Ahad, 23 Disember 2018

Baiah Aqabah ke-2

ARKIB : 14/07/2010
Baiah Aqabah ke-2
Susunan SITI AINIZA KAMSARI

NABI SAW bersalam dengan penduduk Yathrib kecuali dengan dua wanita yang turut serta di situ. - Gambar hiasan

Perjanjian Aqabah kedua yang berlangsung antara Nabi Muhammad dan penduduk Yathrib seramai 70 orang itu berlangsung pada malam yang cukup sunyi itu.

Ketika itu Baginda berkata: "Aku berbaiah dengan kamu supaya kamu dapat mempertahankan aku sebagaimana kamu mempertahankan isteri dan keluarga kamu."

Lalu Barra bin Ma'rur memegang tangan baginda sambil berkata: "Ya, demi Tuhan yang membangkitkan kamu menjadi Nabi dengan sebenarnya, kami akan mempertahankan kamu sebagaimana kami mempertahankan isteri dan keluarga kami.

"Berbaiahlah dengan kami wahai Rasulullah, sesungguhnya kami, demi Allah adalah terdiri dari kalangan yang berpengalaman dengan peperangan dan mahir menggunakan semua jenis senjata yang kami warisi sejak turun temurun lagi."

Tiba-tiba Abu Al Haitham bin al Taihan bangun mencelah ketika Al Barra sedang berkata-kata itu. Katanya: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami ada hubungan dan perjanjian dengan satu golongan, iaitu Yahudi di Yathrib. Apakah kalau kami memutuskan hubungan dengan mereka kemudian Allah memberikan kemenangan kepada kamu, maka kamu akan balik kepada kaum kamu dan meninggalkan kami begitu sahaja?"

Sambil tersenyum baginda pun berkata: "Bahkan darah tetap darah, binasa tetap binasa, aku dari kalangan kamu dan kamu dariku. Aku akan memerangi sesiapa yang kamu perangi dan aku akan berikan keamanan kepada sesiapa yang kamu selamatkan."

Penduduk Yathrib itu telah mendengar dengan teliti syarat-syarat yang Nabi Muhammad gariskan untuk mereka patuhi.

Mereka sedar akan kemungkinan boleh berlaku andai mereka bersetuju untuk menerima syarat-syarat itu namun pada masa sama tahu bahawa perjanjian itu mampu mengikat perlakuan-perlakuan buruk mereka sebelum ini.

Mereka yakin baiah itu mampu memberikan mereka kehidupan yang lebih baik dan terjamin di samping menjadi satu kelompok Arab yang bakal disegani lawan dan kawan.

Setelah berbincang sesama sendiri dan mengambil pelbagai pertimbangan, mereka pun berkata kepada Nabi Muhammad: "Kami mengambil keputusan bersedia atas musibah yang akan menimpa harta dan kematian di kalangan kami untuk menerima baiah ini.

"Maka apakah ganjaran untuk kami ya Rasulullah kalau kami bersetuju untuk baiah dan setia bersamamu?" Baginda pun menjawab pendek sahaja iaitu: "Syurga."

Lalu mereka kemudiannya pun berkata: "Hulurkanlah tanganmu wahai Rasulullah!"

Setelah berikrar dengan isi-isi kandungan baiah itu, lafaznya teguh di bibir dan teguh di hati maka mereka pun berbaiah seorang demi seorang dengan menjabat tangan Rasulullah yang didahului oleh Abu Umamah Asaad bin Zirarah.

Kecuali dua orang perempuan yang hadir dalam majlis baiah itu kerana baginda tidak berjabat tangan dengan perempuan yang ajnabi (bukan mahramnya).

Jabir bin Abdullah r.a menceritakan peristiwa ini dengan berkata: "Kami bangun kepada baginda seorang demi seorang untuk berjabat tanda berbaiah. Baginda mengambil tanggungjawab baiah yang dibebankan kepada kami. Dia memberi kepada kami akan janji-janji syurga yang merupakan satu kebenaran."

Memilih naqib

Selepas selesai baiah secara beramai-ramai itu, baginda Rasulullah terus meminta mereka memilih 12 naqib yang mewakili kaum mereka untuk menjadi ketua bagi menyampaikan segala arahan dan pesanan dari baginda kepada anak-anak buah masing-masing.

Mereka pun akhirnya berjaya memilih sembilan dari kalangan Khazraj dan tiga dari kalangan Aus.

Setelah selesai melantik kesemua naqib itu, sekali lagi baginda mengikat perjanjian dengan mereka di atas sifat mereka sebagai pemimpin yang bertanggungjawab terhadap pengikut masing-masing mewakili perintah Allah dan RasulNya.

Baginda berkata kepada para naqib itu: "Kamu bertanggungjawab kepada kaum kamu dengan apa yang ada pada mereka sebagai penjamin, sebagaimana jaminan Hawariyyah (pengikut setia Nabi Isa) terhadap Isa bin Maryam dan aku menjadi penjamin terhadap kaum (seluruh Muslimin)".

Lalu kesemua mereka menerima kata-kata baginda itu.

Sementara menurut Hadi Awang dalam buku Fiqh Al Harakah Dari Sirah Nabawiyyah pemilihan para naqib itu bertujuan melicinkan perjalanan dan tindakan selanjutnya dan supaya semua tindakan itu tidak diketahui oleh semua anggota tetapi cukup bagi diketahui dan disalurkan melalui para pemimpin yang dilantik.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0714&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5aW3idTnT
© Utusan Melayu (M) Bhd

Era dakwah Rasulullah


ARKIB : 07/07/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
BERKAT tidak putus asa dengan mengunjungi satu khemah ke satu khemah para jemaah haji di padang Mina, Nabi SAW akhirnya berjaya mengajak penduduk Yathrib menerima dakwah baginda.

Ini membawa kepada Perjanjian Aqabah Ula (Pertama) yang menyaksikan 12 daripada suku kaum Aus dan Khazraj datang daripada jauh menemui Nabi SAW untuk berbaiah.

Walaupun baginda telah beratus tahun meninggalkan kita namun kita juga boleh berbaiah atas perkara yang sama. Sebagai pengikut, adalah menjadi tanggungjawab kita mematuhi apa juga saranan baginda.

Baiah kita seperti berjanji untuk tidak mensyirikkan Allah dengan apa juga bentuk kuasa yang lain. Malah kalau kita benar-benar menghayati kepentingan berbaiah itu untuk tidak melakukan zina misalnya, tentulah pada hari ini, gejala itu tidak berleluasa.

Selepas setahun Perjanjian Aqabah yang pertama itu, datang pula 70 Muslim (ada sesetengah menyebutnya seramai 75 orang dan beberapa orang yang masih musyrik) dari Yathrib berbaiah dengan baginda.

Baiah kali ini lebih besar, sehingga ia dikenali sebagai Baiah Aqabah Al Kubra.

Disebabkan jumlah lebih besar, maka Rasulullah perlu lebih berhati-hati kerana bimbang perkara itu akan sampai ke pengetahuan kafir Quraisy Mekah.

Mereka tidak boleh mendengar mana-mana pihak yang cuba untuk berada di belakang baginda kerana semua itu menunjukkan Nabi SAW semakin berpengaruh yang boleh melemahkan kedudukan dan kekuasaan mereka.

Lalu perjanjian yang berlangsung pada musim haji tahun 622 M adalah dalam suasana yang sangat rahsia, iaitu lewat malam pada pertengahan hari-hari tasyrik (iaitu tiga hari berturut-turut setelah hari raya korban) di suatu lorong Aqabah, tempat terletaknya Jamrah al Ula di Mina.

(Namun, menurut Haekal, perjanjian itu sebagaimana yang pertama berlaku di atas bukit Aqabah yang menyebabkan mereka perlu bersusah payah untuk mendaki)

Salah seorang daripada pemimpin Ansar, Kaab bin Malik al Ansari menukilkan kata-kata mengenai suasana ketika itu: "Kami keluar dari Yathrib untuk menunaikan ibadat haji di Mekah dan kami berjanji bertemu Rasulullah SAW di Aqabah pada pertengahan hari-hari Tasyrik.

"Maka pada malam itu kami tidur bersama kaum kami di tempat persinggahan kami. Sehingga apabila berlalu sepertiga malam. Kami pun keluar untuk memenuhi janji dengan baginda Rasulullah. Kami keluar secara diam-diam sehingga kami semua dapat berkumpul di satu lorong di Aqabah.

"Jumlah kami adalah 70 lelaki dan dua wanita turut serta iaitu Nusaybah binti Kaab, iaitu lebih dikenali sebagai Ummu Ammarah dari Bani Mazin bin An Najjar dan Asma' binti Amru atau lebih dikenali sebagai Ummu Mani dari Bani Salamah."

Menurut Kaab lagi, mereka berkumpul di lorong menantikan kehadiran baginda yang kemudiannya hadir bersama-sama dengan bapa saudara baginda iaitu al Abbas bin Abdul Mutallib.

Namun dikatakan pada masa itu bapa saudara Nabi itu belum lagi memeluk Islam, tetapi sudah menjadi tanggungjawabnya bagi memastikan keselamatan anak saudaranya itu maka Abbas pun turut bersama Nabi SAW dalam menjayakan perjanjian yang sangat besar ertinya itu.

Malah beliau juga yang membuka kata alu-aluan sebelum masing-masing bersetuju untuk berbaiah.

Ini kerana Abbas perlu menerangkan kepada mereka betapa seriusnya tanggungjawab yang terpikul di bahu mereka apabila bersetuju mengikat perjanjian ini.

"Wahai sekelian orang Ansar (iaitu panggilan untuk kedua-dua suku Arab Aus dan Khazraj dari Yathrib) anak saudaraku ini tetap hendak memilih untuk bersama kamu. Oleh itu kalau kamu memang benar hendaklah kamu menunaikan apa yang diajaknya kepada kamu dan kamu memang benar-benar dan sanggup mempertahankannya daripada mereka yang menentangnya," kata Abbas.

Mewakili kaum Ansar, Kaab pun bersetuju dengan kata-kata Abbas itu dan meminta Rasulullah menyampaikan butir-butir perjanjian untuk mereka berbaiah selepas itu.

Lalu apakah isi perjanjian itu kali ini?

Menurut riwayat Al Imam Ahmad;

"Dari Jabir R.A, lalu kami bertanya: Wahai Rasulullah, di atas dasar apakah kami berbaiah?" Sabda Nabi SAW: Di atas dasar mesti dengar dan taat sama ada di masa cergas mahupun malas, di atas dasar menyuruh kepada kebaikan dan menegah kemungkaran.

"Di atas dasar bangun kerana menegakkan agama Allah, di dalam menegakkan agama Allah itu, tidak mengira celaan orang yang mencelanya dan di atas dasar memberi pertolongan kepadaku apabila aku tiba kepadamu, kamu pertahankan aku sebagaimana kamu mempertahankan diri kamu dan anak-anak kamu, jika kamu melakukan itu, nescaya diberikan untuk kamu syurga."
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0707&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5aVypEyGW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Zaid memegang bendera Islam


ARKIB : 06/07/2010
Zaid memegang bendera Islam
ZAID bin Sabit adalah sahabat Nabi Muhammad dari golongan Ansar yang berasal dari suku kaum Khazraj. Beliau dilahirkan di Madinah pada tahun 611 Masihi dan masuk Islam pada tahun pertama Hijrah.

Pada masa Nabi Muhammad, Zaid berperanan menulis wahyu yang diturunkan dan menulis surat bagi disampaikan kepada kaum Yahudi. Semasa mudanya, Zaid sudah mula menghafal surah dan ayat-ayat yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Muhammad.

Semasa hidupnya, Zaid bin Sabit juga terkenal sebagai ahli dalam ilmu al-Quran, tafsir, hadis, dan pembahagian harta pusaka. Oleh yang demikian Zaid diberi gelaran 'ulama masyarakat.'

Zaid adalah seorang anak yatim. Semasa Zaid bin Sabit berusia enam tahun, bapanya meninggal dunia. Semasa Nabi Muhammad berpindah ke Madinah, umur Zaid pada ketika itu berusia sebelas tahun.

Usianya yang muda itu menghalangnya daripada menyertai Perang Badar dan Perang Uhud. Walaupun usianya terlalu muda, Zaid tetap bersemangat berperang melawan musuh.

Pernah pada suatu hari, Zaid berjumpa Nabi Muhammad meminta kebenaran menyertai siri peperangan tentera Islam.

"Wahai Nabi Muhammad, saya mahu pergi berperang," kata Zaid yang masih kecil itu.

"Kamu masih kecil lagi Zaid. Apabila kamu sudah dewasa nanti ikutlah kami pergi berperang," kata Nabi Muhammad kepada Zaid.

Masa berlalu. Zaid semakin meningkat dewasa. Selepas itu beliau sering menyertai peperangan di antara tentera Islam dan tentera musuh. Cerita ini dikisahkan semasa Zaid bin Sabit menyertai Perang Tabuk yang berlaku pada Tahun Masihi 631. Perang Tabuk ini berlaku di antara tentera Islam dan tentera Rom. Pada peperangan itu tentera Rom kalah dan berundur. Kejayaan ini menyebabkan ramai kabilah yang tinggal di utara Semenanjung Tanah Arab membayar cukai kepada kerajaan Islam.

Ketika tentera Islam menuju ke medan Perang Tabuk, bendera Bani Malik dipegang oleh seorang yang bernama Amarah.

"Serahkan bendera itu kepada Zaid bin Sabit," kata Nabi Muhammad selepas terlihat bendera itu dipegang oleh Amarah.

Amarah menjadi hairan. Beliau berasa tidak sedap hati.

Beliau bertanya kepada Nabi Muhammad, "Ada sesuatu yang tidak kena dengan saya? Atau saya melakukan kesilapan tadi sehingga tuan tidak mengizinkan saya memegang bendera itu."

Nabi Muhammad tersenyum mendengar soalan itu dan menjawab, "Tidak ada yang tidak kena dengan kamu.

"Sekiranya begitu, mengapa saya perlu menyerahkan bendera ini kepada Zaid? Saya juga mampu membawa bendera ini," jawab Amarah pula.

Rupa-rupanya Amarah tidak memahami maksud Nabi Muhammad.

Kemudian Nabi Muhammad menghampiri Amarah dan berkata, "Saya mahu Zaid yang memegang bendera itu kerana Zaid lebih banyak ilmu pengetahuannya mengenai al-Quran berbanding kamu."

Lalu Amarah menjawab, "Fahamlah saya sekarang."

Amarah menyerahkan bendera itu kepada Zaid seperti yang diarahkan oleh Nabi Muhammad.

Nabi Muhammad bukan pilih kasih. Beliau berbuat demikian kepada sesiapa sahaja yang mempunyai sesuatu kelebihan pada diri mereka. Begitu juga semasa Perang Uhud, Nabi Muhammad mengebumikan mayat tentera Islam yang gugur mengikut tahap ilmu pengetahuan yang mereka miliki di dalam satu liang lahad.

Selepas Nabi Muhammad meninggal dunia, Zaid memegang peranan penting dalam urusan pemerintahan di Madinah. Semasa zaman pemerintahan Umar al-Khattab dan Usman bin Affan, Zaid adalah sahabat yang dipercayai dapat memberikan fatwa.

Zaid bertanggungjawab memegang jawatan mufti pada ketika itu di Madinah. Fatwa Zaid yang terkenal adalah dalam bidang pembahagian harta pusaka.

Semasa Nabi Muhammad masih hidup, beliau pernah berkata, "Orang yang paling pakar dalam bidang faraid di antara kalian ialah Zaid bin Sabit."

Jelas di sini menunjukkan bahawa Zaid bin Sabit adalah sahabat Nabi Muhammad yang banyak berjasa menegakkan agama Islam.

Kisah ini menunjukkan kepada kita bahawa sekiranya seseorang individu itu mempunyai ilmu yang tinggi dan kelebihan pada diri mereka, maka orang itu disanjungi dan dihormati. Islam juga memandang mulia kepada manusia yang mempunyai ilmu dan mengamalkan ilmunya itu ke jalan yang diredai Allah.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz5aVvmVYKd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sifat pemaaf Rasulullah


ARKIB : 02/07/2010
NABI Muhammad SAW ialah seorang nabi dan rasul yang memiliki akhlak terpuji. Baginda seorang insan mulia yang sanggup memaafkan kesalahan orang lain.

Pada suatu hari, ketika baginda sedang berehat-rehat, datanglah seorang wanita Yahudi membawa hidangan yang lazat berupa kambing panggang.

Wanita itu mengetahui bahawa Rasulullah amat gemar kambing panggang.

Bahagian kegemaran baginda ialah paha kanan bahagian depan. Lalu wanita tersebut menabur racun di atas kambing panggang itu.

Dia melebihkan racun di paha kanan hadapan kambing yang dihidangkan itu.

Setelah melihat hidangan itu, maka Rasulullah pun berasa lapar. Selepas membaca bismillah, baginda pun makan dengan berselera sekali.

Baginda makan bersama seorang sahabat, Bisyir bin Barra bin Ma'rur. Namun, sewaktu baginda sedang mengunyah makanan itu, timbul perasaan was-was di hati.

Rasulullah pun meluahkan kembali daging kambing panggang yang sedang dikunyah.

Ternyata suara hati baginda itu benar. Bisyir bin Barra bin Ma'rur telah menjadi korban. Sahabat baginda itu meninggal dunia kerana termakan racun dalam makanan tersebut.

Rasulullah pun bertanya dan wanita Yahudi itu mengaku secara berterus terang tanpa berselindung berkata: "Aku mahu menguji kamu. Jika engkau seorang rasul, sudah pasti engkau akan mendapat petunjuk mengenai hal ini. Tetapi kalau engkau hanya orang biasa, maka aku pasti merasa puas kerana dapat menyingkirmu kerana engkau telah banyak membawa kemusnahan kepada kaum Yahudi."

Rasulullah mendengar penjelasan wanita itu dengan tenang. Kemudian, baginda pun memaafkan wanita itu. Baginda tidak menghukum wanita itu walaupun perbuatannya itu telah mengakibatkan kematian seorang sahabat baginda.

Baginda sanggup memberi kemaafan kepada seorang wanita yang ternyata mahu membunuh baginda.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0702&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5aVrv3lHu
© Utusan Melayu (M) Bhd

Baiah Aqabah


ARKIB : 30/06/2010
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Perjalanan sejarah atau sirah Nabi Muhammad SAW sama ada sukar atau mudah untuk diikuti amat penting untuk kita ketahui. Malah kalau dapat didalami dan dikaji dengan lebih lanjut lalu dihayati, itu adalah lebih baik.

Ini termasuklah kisah mengenai Baiah atau Perjanjian Aqabah. Secara ringkasnya ia merupakan perjanjian damai atau sumpah setia yang berlaku antara Nabi Muhammad dengan beberapa penduduk Yathrib (nama lama Madinah Al Munawarrah) yang datang menemui baginda di sebuah tempat atau bukit bernama Aqabah. Bukit itu terletak beberapa kilometer di utara Kota Mekah iaitu berdekatan dengan Mina.

Kita jangan keliru kerana terdapat sebuah perkampungan di timur laut Tebing Barat, Palestin juga dikenali sebagai Aqabah yang dirampas daripada penduduk Palestin untuk dijadikan sebuah kem tentera besar oleh rejim Israel.

Sebuah bandar di selatan Jordan juga bernama Aqabah, di samping kita menyebut Aqabah iaitu perbuatan ibadat haji iaitu melontar batu di Jamrah yang ketiga, iaitu Jamrah Al Aqabah.

Perjanjian Aqabah merupakan perjanjian pertama antara baginda dengan mana-mana pihak, sama ada dari dalam mahupun luar Kota Mekah. Ia melibatkan satu persefahaman untuk memberi ketaatan kepada Rasulullah.

Namun dari aspek sosial dan politik penduduk Arab, melakukan perjanjian damai antara kabilah dan sebagainya adalah biasa dilakukan. Telah menjadi adat dan tradisi mereka saling menyatakan sumpah setia kawan atau bersahabat baik bagi mencapai pelbagai tujuan dan matlamat tertentu.

Namun yang paling penting kedua-dua belah yang membuat perjanjian ini ikhlas untuk berbaiah, iaitu bukan kerana dipaksa dan sebagainya.

Di sebalik perjanjian ini, tentunya kita tertanya-tanya mengapa penduduk Yathrib dengan begitu mudah dan tanpa sebarang masalah menerima dakwah daripada Rasulullah? Hanya dengan satu pertemuan sahaja dengan baginda. Mereka seolah-olah seperti telah lama menunggu saat menerima dakwah baginda itu.

Persoalan ini memerlukan kita melihat situasi yang berlaku di Yathrib itu sendiri yang menjadi sebab musabab utama mengapa mereka dengan mudah memeluk Islam.

Komposisi penduduk di Yathrib terdiri daripada tiga kelompok yang besar, iaitu kaum Yahudi dan dua lagi kaum Arab yang terdiri daripada suku kaum al Khazraj dan Aus.

Kedua-dua puak Arab ini merupakan kaum yang menyembah berhala di Yathrib manakala kaum Yahudi dengan agama Yahudi mereka sebagai golongan ahli kitab yang mempercayai Kitab Taurat.

Menurut Hussien Haekal dalam bab Ikrar Aqaba dalam buku Sejarah Hidup Muhammad, kaum Yahudi dan dua suku Arab di Kota Yathrib itu tidak pernah hidup aman.

Persengketaan demi persengketaan yang membawa peperangan sering berlaku.

Sejarah mereka agak panjang iaitu melibatkan pelbagai punca terutamanya soal agama.

Menurut Haekal, apabila puak Nasrani yang mendiami Syam yang berada di bawah pengaruh Rom Timur (Baizantin) mereka terlalu membenci dan memarahi kaum Yahudi tanpa mengira di mana puak itu berada.

Mereka percaya kaum itu telah menyebab kematian Nabi Isa A.S, iaitu dengan cara menyeksa dan menyalib baginda.

Lalu kaum Yahudi yang sekian lama mendiami Yathrib turut menjadi mangsa kemarahan kaum Nasrani itu.

Namun cubaan untuk menghapuskan terus kaum Yahudi itu tidak pernah berjaya sehinggalah puak Nasara meminta bantuan daripada suku Arab Khazraj dan Aus, untuk membalas dendam.

Pun begitu, bukan sedikit penduduk Yahudi yang telah dibunuh oleh gabungan dua pihak yang bersekutu ini.

Namun kedudukan Yahudi semakin terancam apabila suku Arab itu sendiri ingin menyingkir kaum itu keluar dari Yathrib bagi membolehkan mereka memonopoli dan menguasai sepenuhnya bandar yang makmur dan subur dengan pelbagai hasil pertanian dan perniagaan itu.

Namun Yahudi yang menyedari niat suku Arab itu bertindak pantas dan bijak dengan melancarkan gerakan memecah belahkan suku-suku Arab tersebut.

Caranya dengan menciptakan pelbagai provokasi dan fitnah yang menyebabkan suku Khazraj dan Aus sering bertelagah sesama sendiri.

Gerakan licik dan halus oleh Yahudi itu benar-benar mengembalikan semula kedudukan mereka di Yathrib.

Soal keagamaan turut menyumbang kepada berlakunya perjanjian Aqabah apabila kaum Yahudi di Yathrib yang merupakan golongan ahli kitab dan mempercayai tuhan yang satu (monoteisme), sering mengejek-ejek dan mencela perbuatan suku Arab Khazraj dan Aus menyembah berhala.

Kaum Yahudi sering memperingatkan kepada mereka mengenai ramalan dalam Taurat mengenai kelahiran seorang nabi yang akan menyelamatkan kaum Yahudi.

Namun mereka tidak bermaksud untuk mengajak suku-suku Arab itu memeluk agama mereka.

Maka apabila suku Arab di Yathrib mendengar dan mengetahui mengenai seorang Nabi telah muncul di Kota Mekah menyebabkan mereka akhirnya mengakui kebenaran ramalan dari kitab Perjanjian Lama Yahudi itu.

"Agaknya inilah nabi yang disebut-sebut oleh orang Yahudi. Jadi, jangan sampai orang Yahudi mengetahui mengenai Nabi Muhammad itu dan kita mesti mendahului mereka untuk menerima kedatangan Nabi ini.

"Biar kita yang beriman terlebih dahulu, sebelum kaum Yahudi beriman terhadap Nabi itu, jika tidak hujung pangkal nasib kita tiada siapa yang tahu," kata puak-puak Al Khazraj dan Aus itu.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0630&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5aVovsTA9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Usman bin Affan

ARKIB : 29/06/2010
Usman bin Affan
USMAN bin Affan dilahirkan pada tahun 576 Masihi. Beliau berasal daripada Bani Umaiyah dan terkenal sebagai sahabat Nabi Muhammad yang dermawan, hartawan dan bangsawan Quraisy. Kekayaan yang dimilikinya digunakan bagi menegakkan Islam.

Usman bin Affan digelar Zu al-Nurain. Ini kerana beliau mengahwini dua orang anak perempuan Nabi Muhammad iaitu Ruqayah kemudiannya Ummi Kalsum. Beliau adalah khalifah yang ketiga dan dilantik pada tahun 23 Hijrah.

Zaman pemerintahan Usman bin Affan dapat dibahagikan kepada dua tahap. Tahap yang pertama adalah tahap masa kegemilangannya dan berlangsung selama enam tahun. Pada masa itu, beliau menunjukkan kecemerlangan dalam bidang sosial, politik, ketenteraan dan lain-lain. Misalnya, beliau sendiri berjaya meluaskan kawasan pemerintahannya ke beberapa daerah di Parsi dan Afrika.

Tahap kedua dalam pemerintahan Usman mengalami masalah dan dipenuhi dengan keadaan huru-hara yang berlangsung selama enam tahun. Usman bin Affan mula menghadapi masalah dalam bidang politik, sosial dan pentadbirannya menjadi lemah. Masalah yang timbul ini akhirnya menyebabkan rumahnya dikepung oleh pemberontak-pemberontak yang tidak menyukainya. Pemberontak-pemberontak datang dari Kufah, Basrah dan Mesir. Mereka berarak ke Madinah dan menuju ke rumah Usman lalu menceroboh rumahnya. Mereka menikam dan membunuh Usman pada tahun 35 Hijrah.

Pada zaman kegemilangan pemerintahan Usman bin Affan, beliau mengarahkan ulama-ulama menyalin semula al-Quran. Ia sudah dikumpul pada zaman Umar al-Khattab. Pada masa itu, ramai sahabat yang mula menghafal al-Quran. Di setiap wilayah, sedikit perbezaan berlaku dari segi bacaan al-Quran. Hal ini membimbangkan, kerana perbezaan yang berterusan mengakibatkan pertentangan bacaan al-Quran. Akhirnya, ia mencetuskan perselisihan dan permusuhan antara satu sama lain.

Semasa Huzaifah bin Yaman mengikuti rombongan tentera Islam dalam perang Armenia dan Azarbaijan dengan penduduk Iraq, beliau melihat berlaku perbezaan pada bacaan al-Quran. Ada yang membaca al-Quran dan ditambah dengan kesalahan. Malah kesalahan itu tidak diperbetulkan. Mereka masing-masing cuba mempertahankan diri mereka adalah benar. Hal ini menimbulkan masalah besar kepada masyarakat Islam.

Peristiwa itu tidak menyenangkan hati Huzaifah, lalu beliau berjumpa Usman. "Wahai Usman, selamatkan orang Islam ini sebelum mereka berselisih faham mengenai al-Quran sepertimana yang berlaku ke atas orang Yahudi dan Nasrani."

Mendengar cerita Huzaifah itu, Usman terus mengirimkan surat kepada Hafsah binti Umar. Hafsah adalah anak kepada Umar al-Khattab. Surat yang dikirimkan oleh Usman kepada Hafsah berbunyi begini, "Dapatkah saya meminjam senaskah al-Quran daripada kamu. Selepas selesai menggunakannya, saya berjanji mahu memulangkannya dengan segera."

Usman mahu meminjam al-Quran itu bagi disalin semula menjadi beberapa mushaf. Kemudian Usman berjanji memulangkan semula al-Quran itu. Permintaan Usman diterima oleh Hafsah. Kemudian, Hafsah mengirimkan al-Quran yang diminta itu kepada Usman.

Selepas mendapat al-Quran itu, Usman mengarahkan empat orang jurutulis bagi menyalin semula al-Quran. Mereka terdiri daripada Zaid bin Sabit, Abdullah bin Zubair, Saad bin As dan Abdurrahman bin Haris bin Hisyam.

Sebelum mereka mula menyalin al-Quran itu, Usman berpesan kepada tiga orang Quraisy itu kecuali Zaid bin Sabit. "Jika kamu bertiga berselisih pendapat dengan Zaid bin Sabit mengenai al-Quran, kamu tulislah al-Quran itu dengan bahasa Quraisy. Al-Quran diturunkan dengan bahasa Quraisy."

Mereka berempat mula menyalin al-Quran yang dipinjam dari Hafsah. Mereka menyalin sebanyak lima buah salinan sebagaimana disuruh oleh Khalifah Usman. Selepas selesai menyalin, Khalifah Usman mengembalikan semula naskhah al-Quran asli kepada Hafsah sepertimana yang dijanjikan sebelum ini.

"Sekarang kita sudah mempunyai lima salinan naskhah al-Quran yang sama dalam satu mushaf. Salinan-salinan ini perlu dihantar kepada setiap wilayah. Al-Quran lain selain daripada salinan yang baru disalin ini perlu dibakar dengan segera," kata Khalifah Usman.

Kemudian Khalifah Usman menyambung lagi, "Satu naskhah al-Quran yang disalin itu perlu disimpan di Madinah."

Khalifah Usman mengarahkan sahabat-sahabatnya membawa kelima-lima naskhah al-Quran yang disalin itu dan dihantar ke Mekah, Suriah, Basra, Kufah dan Madinah. Semua naskhah al-Quran itu dijadikan sebagai panduan dalam usaha penyalinan berikutnya di daerah masing-masing. Naskhah al-Quran yang disimpan di Madinah itu dikenali sebagai Mushaf al-Imam atau Mushaf Usmani.

Usaha yang dilakukan oleh Khalifah Usman ini mendatangkan kebaikan kepada masyarakat Islam yang lain. Selain daripada itu, perselisihan faham dan fitnah kepada isi kandungan al-Quran juga dapat dihindarkan. Oleh yang demikian, wajar bagi kita menjaga kesucian al-Quran dan mengamalkan ajaran-ajaran yang tertulis di dalam al-Quran.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0629&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz5aVkMLbzN
© Utusan Melayu (M) Bhd

ARKIB : 25/06/2010
Azab pengikut Firaun
ALLAH SWT memerintahkan Nabi Musa supaya menyampaikan kepada Firaun bahawa sekiranya Firaun tidak berhenti melakukan kezaliman dan enggan beriman terhadap Allah, maka Allah SWT akan menurunkan seksa dan azab kepadanya.

Lalu Nabi Musa menghadap Firaun bagi menyampaikan perintah Allah itu kepadanya. Namun Firaun bersama pengikutnya enggan menurut perintah tersebut.

Beberapa hari selepas Nabi Musa menghadap Firaun, Allah menurunkan azab seperti yang telah dijanjikan. Allah mendatangkan kemarau yang berpanjangan ke atas bumi Mesir.

Ini mengakibatkan tanam-tanaman tidak tumbuh dan Sungai Nil yang besar dan luas menjadi kering kontang. Maka berkuranglah sumber makanan sehingga berlakunya kemarau dan kebuluran yang teruk.

Namun begitu, Firaun bersama pengikutnya tetap berdegil. Tidak sedikit pun mereka mengendahkan azab yang diturunkan oleh Allah SWT itu. Orang yang beriman telah menyuruh Nabi Musa memohon kepada Allah supaya diturunkan hujan, maka Allah menurunkan hujan kepada mereka.

Apabila Allah menurunkan hujan dan menyuburkan segala tanaman, Firaun dan pengikutnya mendakwa itu adalah hasil usaha daripada mereka. Sedangkan ketika berlakunya kemarau, mereka menyatakan bencana itu disebabkan oleh Nabi Musa. Firaun bersama pengikutnya semakin sombong.

Oleh kerana kesombongan mereka itulah, Allah SWT menurunkan pula taufan yang dahsyat sehingga menenggelamkan segala tanaman mereka. Disebabkan terdesak, para pengikut Firaun datang menemui Nabi Musa.

"Wahai Nabi Musa, selamatkanlah kami daripada azab ini. Sekiranya engkau menyelamatkan kami, kami akan menerima ajaranmu," janji pengikut Firaun. Mendengar kata-kata pengikut Firaun itu, Nabi Musa berasa amat gembira. Lalu baginda memohon kepada Allah agar dihentikan bencana itu.

Allah SWT telah memakbulkan doa Nabi Musa dan segala tanaman mereka kembali subur. Namun, mereka telah mengingkari janji.

Lantas Allah SWT menurunkan pula belalang dan kutu-kutu yang tidak terkira banyaknya untuk memusnahkan tanaman mereka. Sekali lagi mereka terpaksa meminta Nabi Musa. Namun memungkiri lagi.

Selepas itu mereka menderita pula menanggung pelbagai penyakit. Ada di antara mereka yang darahnya keluar bercucuran dari mulut dan ada mengalir dari hidung dan telinga. Tanpa segan silu mereka datang lagi menemui Nabi Musa. Sesungguhnya Allah SWT Maha Penyayang. Dia telah menghentikan azab itu. Namun mereka masih tidak mahu beriman.

Akhirnya Allah telah menukarkan pula air Sungai Nil menjadi darah. Air itu digunakan sebagai sumber keperluan mereka. Akan tetapi air itu hanya menjadi darah apabila kaum Qibti yang mengambilnya. Peristiwa itu berlaku selama tujuh hari. Sekali lagi mereka datang menemui Nabi Musa.

Dengan penuh kepercayaan terhadap mereka, maka Nabi Musa sekali lagi berdoa kepada Allah SWT. Kemudian Allah yang Maha Pengampun telah menghilangkan malapetaka ke atas mereka. Segala seksaan yang hebat itu lenyap. Namun, mereka masih lagi enggan menerima ajaran Nabi Musa.

Setelah Allah SWT menurunkan segala seksaan dan bala kepada mereka, namun ramai lagi yang tidak mahu beriman kepada ajaran Nabi Musa.

Walaupun begitu, terdapat sebahagian lagi yang telah menerima ajaran tersebut. Firaun tidak boleh menghalang mereka yang telah beriman ini kerana Allah telah menetapkan hati dan keimanan mereka kepada-Nya.
SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0625&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz5aVhSD6af
© Utusan Melayu (M) Bhd

ARKIB : 22/06/2010
Ali bin Abu Talib yang suka bertoleransi
ALI bin Abi Talib adalah khalifah keempat yang dilantik selepas mendapat sokongan majoriti. Beliau dilantik menjadi khalifah pada tahun 35 Hijrah. Beliau dilahirkan pada tahun 602 Masihi.

Beliau berasal daripada Bani Hasyim yang berketurunan Quraisy.

Beliau ialah sepupu dan menantu Nabi Muhammad. Beliau ialah suami Fatimah bin Muhammad dan juga pemuda pertama yang memeluk Islam.

Nabi Muhammad menggelarkannya Zu al-Fiqar kerana keberanian dan sifat kepahlawanannya yang terserlah. Beliau juga mendapat gelaran Asad Allah yang bermaksud Singa Allah.

Ali meninggal dunia pada 40 Hijrah kerana ditikam oleh Abdullah bin Maljam iaitu salah seorang daripada golongan Khawarij.

Menurut cerita, Khalifah Ali kehilangan sepasang pakaian perang. Puas beliau mencarinya tetapi masih tidak jumpa pakaian perang tersebut. Pada suatu hari, Khalifah Ali ternampak seorang lelaki Nasrani memakai pakaian perang itu. Ali dapat mengecam pakaian perang itu benar-benar kepunyaannya.

"Tahukah kamu, pakaian perang yang kamu pakai itu adalah milik saya," kata Ali kepada orang Nasrani itu.

"Pakaian perang itu milik saya," ulang Ali lagi.

"Tidak. Pakaian perang ini adalah milik saya," jawab orang Nasrani itu.

Ali tidak berputus asa lalu berkata, "Serahkan semula pakaian perang itu kepada saya. Sudah lama saya mencari pakaian perang itu".

"Tidak. Saya tidak mahu serahkan pakaian perang ini kepada kamu," kata lelaki Nasrani itu.

Lelaki Nasrani itu tetap dengan pendiriannya. Beliau tidak mahu menyerahkan pakaian perang itu walaupun sudah berkali-kali di minta oleh Ali.

"Sekiranya begitu kata kamu, mari kita pergi ke mahkamah. Di sana, pihak pengadilan dapat menentukannya," kata Ali.

"Baik, saya setuju. Mari kita pergi berjumpa dengan tuan hakim," jawab lelaki Nasrani itu.

Kemudian, mereka berjumpa dengan hakim yang bernama Kadi Syuraih. Beliau adalah seorang hakim yang adil dan bijaksana. Sampai sahaja di mahkamah itu, Ali berkata kepada tuan hakim, "Saya tidak pernah memberikan pakaian perang itu kepada orang lain. Saya rasa pakaian perang yang dipakai oleh lelaki Nasrani itu adalah milik saya. Saya dapat mengenali pakaian perang tersebut".

Mendengar penjelasan Ali, hakim menyoal pula orang Nasrani itu, "Adakah benar seperti yang dikatakan oleh Ali tadi".

Lelaki Nasrani itu menjawab, "Pakaian perang itu milik saya". Lelaki Nasrani itu masih tetap dengan pendiriannya menyatakan pakaian perang itu miliknya.

Tuan hakim menjalankan tugasnya dengan adil. Bagi mendapatkan kepastian, tuan hakim bertanya pula kepada Ali, "Bolehkah kamu berikan bukti? Bukti yang menunjukkan bahawa pakaian perang itu milik kamu dan bukan milik lelaki Nasrani itu".

Tuan hakim itu memang seorang yang adil dan bijaksana. Ali berkata, "Saya tidak mempunyai sebarang bukti".

Keputusan mahkamah dibuat. Orang Nasrani itu tidak bersalah. "Saya memutuskan bahawa pakaian perang itu adalah milik orang Nasrani dan bukan milik Ali," kata tuan hakim.

Keputusan mahkamah adalah muktamad. Ali dan orang Nasrani itu keluar daripada persidangan mahkamah. Di luar kawasan mahkamah, lelaki Nasrani itu berjumpa Ali.

"Keputusan yang dijatuhkan oleh tuan hakim adalah muktamad. Tuan hakim hanya menjalankan tugasnya dengan seadil-adilnya. Kamu memang seorang yang jujur dan sabar. Mulai pada hari ini, saya mengaku bahawa tiada tuhan yang disembah selain Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah," kata orang Nasrani itu di hadapan Ali.

Ali mendengar dengan teliti. Kemudian, lelaki Nasrani itu menceritakan kisah sebenar mengenai pakaian perang yang dipakainya itu.

"Pakaian perang ini saya terjumpa ketika kamu pergi ke Perang Siffin. Pakaian perang ini terjatuh daripada kenderaan yang kamu naiki. Lalu saya mengambil pakaian perang itu.

"Saya pakai pakaian perang ini dan menjadi milik saya. Tetapi sekarang pakaian perang ini bukan milik saya lagi. Pakaian perang ini adalah milik kamu. Ambillah," kata lelaki Nasrani itu.

Mendengar penerangan lelaki Nasrani itu, Ali kagum dengan sikapnya yang jujur itu.

Kemudian Ali berkata kepada lelaki Nasrani itu, "Kamu memang seorang yang jujur. Sekarang kamu sah menjadi orang Islam. Ambillah pakaian perang ini.

"Saya beri pakaian perang ini kepada kamu. Sekarang pakaian perang ini sah menjadi milik kamu".

Demikianlah sikap jujur, amanah dan suka bertoleransi di antara satu sama lain. Sikap bertoleransi, jujur dan amanah terhadap orang lain akan mendatangkan kebaikan dan kesejahteraan di kalangan manusia sejagat.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0622&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5aETJwYrH
© Utusan Melayu (M) Bhd