaraan yang lebih bermakna.

Tambahan lagi sejarah membuktikan, peta pertama dilukis oleh seorang Muslim dengan meletakkan tanda arah selatan di atas dan utara di bawah.

Secara geografi, kedudukan Kaabah itu sendiri terletak di tengah-tengah kedudukan dunia.

Meskipun Barat menukarkan tanda arah utara di atas dan selatan di bawah, Kaabah masih kekal kedudukannya di tengah-tengah peta dunia.

Tawaf yang dilakukan oleh jemaah haji di Masjidul Haram sekeliling Kaabah, secara simboliknya menggambarkan kepercayaan pada Tuhan yang satu sebagaimana setiap pusingan menghasilkan satu bulatan.

``Dan serukanlah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh.

``Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaan-Nya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak (untuk dijadikan korban); dengan yang demikian makanlah kamu dari (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.'' (Al Hajj 27-28).

Mengatakan Kaabah sebagai simbol berhala adalah tidak dapat diterima akal sama sekali.

Bukti sejarah dapat di jadikan sandaran dalam menyokong dakwaan menafikan pembohongan ini.

Ketika zaman baginda s.a.w., azan turut dilaungkan dengan berdiri di atas Kaabah setiap kali waktu solat.

Gambaran grafiknya boleh dilihat dengan menonton kisah Al-Risalah (The Message), lakonan Anthony Quinn.

Watak Bilal bin Rabah dilakonkan dengan memanjat Kaabah itu sendiri dan melaungkan azan ketika pembukaan Mekah selepas 13 tahun berkembangnya Islam di Madinah.

Seseorang perlu bertanya pada diri, jika benar Kaabah disamakan dengan sebuah berhala, apakah penganutnya akan memijak berhala itu untuk menyembahnya?
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz4cbzA2WMY© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 27 Mac 2017

Nabi Yunus berdoa dalam perut ikan

ARKIB : 30/01/2003
Sejarah
Oleh FARIDAH MOHAMED SANI
Nabi Yunus diutus oleh Allah s.w.t. ke sebuah negeri yang penduduknya hidup dalam kesesatan dan kejahilan.

Bahkan di setiap rumah terdapat berhala-berhala yang dipuja dan disembah.

Tugasnya membimbing mereka dari alam yang gelap gelita kepada kehidupan nyata menggunakan akal fikiran anugerah Tuhan.

Mereka harus diinsafkan bahawa segala macam berhala yang selama ini disembah, hanyalah barangan buatan manusia yang tidak dapat memberikan sebarang manfaat kepada mereka.

Hanya Allah yang patut disembah, iaitu Tuhan yang mencipta langit, bumi, matahari dan semua makhluk yang ada.

Sudah tentu mereka terkejut dengan keterangan yang seratus peratus bertentangan dengan kepercayaan mereka selama ini; tradisi turun temurun yang menyembah dan memuja batu-batu yang dijadikan patung dan berhala.

Apatah lagi Yunus hanya seorang lelaki biasa, bukan jutawan, bangsawan dan keturunan raja yang memaksa mereka mendengar kenyataannya.

Sudah boleh dijangka nasib dan pengalamannya akan serupa dengan nabi-nabi dan rasul sebelumnya.

Yunus mendapat tentangan hebat daripada kaumnya. Namun baginda tetap sabar mengajak mereka dengan lemah lembut hingga bertahun-tahun lamanya.

Akhirnya, Yunus mulai bimbang. Baginda khuatir kaumnya yang engkar ini akan menerima seksa dan azab Tuhan yang pernah menimpa bangsa-bangsa yang terdahulu.

Yunus mengingatkan mereka tentang seksaan Allah yang akan diturunkan kerana keengkaran mereka.

Katanya, tiada siapa dapat mengelaknya selain orang yang dikehendaki Allah, iaitu orang-orang yang beriman kepada-Nya.

Tetapi dengan sombong dan angkuh mereka menjawab, ``Kami tidak akan tunduk kepadamu, kami tidak takut seksaan Tuhanmu itu. Datangkanlah azab itu kalau kamu memang benar.''

Nabi Yunus begitu kecewa dan marah dengan kedegilan mereka. Kesabarannya hilang, putus asa dan akhirnya dia lari meninggalkan kaumnya dan merantau ke negeri lain.

Tidak lama kemudian, Tuhan menurunkan azab-Nya yang dahsyat ke atas penduduk yang sombong dan degil ini.

Diturunkan hawa panas yang semakin tinggi, menyebabkan kulit mereka mendadak berubah menjadi buruk dan cacat.

Semakin lama suhu panas bertambah terik, sehingga mereka merasa benar-benar terseksa.

Rasa takut mulai menghantui. Mereka mula percaya kebenaran kata-kata Yunus dan menjerit-jerit mencari sambil memanggil namanya.

Mereka ingin bertaubat menurut perintah Tuhan. Tetapi Nabi Yunus sudah pergi dan tiada seorang pun yang tahu ke mana arahnya.

Panas semakin menjadi-jadi, sehingga para ibu tidak lagi mempedulikan bayi-bayi mereka. Apatah lagi haiwan ternakan, semakin terbiar.

Ketika inilah mereka meminta ampun kepada Allah, Tuhan yang diajarkan oleh Nabi Yunus dan bertaubat sepenuhnya, mengaku untuk mematuhi ajaran dan perintah-Nya.

Tuhan Maha Pengasih dan Penyayang, kerana taubat mereka benar-benar ikhlas, Allah segera menghentikan segala seksaan yang dialami selama ini.

Kini mereka kembali hidup aman dan tenteram, mengharap Nabi Yunus kembali ke pangkuan mereka, memberi tunjuk ajar dan bimbingan ke jalan yang benar.

Sayangnya Yunus tidak kembali. Baginda terus berjalan menghilangkan diri membawa kecewa hatinya.

Dalam perjalanannya, Yunus akhirnya sampai di tepi sebuah pantai. Pada masa itu sekumpulan orang ramai sedang bersiap-siap untuk belayar menyeberangi lautan luas dengan sebuah kapal.

Yunus meminta izin ikut belayar bersama mereka. Sebagai tetamu, baginda dihormati kerana budi pekerti dan tutur bahasanya yang baik.

Pelayaran mereka berjalan lancar, sehinggalah apabila sampai di tengah-tengah lautan luas yang tidak bertepi, kapal mereka dipukul gelombang.

Keputusan segera dibuat. Barang muatan mesti dikeluarkan semuanya untuk menstabilkan kapal yang sedang dilambung ombak.

Malangnya, usaha yang telah dijalankan masih tidak mencukupi. Muatan yang masih ada mesti dikurangkan lagi, dan yang tinggal hanyalah penumpang-penumpang.

Siapakah yang patut mengorbankan diri terjun ke laut untuk menyelamatkan orang-orang lain?

Akhirnya undian dijalankan supaya adil. Semuanya rela berkorban jiwa sekiranya takdir menentukan.

Sebaik undian dilaksanakan, nama Nabi Yunus tersenarai. Tetapi kerana menghormati tetamu yang baik budi, mereka tidak sanggup mengorbankannya.

Sekali lagi undian dibuat, dan Yunus masih menjadi korban.

Akhirnya Yunus menerima kenyataan ini walaupun mereka cuba mengundi kali ketiga.

Nabi Yunus yakin ada rahsia besar dan hikmah di sebalik kejadian berulang ini.

Baginda bersiap sedia dicampak ke lautan luas yang sedang bergelora, untuk di telan ombak yang mengganas.

Yunus mulai sedar kesilapannya meninggalkan kewajipannya, membiarkan kaumnya dengan rasa putus asa, dan berhijrah sebelum tiba perintah Allah.

Dengan perasaan pasrah, Yunus melompat ke tengah gelombang besar menyerahkan nasibnya kepada Allah s.w.t.

Dengan perintah Allah, seekor ikan besar yang lalu di dekatnya terus menelan Nabi Yunus a.s.

Bayangkan kegelapan dan keadaan yang dialami Yunus di dalam perut ikan. Namun baginda menerimanya dengan redha sebagai menebus kesilapannya meninggalkan kaumnya.

Nabi Yunus tidak henti-henti berdoa dan memohon keampunan Tuhannya, menyesali perbuatannya : ``Bahawa tiada Tuhan selain Engkau, Maha suci Engkau. Sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.'' (Al-Anbia : 87).

Tuhan maha mendengar doa hamba-Nya di mana sahaja mereka berada.

``Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya daripada kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman.'' (Al-Anbia : 87).

Dengan kehendak Allah, ikan besar tadi mengeluarkan muatan dari dalam perutnya, terdampar di tepi sebuah pantai.

Dan dengan rahmat-Nya, Yunus masih hidup walaupun keadaannya sangat lemah.

Allah menumbuhkan sepohon pokok yang berbuah dan berdaun lebar sebagai makanan dan tempatnya berlindung.

Akhirnya selepas pulih seperti biasa, Nabi Yunus kembali kepada kaumnya yang telah beriman kepada Allah s.w.t.

Demikianlah kisah seorang hamba yang pernah melakukan kesilapan tetapi segera kembali memohon keampunan kepada Tuhan Yang maha Pengampun.

Kisah Nabi Yunus ini diceritakan dalam surah as-Shaffat ayat 139-148:

``Sesungguhnya Yunus benar-benar salah seorang rasul. (Ingatlah) ketika ia lari ke kapal yang penuh muatan, kemudian ia diundi lalu ia termasuk orang-orang yang kalah dalam undian.

``Maka ia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela. Maka kalau sekiranya ia tidak termasuk dalam orang-orang yang banyak mengingat Allah, nescaya ia akan tetap tinggal dalam perut ikan itu sampai hari kiamat.

``Kemudian Kami lemparkannya ke daerah yang tandus, sedangkan ia dalam keadaan sakit. Dan Kami tumbuhkan untuknya sebatang pohon daripada jenis labu.

``Dan Kami utusnya kepada seratus ribu orang atau lebih. Lalu mereka beriman, kerana itu Kami anugerahkannya kenikmatan hidup kepada mereka sehingga waktu yang tertentu.''
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4cWJrj5RF

© Utusan Melayu (M) Bhd