Isnin, 27 Mac 2017

Fatimah puteri kesayangan nabi

ARKIB : 16/01/2003
MUHAMMAD dipilih oleh penduduk Mekah untuk meletakkan semula Hajar Aswad di tempatnya setelah bangunan Kaabah dibaik pulih.

Pada masa itulah Fatimah, puteri keempat Rasulullah s.a.w. lahir dalam lingkungan masyarakat yang sedang memuja kelahiran anak lelaki.

Ayah dan ibunya menyambut kelahirannya dengan rasa syukur.

Tiga orang kakaknya, Zainab, Ruqayah dan Ummu Kalsum sangat menyayanginya dan memanjakannya.

Lima tahun kemudian ayahnya diutus oleh Allah s.w.t. menjadi nabi akhir zaman.

Fatimah melihat pelbagai kecaman dan siksaan yang diterima ayahnya sepanjang tugas dakwahnya.

Ketika `Uqbah bin Abu Mu'ith datang membawa semacam uri dari perut unta yang disembelih, lalu meletakkannya ke atas punggung ayahnya yang sedang sujud, Fatimah sedang berdiri tidak jauh daripada ayahnya. Sebelum ayahnya bangun dari sujudnya, Fatimah segera mengambil dan membuangnya.

PUTERI YANG PALING DISAYANGI
Fatimah adalah puteri yang paling disayangi ayahnya. Dalam banyak hal nama Fatimah selalu disebut-sebut oleh baginda.

Contohnya, ahli-ahli sejarah menceritakan, pernah seorang wanita Quraisy mencuri selepas dia masuk Islam. Kaum Quraisy merasa sayang kerana wanita itu akan dipotong tangannya.

Mereka menemui Usamah bin Zaid bin Haritsah supaya memohonkan keringanan kepada Rasulullah kerana biasanya Usamah disayangi Baginda dan sering permohonannya diperkenankannya.

Usamah menyampaikan hajat orang ramai itu, tetapi Baginda berkata: ``Jangan bicarakan masalah ini denganku, Usamah. Hukuman itu apabila sampai kepadaku, tidak boleh lagi ditinggalkan. seandainya yang mencuri itu sekali pun puteri Muhammad, Fatimah, tentu akan kupotong tangannya.''

Nabi Muhammad tidak mengatakan puteri Muhammad secara umum, tetapi baginda menyebut nama Fatimah, puteri yang sudah dikenali orang-orang Quraisy.

Dalam kesempatan lain Nabi berkata: ``Wanita yang terbaik di dunia ini ada empat, Mariam (ibu Isa), Asiah (isteri Firaun), Khadijah dan Fatimah.''

Pada masa Rasulullah dan para sahabat berhijrah ke Madinah, Fatimah dan kakaknya, Ummu Kalsum masih berada di Mekah.

Kedua-duanya berhijrah selepas ayahnya mengirim utusan yang membawa mereka untuk berkumpul semula dengan ayahnya di Madinah.

Dalam perjalanan menyusuli ayahnya, mereka dikejar oleh sekumpulan kaum Musyrikin, sehingga unta yang mereka naiki ketakutan, terpijak lubang dan jatuh.

Kedua-dua puteri Rasulullah ini jatuh ke tanah. Mereka meneruskan perjalanan dalam keadaan yang terlalu lemah, dan akhirnya sampai juga di Madinah.

Sewaktu Ali bin Abu Talib berjumpa Rasulullah untuk meminang Fatimah, Baginda bertanya : ``Ali apakah kamu mempunyai sesuatu?''

Ali menjawab, ``Tidak ya Rasulullah.''

Tanya baginda lagi, : ``Di mana baju besimu yang kuberikan pada peperangan Badar dulu?''

Ali menjawab dengan terharu kerana merasakan Nabi begitu baik padanya dan memerhatikan kepentingannya.

``Baju itu ada pada saya ya Rasulullah.''

``Berikanlah baju besi itu kepada pengantinmu.''

Ali dengan segera pergi untuk mengambil baju tersebut dan kembali membawanya kepada Baginda. Nabi menyuruh Ali menjual baju besinya supaya wangnya dapat digunakan sebagai persiapan melangsungkan perkahwinan.

HIDUP DALAM KEMISKINAN
Kehidupan Fatimah bersama suaminya, Ali sentiasa dalam kemiskinan. Fatimah tahu benar keadaannya. Ali tidak mampu mengupah seorang pembantu rumah tangga untuk membantu dan menggantikan isterinya mengerjakan tugas-tugas yang berat.

Namun, Ali suami yang baik. Beliau ikut membantu isterinya menguruskan kerja-kerja rumah.

Kasihan melihat keadaan Fatimah, Ali mencadangkan isterinya menemui ayahnya yang baru kembali dengan kemenangan dari satu peperangan.

Baginda membawa pulang beberapa wanita tahanan perang yang nantinya akan dijadikan hamba.

Fatimah pergi menemui ayahnya, tetapi perasaan malunya membuat Fatimah tidak mampu menyatakan hasratnya.

Dia kembali memberitahu keadaannya kepada suaminya. Kemudian kedua-dua suami isteri ini pun menemui Rasulullah.

Ali menjadi jurucakap menyampaikan hasrat mereka, meminta seorang pembantu. Sementara Fatimah duduk di dekatnya menundukkan kepala dengan rasa malu.

``Tidak,'' jawab Nabi. ``Demi Allah saya tidak pantas memberikan seorang pembantu kepada kamu berdua, sambil itu membiarkan ahli Suffah, mereka yang menetap di masjid dengan perut keroncongan. Tidak ada yang akan saya berikan untuk nafkah mereka!

``Hamba sahaya ini akan saya jual, dan hasil jualannya akan saya berikan untuk nafkah ahli-ahli suffah.''

Demikianlah Ali dan Fatimah kembali dengan rasa syukur kepada Allah kerana rupa-rupanya masih ramai lagi yang lebih memerlukan berbanding mereka berdua.

Pasangan suami isteri ini tidak menduga permintaan mereka siang tadi menjadi bahan fikiran ayahnya sepanjang hari.

Malam itu, kebetulan udara sangat dingin. Ali dan isterinya yang berbaring di tempat tidur yang kasar, tidak dapat melelapkan mata kerana dingin yang mencengkam ke tulang.

Tiba-tiba Rasulullah mengetuk pintu. Ali dan Fatimah yang membongkok dalam selimut cuba bangun.

Kalau mereka menutup kepala, kaki akan terbuka. Kalau kaki ditutup, kepala pula yang terbuka.

Nabi segera berkata: ``Tetaplah kamu di situ.''

Terharu melihat keadaan kedua-duanya, Nabi berkata dengan lemah lembut: ``Mahukah kamu berdua saya ceritakan sesuatu yang lebih baik daripada yang kamu minta siang tadi kepada saya?''

``Jibril telah mengajarkan saya beberapa kalimat, hendaklah kamu berdua membaca `subhanallah' sepuluh kali setiap kali lepas sembahyang, `alhamdulillah' sepuluh kali, `Allahu akbar' sepuluh kali.

``Apabila kamu berbaring di tempat tidurmu, bacalah `subhanallah' 33 kali, `alhamdulillah' 33 kali dan `allahu akbar' 33 kali.''

Lebih sepertiga abad kemudian, orang mendengar Ali r.a. berkata: ``Demi Allah saya tidak pernah meninggalkannya (ajaran Rasulullah tadi) semenjak baginda mengajarkannya kepada saya.''

HAJAT BERPOLIGAMI
Suatu hari Ali berniat mengahwini anak perempuan Amr bin Hisyam bin Mughirah al-Makhzumi. Ali beranggapan perbuatannya itu hanyalah menurut kebiasaan masyarakat ketika itu, beristeri dua atau lebih.

Tetapi suasana tidak seperti yang dirancangkan oleh Ali. Nabi masuk ke masjid dengan rasa marah dan bercakap di khalayak ramai bahawa baginda tidak bersetuju puterinya dimadu dengan puteri Amr.

Diringkaskan kisah, kemarahan baginda ini sebenarnya ialah kerana Amr bin Hisyam adalah musuh Allah yang sangat jahat, yang banyak menindas umat Islam.

Wajarkah puteri Rasulullah dikumpulkan dengan puteri musuh Allah?

Fatimah puteri Muhammad meninggal dunia pada hari Isnin, tanggal 2 Ramadan tahun ke ll hijrah

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4cW0TIS7v © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan