Isnin, 27 Mac 2017

Salman Al-Farisi mencari tanda-tanda kenabian

ARKIB : 23/01/2003
Sejarah
Oleh FARIDAH MOHAMED SANI
DALAM siri pertama semalam, diceritakan mengenai cadangan Salman Al-Farisi supaya menggali parit sebagai benteng pertahanan kota Madinah.

Ikuti urutan kehidupan Salman yang berasal daripada keluarga kaya tetapi sanggup meninggalkannya semata-mata mencari Tuhan Yang Maha Suci.

Salman yang berasal dari Isfahan adalah anak kesayangan ayahnya, seorang pembesar di daerah tersebut.

Beragama Majusi, Salman menumpahkan baktinya pada agamanya dengan memastikan api sentiasa menyala.

Satu hari ayahnya menyuruh Salman ke sebidang tanah miliknya. Dalam perjalanan itu beliau melewati sebuah gereja milik kaum Nasrani.

``Aku masuk ke dalam untuk melihat mereka bersembahyang. Kataku dalam hati mengagumi cara sembahyang mereka ``Ini lebih baik daripada yang kuanuti selama ini.

``Aku tidak berganjak dari situ sampai matahari terbenam. Kerana itu aku tidak pergi ke tanah milik ayah tadi dan tidak pulang ke rumah, hingga ayah mengirim orang menyusulku''cerita Salman.

Akibat cerita dan luahan perasaannya kepada ayahnya, Salman dipenjarakan dan kakinya dirantai.

Tetapi anak muda ini tidak patah semangat, beliau mengirim berita kepada orang-orang Nasrani mengenai dirinya yang telah memeluk Nasrani.

``Aku berharap dapat bersama mereka kembali ke Syria, tempat asal agama mereka,''katanya.

Setelah berjaya memboloskan diri dari penjara, beliau menggabungkan diri bersama rombongan ke Syria.

Di sana baktinya dicurahkan kepada ketua gereja sebagai pelayan, belajar dan beramal.

Sayang sekali rupanya ketua berkenaan seorang yang tidak amanah. Sedekah daripada orang ramai disimpannya untuk keperluan peribadinya.

Setelah dia meninggal dunia, Salman berbakti pula kepada penggantinya.

Begitulah kehidupan Salman seterusnya, sehinggalah seorang pendeta menasihatinya : ``Sekarang sudah dekat masanya kebangkitan seorang nabi yang mengikuti agama Ibrahim secara murni.

``Nanti dia akan berhijrah ke suatu tempat yang ditumbuhi kurma...seandainya kamu dapat ke sana, temuilah dia...dia tidak mahu menerima sedekah, sebaliknya bersedia menerima hadiah.

``Di bahunya ada cap kenabian. Apabila kamu melihatnya kamu akan segera mengenalinya.''

Pada satu hari, Salman melihat rombongan dari Jazirah Arab. Beliau mengikutinya tetapi ketika sampai di Wadil Qura, mereka menjualnya sebagai hamba kepada seorang Yahudi.

Selepas itu Salman dibeli pula oleh seorang Yahudi dari Banu Quraizah, yang membawanya ke Madinah.

Ketika sampai di Madinah, Salman begitu yakin inilah negeri yang disebutkan oleh pendeta itu kepadanya.

Beliau tinggal bersama tuannya dan bekerja di perkebunan kurma milik Banu Quraizah, sehinggalah datang saat kerasulan Nabi Muhammad yang datang ke Madinah dan singgah pada Bani Amar bin Auf di Quba.

Pada suatu hari ketika Salman berada di atas pohon kurma, sementara tuannya duduk di bawahnya, datang seorang Yahudi membawa khabar: ``Bani Qilah celaka! mereka berkerumun mengelilingi seorang lelaki di Quba yang datang dari Mekah dan mengaku sebagai nabi.''

Sebaik sahaja mendengar berita itu, tubuh Salman menggigil kuat sehingga beliau hampir jatuh menimpa tuannya yang ada di bawah.

Beliau segera turun dan bertanya : ``Apa yang anda katakan tadi dan berita apa yang anda bawa?''

Akibat pertanyaan itu, Salman dipukul sekuatnya oleh tuannya.

Pada petang harinya, Salman menemui Rasulullah s.a.w. di Quba bersama anggota rombongannya.

Beliau berkata kepada mereka: ``Kamu semua adalah perantau yang memerlukan. Kebetulan saya mempunyai persediaan makanan yang telah saya niatkan untuk bersedekah. Tetapi setelah melihat keadaan kamu semua, saya rasa kamu lebih layak menerimanya, dan makanan itu saya bawa ke sini.''

Salman meletakkan makanan itu di hadapan mereka. Nabi bersabda kepada para sahabatnya : ``Makanlah dengan nama Allah''. Tetapi baginda sendiri tidak menjamahnya.

Salman segera teringat cerita pendeta tentang tanda-tanda lelaki yang tidak mahu makan harta sedekah.

Besoknya, awal pagi lagi Salman menemui Rasulullah s.a.w. sambil membawa makanan. Katanya kepada Baginda : ``Saya lihat Tuan tidak mahu makanan sedekah. Saya bawakan sesuatu untuk Tuan sebagai hadiah.''

Salman pun meletakkan makanan tersebut di hadapan Rasulullah s.a.w. dan baginda bersabda kepada para sahabat yang ada di situ: ``Makanlah dengan menyebut nama Allah.''

Melihat Nabi makan bersama, Salman berkata dalam hatinya, inilah tanda kedua, iaitu dia bersedia menerima hadiah.

Beberapa lama kemudian Salman mencari Rasulullah s.a.w. dan menemui Baginda dan para sahabatnya di Baqi' mengiringi jenazah.

Ketika itu Baginda memakai dua helai kain yang lebar. Sehelai kain dipakainya sebagai sarung, sementara sehelai lagi sebagai baju.

Salman mengucapkan salam sambil melihatnya. Rupa-rupanya Baginda mengerti maksud Salman.

Oleh itu Baginda menyingkap kain dari lehernya hingga ternampaklah pada bahunya tanda kenabian yang diceritakan oleh pendeta tadi.

Melihat tanda-tanda itu semua, Salman segera mencium Nabi sambil menangis. Beliau menceritakan pengalamannya kepada baginda.

Setelah itu Salman memeluk Islam, tetapi perhambaan menjadi penghalang baginya untuk turut serta dalam peperangan Badar dan Uhud.

Oleh kerana itu Rasulullah s.a.w. memerintahnya: ``Mintalah pada tuanmu supaya bersedia membebaskanmu dengan menerima wang tebusan.''

Akhirnya, Salman dimerdekakan dan hidup sebagai seorang Muslim yang bebas, setelah para sahabat Rasulullah s.a.w. membantunya membayar wang tebusan.

Rasulullah s.a.w. selalu memuji kecerdasan dan ketinggian ilmu Salman al-Farisi. Baginda juga memuji agama dan budi pekertinya yang luhur.

Pada satu hari Salman yang tinggal bersama Abu Darda ingin menggagalkan niatnya untuk berpuasa sunat esok harinya.

Abu Darda berkata : ``Apakah kamu hendak melarangku berpuasa dan solat kerana Allah?''

Jawab Salman : ``Sesungguhnya kedua matamu mempunyai hak atas dirimu, demikian pula keluargamu mempunyai hak atas dirimu.

``Di samping kamu berpuasa, berbukalah. Dan di samping kamu bersembahyang, tidurlah.''

Abu Darda adalah seorang sahabat yang terkenal dengan kuat ibadahnya. Abu Darda selalu beribadah pada waktu malam dan berpuasa pada siangnya. Salman melarang beliau berlebih-lebihan dalam ibadah itu.

Apabila peristiwa Salman dan Abu Darda sampai kepada Rasulullah s.a.w., Baginda bersabda : ``Sungguh Salman telah dipenuhi dengan ilmu.''

Pada waktu peperangan Khandak pula, kaum Ansar berdiri sambil berkata : ``Salman dari golongan kami.''

Tiba-tiba bangkit pula kaum Muhajirin: ``Tidak, dia dari golongan kami.''

Akhirnya Rasulullah s.a.w. memanggil mereka semua dan bersabda : ``Salman adalah golongan kami, ahlul bait.''

Sungguh satu penghormatan yang tiada tolok bandingnya daripada Rasulullah s.a.w.!

Ketika Salman sedang sakit yang membawa ajalnya, iaitu pada pagi hari kematiannya, beliau memanggil isterinya untuk mengambil sesuatu yang pernah disimpan oleh isterinya atas permintaannya.

Rupa-rupanya barang itu hanyalah seikat kasturi yang diperolehinya sewaktu pembebasan Jalula dulu.

Ia sengaja disimpan sebagai wangi-wangian pada hari kematiannya.

Salman menyuruh isterinya mengambil segelas air. Ditaburnya kasturi tadi ke dalam gelas tersebut.

Kata Salman kepada isterinya: ``Percikkanlah air ini di sekelilingku. Sekarang telah hadir di hadapanku makhluk Allah yang tidak dapat makan dan hanya gemarkan wangi-wangian.''

Setelah isterinya melaksanakan suruhannya. Salman berkata lagi : ``Tutupkanlah pintu dan turunlah kamu.''

Isterinya patuh pada arahannya. Dan tidak berapa lama kemudian ia masuk kembali dan mendapati suaminya, Salman Al-Farisi telah pergi menemui Tuhannya.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz4cWCyUIEF

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan