Isnin, 27 Mac 2017

Nabi Yunus berdoa dalam perut ikan

ARKIB : 30/01/2003
Sejarah
Oleh FARIDAH MOHAMED SANI
Nabi Yunus diutus oleh Allah s.w.t. ke sebuah negeri yang penduduknya hidup dalam kesesatan dan kejahilan.

Bahkan di setiap rumah terdapat berhala-berhala yang dipuja dan disembah.

Tugasnya membimbing mereka dari alam yang gelap gelita kepada kehidupan nyata menggunakan akal fikiran anugerah Tuhan.

Mereka harus diinsafkan bahawa segala macam berhala yang selama ini disembah, hanyalah barangan buatan manusia yang tidak dapat memberikan sebarang manfaat kepada mereka.

Hanya Allah yang patut disembah, iaitu Tuhan yang mencipta langit, bumi, matahari dan semua makhluk yang ada.

Sudah tentu mereka terkejut dengan keterangan yang seratus peratus bertentangan dengan kepercayaan mereka selama ini; tradisi turun temurun yang menyembah dan memuja batu-batu yang dijadikan patung dan berhala.

Apatah lagi Yunus hanya seorang lelaki biasa, bukan jutawan, bangsawan dan keturunan raja yang memaksa mereka mendengar kenyataannya.

Sudah boleh dijangka nasib dan pengalamannya akan serupa dengan nabi-nabi dan rasul sebelumnya.

Yunus mendapat tentangan hebat daripada kaumnya. Namun baginda tetap sabar mengajak mereka dengan lemah lembut hingga bertahun-tahun lamanya.

Akhirnya, Yunus mulai bimbang. Baginda khuatir kaumnya yang engkar ini akan menerima seksa dan azab Tuhan yang pernah menimpa bangsa-bangsa yang terdahulu.

Yunus mengingatkan mereka tentang seksaan Allah yang akan diturunkan kerana keengkaran mereka.

Katanya, tiada siapa dapat mengelaknya selain orang yang dikehendaki Allah, iaitu orang-orang yang beriman kepada-Nya.

Tetapi dengan sombong dan angkuh mereka menjawab, ``Kami tidak akan tunduk kepadamu, kami tidak takut seksaan Tuhanmu itu. Datangkanlah azab itu kalau kamu memang benar.''

Nabi Yunus begitu kecewa dan marah dengan kedegilan mereka. Kesabarannya hilang, putus asa dan akhirnya dia lari meninggalkan kaumnya dan merantau ke negeri lain.

Tidak lama kemudian, Tuhan menurunkan azab-Nya yang dahsyat ke atas penduduk yang sombong dan degil ini.

Diturunkan hawa panas yang semakin tinggi, menyebabkan kulit mereka mendadak berubah menjadi buruk dan cacat.

Semakin lama suhu panas bertambah terik, sehingga mereka merasa benar-benar terseksa.

Rasa takut mulai menghantui. Mereka mula percaya kebenaran kata-kata Yunus dan menjerit-jerit mencari sambil memanggil namanya.

Mereka ingin bertaubat menurut perintah Tuhan. Tetapi Nabi Yunus sudah pergi dan tiada seorang pun yang tahu ke mana arahnya.

Panas semakin menjadi-jadi, sehingga para ibu tidak lagi mempedulikan bayi-bayi mereka. Apatah lagi haiwan ternakan, semakin terbiar.

Ketika inilah mereka meminta ampun kepada Allah, Tuhan yang diajarkan oleh Nabi Yunus dan bertaubat sepenuhnya, mengaku untuk mematuhi ajaran dan perintah-Nya.

Tuhan Maha Pengasih dan Penyayang, kerana taubat mereka benar-benar ikhlas, Allah segera menghentikan segala seksaan yang dialami selama ini.

Kini mereka kembali hidup aman dan tenteram, mengharap Nabi Yunus kembali ke pangkuan mereka, memberi tunjuk ajar dan bimbingan ke jalan yang benar.

Sayangnya Yunus tidak kembali. Baginda terus berjalan menghilangkan diri membawa kecewa hatinya.

Dalam perjalanannya, Yunus akhirnya sampai di tepi sebuah pantai. Pada masa itu sekumpulan orang ramai sedang bersiap-siap untuk belayar menyeberangi lautan luas dengan sebuah kapal.

Yunus meminta izin ikut belayar bersama mereka. Sebagai tetamu, baginda dihormati kerana budi pekerti dan tutur bahasanya yang baik.

Pelayaran mereka berjalan lancar, sehinggalah apabila sampai di tengah-tengah lautan luas yang tidak bertepi, kapal mereka dipukul gelombang.

Keputusan segera dibuat. Barang muatan mesti dikeluarkan semuanya untuk menstabilkan kapal yang sedang dilambung ombak.

Malangnya, usaha yang telah dijalankan masih tidak mencukupi. Muatan yang masih ada mesti dikurangkan lagi, dan yang tinggal hanyalah penumpang-penumpang.

Siapakah yang patut mengorbankan diri terjun ke laut untuk menyelamatkan orang-orang lain?

Akhirnya undian dijalankan supaya adil. Semuanya rela berkorban jiwa sekiranya takdir menentukan.

Sebaik undian dilaksanakan, nama Nabi Yunus tersenarai. Tetapi kerana menghormati tetamu yang baik budi, mereka tidak sanggup mengorbankannya.

Sekali lagi undian dibuat, dan Yunus masih menjadi korban.

Akhirnya Yunus menerima kenyataan ini walaupun mereka cuba mengundi kali ketiga.

Nabi Yunus yakin ada rahsia besar dan hikmah di sebalik kejadian berulang ini.

Baginda bersiap sedia dicampak ke lautan luas yang sedang bergelora, untuk di telan ombak yang mengganas.

Yunus mulai sedar kesilapannya meninggalkan kewajipannya, membiarkan kaumnya dengan rasa putus asa, dan berhijrah sebelum tiba perintah Allah.

Dengan perasaan pasrah, Yunus melompat ke tengah gelombang besar menyerahkan nasibnya kepada Allah s.w.t.

Dengan perintah Allah, seekor ikan besar yang lalu di dekatnya terus menelan Nabi Yunus a.s.

Bayangkan kegelapan dan keadaan yang dialami Yunus di dalam perut ikan. Namun baginda menerimanya dengan redha sebagai menebus kesilapannya meninggalkan kaumnya.

Nabi Yunus tidak henti-henti berdoa dan memohon keampunan Tuhannya, menyesali perbuatannya : ``Bahawa tiada Tuhan selain Engkau, Maha suci Engkau. Sesungguhnya aku adalah termasuk orang-orang yang zalim.'' (Al-Anbia : 87).

Tuhan maha mendengar doa hamba-Nya di mana sahaja mereka berada.

``Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya daripada kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman.'' (Al-Anbia : 87).

Dengan kehendak Allah, ikan besar tadi mengeluarkan muatan dari dalam perutnya, terdampar di tepi sebuah pantai.

Dan dengan rahmat-Nya, Yunus masih hidup walaupun keadaannya sangat lemah.

Allah menumbuhkan sepohon pokok yang berbuah dan berdaun lebar sebagai makanan dan tempatnya berlindung.

Akhirnya selepas pulih seperti biasa, Nabi Yunus kembali kepada kaumnya yang telah beriman kepada Allah s.w.t.

Demikianlah kisah seorang hamba yang pernah melakukan kesilapan tetapi segera kembali memohon keampunan kepada Tuhan Yang maha Pengampun.

Kisah Nabi Yunus ini diceritakan dalam surah as-Shaffat ayat 139-148:

``Sesungguhnya Yunus benar-benar salah seorang rasul. (Ingatlah) ketika ia lari ke kapal yang penuh muatan, kemudian ia diundi lalu ia termasuk orang-orang yang kalah dalam undian.

``Maka ia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tercela. Maka kalau sekiranya ia tidak termasuk dalam orang-orang yang banyak mengingat Allah, nescaya ia akan tetap tinggal dalam perut ikan itu sampai hari kiamat.

``Kemudian Kami lemparkannya ke daerah yang tandus, sedangkan ia dalam keadaan sakit. Dan Kami tumbuhkan untuknya sebatang pohon daripada jenis labu.

``Dan Kami utusnya kepada seratus ribu orang atau lebih. Lalu mereka beriman, kerana itu Kami anugerahkannya kenikmatan hidup kepada mereka sehingga waktu yang tertentu.''
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0130&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4cWJrj5RF

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan