Isnin, 29 Januari 2018

USAHA NABI MUHAMMAD SAW SELEPAS MENUBUHKAN KERAJAAN ISLAM DI MADINAH


OLEH-AHMAD BIN YAAKOB
Pendahuluan
Sebelum Nabi berhijrah ke Madina, penduduk Madinah yang terdiri dari kaum Aus, Khazraj dan Yahudi hidup berpuak-puak dan mengamalkan agama yang berbeza.Apabila Nabi berhijrah ke Madinah, tindakan awal yang dilakukan ialah  menyatukan penduduk Madinah di bawah satu aqidah..Nabi Muhammad telah membentuk Piagam Madinah dan mewujudkan sebuah institusi pemerintahan yang tersusun dan teratur di Madinah.
USAHA-USAHA NABI
Memakmurkan masjid
Pada peringkat awal, baginda telah mendirikan Masjid Quba dan Masjid Nabawi yang berfungsi sebagai pusat ibadat dan tempat pertemuan masyarakat untuk membincangkan hal-hal semasa termasuk urusan agama, politik, ekonomi, dan sosial. Justeru, masjid berperanan sebagai tempat asas pertemuan dalam pembentukan masyarakat Madinah yang bersatu padu. Menjadikan al-Quran dan hadis sebagai asas pemerintahan
 Nabi Muhammad s.a.w. menjadikan al-Quran dan hadis sebagai pegangan dan panduan dalam mentadbir negara. Keadilan dijadikan asas dalam segala bentuk tindakan. Keadaan tersebut dapat melahirkan masyarakat yang bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama. Menguatkuasakan Sahifah Madinah (piagam Madinah)
 Menggubal Perlembagaan Madinah yang mampu memperkukuhkan kedudukan pelbagai kaum kerana undang-undang menjadi asas dan teras kepada pemerintahan dan pembentukan masyarakat Madinah yang bersatu. Golongan Yahudi dan Nasrani menerima status mereka sebagai golongan zimmi dan patuh kepada Perlembagaan Madinah.
Memperkukuhkan suku Aus dan Khazraj Baginda telah menyatukan sukuAus dan Khazraj menjadiAnsar. Justeru, persaudaraan lslam telah menggantikan semangat assabiah. lni merupakan titik tolak kepada pembentukan masyarakat Madinah yang bersatu padu dan bekerjasama.[1]
Memperkukuhkan golongan Ansar dan Muhajirin
 Nabi Muhammad s.a.w. telah mempersaudarakan kaum Muhajirin yang berpindah dari Makkah ke Madinah dengan penduduk Ansar melalui semangat persaudaraan lslam yang mendalam sehingga mereka tidak merasa wujudnya perbezaan antara golongan Muhajirin dengan Ansar. Perpaduan tersebut telah mempercepatkan lagi pembentukan masyarakat Madinah yang mantap.
Mengawal dan membendung kegiatan kaum munafik
Pembentukan masyarakat Madinah sedikit rumit kerana kaum munafik merupakan kaum yang berpura-pura memeluk lslam dan berniat jahat untuk memecahbelahkan dan menghancurkan masyarakat lslam. Melaluiwahyu, baginda menasihati para sahabat supaya berwaspada terhadap niat jahat kaum munafik. Langkah baginda berjaya kerana tiada permusuhan secara terbuka dan kematian  ketuanya, iaitu Abdullah bin Ubay melenyapkan cita-cita kaum munafik. Menyingkirkan kaum Yahudi di Madinah
Kaum Yahudi, iaitu Bani Qunaiqa', Bani Nadhil dan Bani Quraizah telah disingkirkan dari kota Madinah kerana melanggar Piagam Madinah. Penyingkiran mereka dibuat secara perundangan berteraskan keadilan. Langkah baginda ini berjaya memperkukuhkan kedudukan lslam di Madinah. Dengan itu, masyarakat Madinah akhirnya terdiri daripada umat lslam sahaja.
Memimpin melalui teladan
 Nabi Muhammad s.a.w telah menunjukkan dan mengamalkan sifat kepimpinan yang unggul seperti siddiq, amanah, tabligh, dan fatanah dalam pemerintahan dan pentadbiran baginda sebagai ketua negara. Kepimpinan tersebut berjaya menyatukan dan membangunkan masyarakat Madinah yang mantap dari mencapai kejayaan dunia dan akhirat.
Tindakan lain
 Menegakkan keadilan dalam masyarakat dengan memperkenalkan sistem perundangan dan syura. Menjalin hubungan antarabangsa dengan menghantar surat kepada pemimpinpemimpin luar dan surat kepada pendakwah. Memperkasakan sistem pertahanan. Menggalakkan kegiatan perniagaan dan melaksanakan sistem ekonomi lslam.
Kesimpulan Kepimpinan cemerlang Nabi Muhammad s.a.w. diterjemahkan melalui usaha-usaha baginda melalui dasar perundangan, ekonomi, sosial, dan politik.



[1]Koleksi Kertas Soalan STPM 2013-2015 Penggal 1.2.3 Sejarah (940)

Sabtu, 20 Januari 2018

Sistem pemerintahan Nabi Muhammad SAW abad ke-7M

Oleh- AHMAD BIN YAAKOB
Piagam Madinah
Pengertian Piagam Madinah
Piagam Madinah /Mithaq al-Madinah/al-Sahifah- merujuk kepada perlembagaan bertulis berkenaan hak dan tanggungjawab pemerintah dan oang yang diperintah

a.Kandungan Piagam Madinah
Penduduk Madinah terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat yang berbeza dari segi agama dan budaya seperti orang Islam,Yahudi dan Musyrikin. Mereka sememangnya memerlukan sebuah undang-undang bagi menjamin kesejahteraan dan keamanan hidup.

       Nabi Muhammad SAW telah membentuk Piagam Madinah untuk menjadi pedoman sebuah negara berdaulat setelah berjaya mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar. Undang-undang ini dipanggil Sahifah Madinah atau Piagam Madinah yang digubal pada tahun pertama dan kedua Hijrah. Undang-undang ini melibatkan perjanjian antara penduduk Madinah, iaitu antara orang Islam sesama Islam (Muhajirin dan Ansar) dan antara orang Islam dengan kaum Yahudi.

       Piagam ini digubal berdasarkan wahyu dan norma-norma masyarakat pada waktu itu yang terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam. Kaum Yahudi pada mulanya memberikan
sambutan yang baik.Baginda telah berusaha untuk mendapatkan sokongan mereka.Baginda telah membentuk undang-undang yang dikenali sebagai sahdah setelah kedua-dua pihak saling mempercayai.

       Piagam yang dirangka oleh Nabi Muhammad SAW merupakan piagam pertama di dunia yang mantap dari aspek isi kandungannya kerana mampu memenuhi tujuan dan objektif berhubung kewajipan dan tanggungiawab pemerintah rakyat serta keperluan-keperluan lain .[1]

Pembahagian Piagam Madinah
a)Bahagian pertama mengandungi 23 fasal menyentuh tentang hubungan sesama umat Islam dan tangungjawab sesama umat Islam dan tanggungjawab sesama mereka.
b)Bahagian kedua mengandungi 24 Fasal melibatkan kaum Yahudi dan tanggungjawab mereka tehadap negara Islam Madinah.
Tiga golongan utama yang telibat dengan Piagam Madinah iaitu Muhajiin, Ansa dan Yahudi.[2]  
(a) Fasal I merupakan pengenalan kepada piagam ini dan mengakui tentang keesaan Allah SWT dan kerasulan Nabi Muhammad SAW.
(b) Fasal 2 hingga 11 menerangkan kedudukan kaum-kaum dalam negara Islam Madinah.
(c) Fasal l2,hingga 23 menerangkan kewajipan umat Islam dari segi tanggungiawab sesama sendiri dan perkara-perkara yang patut dilakukan dan yang patut ditinggalkan.
(d) Fasal 24hingga 38 merupakan fasal yang menyebut kedudukan kaum Yahudi dalam negara Islam Madinah.
(e) Fasal 39 hingga 47 pula menerangkan kedudukan Yathrib (Madinah) sebagai sebuah kota yang suci dan harus dipertahankan oleh penduduknya dalam segala peperangan.[3]

Kandungan Utama Piagam Madinah
A)Rasulullah SAW sebagai pemimpin masyarakat dan ketua negara. Ini membolehkan baginda menentukan hala tuju kerajaan dan rakyat. Masalah hubungan antara Islam dan bukan Islam dirujuk kepada baginda untuk penyelesaian. Ketua-ketua kaum pula mempunyai hak untuk menyelesaikan masalah dalam suku masing-masing.
b)Semua penduduk sebagai satu ummah.
c)Semua penduduk bersatu, berkerjasama dan betanggungjawab mempetahankan  negara daripada sebarang ancaman, menegakkan keadilan dan membenteras kezaliman.
d)Sumber piagam berasaskan wahyu /al-Quran dan tradisi-tradisi Arab yang tidak betentangan dengan Islam.
e) Semua penduduk mempunyai kebebasan untuk mengamalkan agama masing-masing.
f) Jaminan keselamatan kepada semua penduduk selagi mereka mematuhi piagam.[4]
b)Peranan Piagam Madinah.
c)Struktur Pemerintahan di Madinah.




[1]Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,(Shah Alam:Oxford Fajar,2013),26.
[2]“Sistem Pemerintahan”,dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, (Putrajaya: Kementerian Pendidikan Malaysia,2013),8.
[3]Mahayudin Hj.Yahya et.al.,Sejarah Islam (500-1918) Penggal 2,26.
[4] “Sistem Pemerintahan”,dalam  Modul Pengajaran dan Pembelajaran STPM Sejarah, 9.

Pengaruh dan pemikiran Saidina Ali di Alam Melayu

ARKIB : 16/03/2009
Oleh ALLAHYARHAM HJ. WAN MOHD. SHAGHIR ABDULLAH
DALAM surat sebaran Borang Pendaftaran Seminar Khazanah Pemikiran Islam yang dianjurkan oleh InfoTaiment Enterprise, pada 21 Julai 1996, jelas disebutkan, “Di dalam Perspektif Sejarah Islam di Alam Melayu, Saidina Ali lebih ditonjolkan sebagai manusia yang perkasa ...” Mengenai yang tersebut adalah merupakan pengaruh sebuah hikayat yang tidak diketahui nama pengarangnya, hikayat tersebut dikenali dengan judul Hikayat Ali Hanafiyah. Hikayat tersebut terdapat beberapa versi, ditulis dalam tulisan Melayu/Jawi dan sejak dulu telah diusahakan penglatinan/pengrumiannya.

Dalam ruangan ini penulis tidak akan membicarakan perkara yang sudah cukup banyak dikenal oleh masyarakat, terutama oleh para pengkaji sastera, tetapi cuba untuk memperkenalkan tulisan-tulisan klasik yang bersumberkan dari beberapa tulisan para ulama’ alam Melayu sendiri. Ini bererti adalah merupakan sumber yang kukuh jika dibandingkan dengan Hikayat Ali Hanafiyah yang tidak jelas nama pengarang yang disebutkan di atas.

Sungguhpun demikian yang ditulis oleh para ulama’ bukanlah merupakan kitab yang khusus membicarakan seluruh aspek yang bersangkutpaut dengan Saidina Ali, tetapi adalah merupakan tulisan-tulisan yang dimasukkan dalam karya-karya dalam berbagai-bagai disiplin ilmu, terutama: tarikh, akidah dan tasauf. Selain itu juga dalam karya-karya berupa fiqh, hadis, dan lain-lain.

Pengaruh Saidina Ali di Alam Melayu boleh dikatakan sangat besar, meliputi dalam berbagai-bagai jurusan. Bermula dari pengaruh beliau sendiri hinggalah keturunan-keturunannya sebagai penyebar Islam di alam Melayu, dan juga mereka telah berhasil menjadi sultan (ketua pemerintahan) dalam banyak kerajaan di alam Melayu ini.

Untuk menulis tentang pengaruh beliau di alam Melayu tidaklah begitu sukar, tetapi untuk mengemukakan pemikiran beliau memang merupakan persoalan yang sukar jika kita tidak tekun dalam dunia pengkajian.

Adapun mengenai pemikiran keturunan beliau juga bukanlah persoalan yang sukar sangat untuk membuktikannya, tidak dapat kita nafikan bahawa sangat ramai keturunan Saidina Ali di Alam Melayu menjadi ulama yang mengarang kitab.

Sebagai contoh termasuk Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Abdus Samad al-Falimbani, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, Sheikh Nawawi al-Bantani, Sheikh Abdul Hamid Kudus dan ramai lagi, adalah ulama-ulama besar Alam Melayu yang nasabnya bersambung kepada Saidina Ali bin Abi Talib.

Dua nama yang tidak terdapat pada sahabat- sahabat selain beliau

Terdapat dua sebutan atau gelaran yang ada pada Saidina Ali yang tidak terdapat pada para sahabat Nabi Muhammad SAW, yang dimaksudkan barangkali bukan hanya dunia Melayu saja, tetapi juga di seluruh dunia Islam.

Dua nama itu ialah: “Karramallahu wajhah”, dan “Imam Masyariq wal Magharib”.

Mengenai gelaran pertama di hujung nama Saidina Ali dengan “Karramallahu wajhah”, memang tidak pernah digunakan untuk sekian ramai sahabat Nabi Muhammad SAW, gelaran tersebut khusus untuk beliau seorang saja.

Untuk sahabat-sahabat Nabi Muhammad SAW selain Saidina Ali, sama saja baik memangku pangkat tertinggi sebagai khalifah mahupun sebagai sahabat biasa, hanya menggunakan nama “Radhiyallahu ‘anhu”.

Kebanyakan karya ulama tradisional Melayu, dalam apa saja disiplin ilmu yang mereka tulis, apabila terdapat nama Saidina Ali adalah memakai nama “Karramallahu wajhah” itu. Bahkan demikian juga jika kita buka semua kitab-kitab golongan sunni selain yang ditulis oleh ulama Alam Melayu.

Sama ada disedari mahu pun tidak, diakui ataupun tidak, ini adalah satu bukti bahawa Saidina Ali bin Abi Talib, memang ada ciri khas daripada sahabat-sahabat yang lain. Bahawa beliau mendapat tempat tersendiri di dalam perasaan lubuk hati yang tersembunyi umat Islam dunia Melayu khasnya dan umat Islam antarabangsa amnya.

Bahkan kadang-kadang sewaktu tuan guru-tuan guru Melayu mengajar dijelaskan juga sebab-sebab dinamakan dengan “Karramallahu wajhah” itu, iaitu dua sebab. Pertama: Kerana beliau seorang sahabat Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah menyembah berhala semenjak kecil dan beliau masuk Islam secara fitrah sejak kecil lagi. Sebab yang kedua ialah: bahawa Saidina Ali bin Abi Talib tidak pernah melihat kemaluannya sendiri.

Gelaran yang sangat menonjol untuk Saidina Ali yang kedua ialah: “Imam Masyariq wal Magharib”, yang membawa maksud; Imam seluruh kawasan timur dan barat. Gelaran ini pun tidak pernah wujud untuk sahabat-sahabat yang lain selain beliau. Sebelum munculnya era pembaharuan Islam di Alam Melayu, sebutan itu sentiasa dibaca dalam khutbah yang kedua setiap hari Jumaat.

Sehingga sekarang pun sebutan itu di beberapa tempat di Alam Melayu yang masih belum begitu terserap pengaruh pembaharuan tajdid masih digunakan dalam khutbah yang kedua setiap hari Jumaat. Mengenai ini juga dapat diambil kira sebagai pengaruh Saidina Ali yang begitu besar bagi masyarakat Islam dunia Melayu sehingga tetap mengakui sebagai “Imam Timur dan Barat”.

Keagungan nama dalam karya sejarah

Sejarah kelahiran Nabi Muhammad SAW sangat banyak dihasilkan oleh ulama Alam Melayu, tetapi sejarah yang bercorak lengkap mulai lahir hingga wafat boleh dikatakan sangat langka. Sheikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani boleh dikatakan termasuk dalam kategori ulama Alam Melayu peringkat awal menulis sejarah Nabi Muhammad SAW mulai lahir hingga wafat.

Terkumpul dalam kitab berjudul, Badrut Tamam wan Nujumuts Tsawaqib, diselesaikan 9 Rabiulakhir 1307 H di Mekah, bahawa Fasal Yang Kedua membicarakan: “Manaqib Saidatina Fatimah Radhiyallahu ‘anha”. Diikuti dengan Fasal Yang Ketiga mengenai: “Manaqib Dua Penghulu Sekelian Orang Muda-muda Ahli Syurga Saidina Hasan dan Saidina Husein Radhiyallahu ‘anhuma”, dan yang terakhir sekali, iaitu Fasal Yang Ketujuh mengenai: “Manaqib Panglima Yang Amat Berani Saidina Ali Karramahullahu Wajhah”.

Kitab yang memperkenalkan kehebatan Saidina Ali pula ialah karya berjudul, Nurul Anwar, diselesaikan pada 16 Rejab 1320 di Thaif, oleh Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani.

Dalam karya ini separuh daripada kandungannya menceritakan kisah Saidina Ali. Judul-judul perbicaraan ialah “Fasal Saidina Ali Islam Dalam Usia 13 Tahun”, “Fasal Saidina Ali Mempunya Perkataan Jadi Pengajaran”, “Fasal Setengah Daripada Berani Perang Saidina Ali”, “Fasal Perang Jamal, “Fasal Perang Siffin”, “Fasal Bersangat Besar Berperang Dan Sebab Jatuh Berbaik Antara Dua Askar”, dan “Fasal Menyatakan Perang Saidina Ali Akan Orang Khawarij”.

Penulis akui sebelum kedua-dua karya tersebut, memang telah ditulis banyak maklumat mengenai Saiyidina Ali dalam bahasa Melayu ditulis oleh Seikh Daud bin Abdullah al-Fathani, tetapi bukan merupakan dalam karya sejarah yang khusus melainkan ditempatkan dalam karya-karya akidah.

Dalam Fathul Mannan, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani mengawali perbahasan mengenai Saidina Ali, beliau menulis, “... adalah kuniyahnya Abul Hasan dan Abu Turab anak Abi Talib anak Abdil Mutalib anak Hasyim anak Abdi Manaf. Dan ibunya Fatimah binti Asad anak Hasyim anak Abdi Manaf. Dan Islam ia padahal umurnya tujuh tahun, kata qil sembilan [tahun], kata qil sepuluh tahun ...”.

Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani menyebut juga bahawa anak Saidina Ali semuanya 15 orang lelaki dan 19 perempuan, jadi jumlah semua 34 orang. Mereka ialah: Hasan, Husein, Muhsin, Zainab, Ummu Kaltsum, ibu mereka ialah Saidatina Fatimah. Muhammad Akbar, Muhammad Hanafiyah, Abdullah, Abu Bakar, ibu mereka ialah Laili. Abbas, Utsman, Ja’far, Abdullah, ibu mereka ialah Ummul Banin anak Hazam. Muhammad Asghar, ibunya adalah dari seorang sahaya. Yahya, Aun ibunya ialah Asma’ binti Umaisy. Umar Akbar, Ruqaiyah, ibunya ialah Sahba’.

Muhammad al-Ausat, ibunya ialah Umamah binti Abil ‘As. Ummul Husein, Ramlah, ibunya Ummu Sa‘id binti Urwah. Umamah, Khadijah, Ummul Kiram, Ummu Ja‘far, Humanah/Jumanah, Nafisah dan seorang lagi anak beliau yang perempuan mati kecil (Fathul Mannan, hlm 35). Walaupun jumlah sebenarnya 34 orang, tetapi yang disebut oleh Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dalam kitab tersebut hanya 27 orang saja.

Sungguhpun kitab Badrut Tamam karya Sheikh Ahmad al-Fathani tidak begitu tebal, namun terdapat beberapa riwayat yang menarik dan jarang dijumpai dalam buku-buku moden sekarang ini.

Di antara peranan Saidina Ali yang diceritakan dalam Badrut Tamam, yang masih berpengaruh kepada masyarakat Alam Melayu, dan banyak diceritakan orang ialah peristiwa ketika Rasulullah akan berhijrah dari Mekah ke Madinah yang pada malam itu ditugaskan Saidina Ali mengganti beliau tidur di atas tempat tidur baginda. Sheikh Ahmad al-Fathani dalam memaparkan cerita tersebut merujuk kepada perkataan Ibnu Ishaq (Badrut Tamam, ibid hlm. 19).

Dalam Badrut Tamam juga Sheikh Ahmad al-Fathani menceritakan peranan Saidina Ali dalam upacara ketika baginda Rasullullah wafat. Beliau menulis, “Dan memandikan dia SAW oleh Saidina Ali bin Abi Talib, dan Saidina al-Abbas bin Abdul Mutalib, dan al-Fadhal bin al-Abbas, dan Qatsam bin al-Abbas, dan Usamah bin Zaid dan Syaqran sahaya Rasulallah SAW.

“Maka adalah Saidina Ali menyandarkan dia dan membasuhkan dia. Dan al-Abbas, dan al-Fadhal, dan Qatsam membalik-balikan dia. Dan Usamah dan Syaqran menuangkan air atasnya. Dan sekalian mata mereka itu dibarutkan.

“Diriwayatkan daripada Saidina Ali, bahawasanya berkata ia, “Telah berwasiat akan daku oleh Rasulullah, bahawa tiada memandikan dia lain daripadaku. Maka bahawasanya tiada melihat seseorang akan auratku, melainkan dihimpuskan dua matanya” (Badrut Tamam, hlm. 25).

Ketika mengkebumikan Nabi Muhammad SAW, menurunkannya ke kubur juga dilaksanakan oleh Saidina Ali bin Abi Talib, yang dibantu oleh al-Abbas, al-Fadhal, Qatsam dan Aus bin Khauli nenek Bani ‘Auf. (Badrut Tamam, hlm. 26).

Memperhatikan riwayat di atas dapat dinilai bahawa Saidina Ali adalah berperanan terhadap Rasulullah dalam keseluruhan perjuangan beliau, sama ada ketika hidup hinggalah tamat riwayat baginda.

Perkara yang dipetik tersebut adalah termaktub dalam Fasal Pertama Badrut Tamam, ada pun pada bahagian biografi Saidina Ali sendiri (Fasal Ketujuh dalam Badrut Tamam) lebih banyak maklumat mengenai Saidina Ali. Dimulai daripada beliau di dalam kandungan sehingga kewafatannya.

Adapun Nurul Anwar karya Sheikh Utsman bin Syihabuddin al-Funtiani nampaknya lebih banyak memperkenalkan peperangan-peperangan yang diperanani oleh Saidina Ali, sama ada peperangan itu bersama-sama Rasulullah SAW ataupun peperangan yang dipimpin oleh Saidina Ali sendiri.

Sangat banyak juga perkara yang disebutkan oleh Sheikh Utsman al-Funtiani yang tidak tersebut dalam buku-buku sejarah Islam moden. Ini sebagai bukti pembacaan ulama silam dunia Melayu memang luas.

Di antara yang menarik bagi penulis, bahawa disebut dengan jelas nama musuhnya setiap peperangan yang terjadi antara Saidina Ali dengan lawannya. Dalam peristiwa perang antara pihak penyokong Saidina Ali dengan Mu’awiyah bin Abi Sufyan, nampaknya sangat lengkap nama disebut satu persatu. Bererti daripada kitab ini kita dapat menyenaraikan siapa di antara sahabat Nabi Muhammad SAW yang menjadi penyokong Saidina Ali dan siapa pula sebagai penyokong Mu’awiyah.

Demikian halnya perselisihan antara Saidina Ali dengan Saidatina Aisyah r.a semua yang berpihak dan penentang disebut dengan jelas. Dalam sekian banyak kitab Melayu/Jawi dalam kajian penulis, kitab Nurul Anwar tersebut adalah satu-satunya kitab yang membicarakan perkara itu.

Bahkan bagi pengamatan penulis bahawa sampai sekarang buku yang ditulis dalam bahasa Indonesia atau Melayu moden memang belum dijumpai perbicaraan yang agak jelas seperti itu.

Penutup

Perbicaraan mengenai pengaruh dan pemikiran Saidina Ali di alam Melayu ini masih banyak yang perlu diperkenalkan lagi.

Oleh itu disebabkan keterbatasan ruangan ini, maka perbicaraan tersebut pula akan dilanjutkan pada keluaran seterusnya dengan menyentuh mengenai nama Saidina Ali dalam karya-karya Melayu pada konteks hadis Nabi SAW pada konteks ilmu kalam dan pada konteks ilmu tasawuf.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz54m5HX8k2

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sambutan Maulidur Rasul dan kemanisan iman

ARKIB : 16/03/2009
Oleh MOHD. GUNAWAN CHE AB. AZIZ
mohdgunawan@gmail.com
Kelazatan iman ini boleh dirasa. Mendengar cerita manisnya gula, tidak akan sama dengan dapat mencicipi rasa gula itu sendiri. Namun begitu, ada masanya, dengan mendengar cerita mereka yang telah merasai lazatnya manisan, membuatkan kita seolah-olah turut merasai sama kelazatannya.

Jika kita dapat bersama Saidina Bilal r.a, mungkin kita akan dapat mendengar bagaimana Bilal memerikan betapa manis dan lazatnya iman, sehingga semasa batu yang besar dihimpitkan ke dadanya, hati dan mulutnya masih tega menyatakan, “Ahad! Ahad!”.

Kita tidak dapat mengecapi kemanisan yang dirasai oleh Khansa’ r.ha ketika diberitahu kepadanya berita tentang kesyahidan keempat-empat puteranya, lalu berkata, “Segala puji bagi Allah, yang telah menjadikan aku ibu kepada empat orang syuhada”. Alam rasa adalah alam yang amat dalam. Kesannya melampaui alam nyata.

Allah berfirman yang bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (ali-‘Imran: 31)

Imam Ibnu Kathir memberikan komentarnya mengenai ayat ini, “Yakni, akan terhasil bagi kamu melebihi apa yang kamu harapkan, iaitu daripada kasih kamu kepada Nya, kepada kasih-Nya kepada kamu; sedangkan ia (yakni kasih Allah kepada kamu) adalah lebih agung berbanding (perkara) yang pertama tadi (yakni kasih kamu kepada Allah).

Sebagaimana kata sebahagian ulama lagi hukamak: “Bukanlah perkara yang hebat kamu mengasihi, tetapi perkara yang hebat itu ialah kamu dikasihi”!

Maka untuk ittiba’ Rasulullah SAW, dengan penuh minat dan cinta, kita cuba semampu yang mungkin mengikuti ‘3P’ yang ada pada Rasulullah SAW: Paparan, Perjalanan dan Perasaan Rasulullah SAW.

Paparan

Paparan zahiriah yang ada pada Rasulullah SAW kita ikuti dengan penuh cinta. Merupakan fitrah manusia, apabila meminati seseorang, dia akan berusaha untuk meniru dan menyerupai orang yang diminati itu. Maka siapakah yang lebih layak untuk dicintai dan diminati oleh seorang muslim melebihi Baginda Rasulullah SAW? Allah SWT berfirman: Nabi itu (hendaknya) lebih utama bagi orang-orang mukmin dari diri mereka sendiri dan isteri-isteri baginda adalah ibu-ibu mereka. (al-Ahzab: 6)

Maka, jika ada seorang muslim yang berserban, bukan kerana dia terpesona dengan budaya bangsa Arab, tetapi kerana minat dan cintanya kepada apa yang dipakai oleh Nabi Muhammad SAW yang berbangsa Arab.

Jika seorang muslim itu berjanggut, bukan kerana dia rasa berjanggut itu akan menampakkan dia lebih macho atau hebat, tetapi kerana minat dan cintanya untuk memiripkan penampilannya sehampir mungkin dengan seseorang yang amat diminatinya, iaitu baginda SAW. Dan segala perasan minat dan cintanya ini, mempunyai manfaat dan nilai yang tinggi pada hari kita semua amat mengharapkan syafaat Rasulullah SAW!

Perjalanan

Perjalanan atau sirah Rasulullah SAW. Kita perlu jadikan pagi kita, seperti paginya Rasulullah SAW. Petang kita, seperti petangnya Rasulullah SAW. Siang kita seperti siangnya Rasulullah SAW. Malam kita seperti malamnya Rasulullah SAW. Setiap panduan, tuntunan, perintah dan arahan yang lahir daripada Baginda perlulah kita ikuti. Keimanan kita, ibadah, muamalat, musyarakat dan akhlak kita perlulah mengikuti seperti yang diteladani dan dikehendaki oleh Rasulullah SAW. Allah SWT mengingatkan:

lApa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah; dan bertakwalah kepada Allah… (al-Hasyr:7)

lDemi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta dia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang). (al-Ahzab: 21)

l Dan bahawa sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia. (al-Qalam: 4)

Perasaan

Apa yang bergelora di dalam hati Rasulullah SAW juga perlu bergelora di dalam hati kita. Sebagaimana syafaqah (kasih sayang) Rasulullah SAW kepada umat Baginda tidak berbagai dalamnya, begitu jugalah hati kita juga mempunyai syafaqah itu terhadap saudara kita. Allah SWT menggambarkan: Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin. (at-Taubah: 128)

Syafaqah ini membuahkan kerisauan. Kerisauan yang amat suci, kerisauan untuk melihat setiap orang diselamatkan daripada tangkapan neraka Allah, dan dimasukan ke dalam syurga Allah lalu memperoleh kejayaan yang hakiki lagi kekal.

Kerisauan Rasulullah SAW tentang perkara ini dipersaksikan oleh Allah SWT sendiri melalui firman-Nya: Maka (apakah) barangkali kamu akan membunuh dirimu kerana bersedih hati sesudah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman kepada keterangan ini (al-Quran). (al-Kahfi: 6)

lBoleh jadi kamu (Muhammad) akan membinasakan dirimu, kerana mereka tidak beriman. (asy-Syu’araa: 3)

Begitu indah Allah SWT menggambarkan, betapa kasih sayang dan fikir-risau Rasulullah SAW terhadap umat baginda. Dan bersumber daripada fikir-risau inilah, lahirnya usaha dan pengorbanan. Rasullulah SAW dan para sahabat telah bangun dan melakukan perjuangan yang amat besar.

Perasaan syafaqah dan kerisauan yang sempurna inilah yang perlu wujud di dalam hati kita. Lalu mendorong kita untuk bangun atas usaha yang telah dilakukan oleh Rasulullah SAW dan para Sahabat, iaitu usaha dakwah ilallah, lantas melayakkan kita untuk menyandang gelar sebagai pengikut Rasulullah SAW, sebagaimana firman Allah: Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktikad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain. (Yusuf: 108)

Semoga sambutan Maulidur Rasul 1430H ini, membuatkan kita semakin hampir dengan apa yang ada di dalam hati Rasulullah SAW!

lMOHD. GUNAWAN CHE AB. AZIZ ialah Ketua Pen. Pengarah Penyelidikan & Penyelarasan Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji.
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz54luU8Eik

© Utusan Melayu (M) Bhd

Abdullah nyaris disembelih

ARKIB : 16/03/2009
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
JIKA ditakdirkan hidup seseorang itu menjadi yatim piatu, sebenarnya mereka sangat bertuah. Sekalipun keperitan begitu dirasai akibat kehilangan ibu dan bapa sehingga merasakan hidup ini seperti tiada maknanya lagi. Namun, bayangkan Nabi Muhammad SAW yang sedari kecil baginda juga telah kehilangan kedua-dua orang tua yang sangat dikasihi.

Pernahkah kita menemui kisah, Nabi SAW menghabiskan usianya dengan meratap hiba atas kehilangan kedua-dua manusia yang paling bermakna dalam hidupnya itu? Tentu sama sekali kita jarang menemui kisah sedih seperti itu.

Tetapi jika kita hayati seluruh kisah perjuangan Rasulullah, seolah-olah baginda ingin memberitahu bahawa sebagai anak yatim piatu, baginda terbukti sangat berjaya dalam hidup dan seharusnya semua anak-anak yatim juga begitu! Baginda sedia menjadi contoh atau suri teladan untuk golongan ini.

Jadi tidakkah bertuahnya mereka kerana mempunyai Rasulullah untuk mereka contohi bagi menjejak kejayaan dalam hidup? Justeru mereka ini sebenarnya merupakan yang paling mengenali Rasulullah kerana menjadikan baginda sebagai pengganti kepada ibu bapa yang telah tiada.

Dengan kata lain, jika baginda yang yatim dan piatu itu begitu berjaya mengukir nama dan sejarah, mengapa tidak bagi anak-anak yatim yang lain, mereka juga boleh berjaya sebagaimana yang dicapai oleh Rasulullah!

Disayangi ramai

Begitupun kita begitu mengenali Abdullah bin Abdul Mutalib dan Siti Aminah binti Wahab sebagai orang tua yang melahirkan baginda Rasulullah ke dunia ini! Tetapi mungkin sekadar mengenali nama dan mungkin tidak pelbagai kisah yang berlaku di sebalik riwayat hidup mereka.

Datuk Nabi Muhammad, Abdul Mutalib mempunyai 10 anak lelaki, iaitu Al Harith, Al Zubayr, Abu Talib, Abdullah, Hamzah, Abu Lahab, Al Ghaydaq, Al Miqwam, Saffar dan Al Abbas. Malah dikatakan Abdul Mutalib mempunyai seorang lagi anak yang dikenali Qutham. Malah ada yang mengatakan beliau mempunyai 13 anak lelaki kesemua dengan dua lagi dikenali sebagai Abdul Kaabah dan Hajal. Namun dikatakan Abdul Kaabah merupakan nama gelaran untuk anaknya yang bernama Al Miqwam dan Hajal pula merupakan gelaran kepada Al Gaydaq.

Selain anak lelaki, Abdul Mutalib mempunyai enam anak perempuan, Ummu Hakim atau Al Bayda, Barrah, Atiqah, Safiyyah, Arwa dan Umaymah.

Begitulah kayanya datuk Rasulullah ini kerana mempunyai keturunan yang ramai. Di tambah, beliau seorang yang sangat dikenali di kalangan penduduk Arab atas kemuliaan tugasnya bagi meneruskan tradisi Bani Hasyim sebagai yang bertanggungjawab memberi makan dan minum kepada mereka yang datang ke Mekah untuk mengerjakan haji.

Ini menjadikan beliau seorang yang terhormat dan ditaati serta mempunyai kedudukan yang tinggi di kalangan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam itu.

Bapa nabi, Abdullah dikatakan anak Abdul Mutalib yang terbaik. Ini kerana Abdullah adalah anak yang paling sopan, paling baik budi pekertinya sehingga begitu disayangi ramai.

Bercerita mengenai bapa Rasulullah ini, sejarah pasti sesuatu yang sangat berbeza jika peristiwa Abdullah hendak disembelih oleh bapanya sendiri akibat hendak membayar niat nazar benar-benar terjadi.

Begitupun sangat menarik untuk kita mengetahui kisah penyembelihan itu bagi menunjukkan betapa kuatnya elemen-elemen jahiliah, termasuk menggunakan anak panah sebagai menentukan nasib dalam aspek budaya dan sosial masyarakat Arab pra Islam itu.

Akibat peristiwa nazar itu, bapa Rasulullah ini turut dikenali dengan gelaran Al Dhabih (mangsa penyembelihan), iaitu akibat dari nazar yang dibuat oleh Abdul Mutalib kerana mempunyai anak-anak lelaki yang begitu beliau banggakan. Sehinggakan beliau sanggup menyembelih di sisi dinding Kaabah salah seorang anak lelakinya itu.

Sebagaimana tradisi Arab Jahiliah yang begitu berpegang kuat kepada ramalan dan tilik nasib, Abdul Mutalib juga tidak terkecuali. Beliau telah menulis nama kesemua anak lelakinya itu pada anak-anak panah dan diberikan kepada penjaga Hubal, sebuah patung berhala besar yang boleh didapati berhampiran Kaabah.

Si penjaga berhala itu juga seorang yang berfungsi sebagai yang mencabut anak-anak panah bagi menentukan nasib yang mesti dihadapi oleh mereka yang meramal menggunakan anak panah ini.

Lalu selepas menggoncang anak-anak panah itu, maka anak panah yang dipilih dan dicabut keluar mencatatkan nama Abdullah, anak yang paling disayangi oleh Abdul Mutalib.

Namun akibat niat bernazar yang kuat, Abdul Mutalib tidak ada pilihan kecuali terpaksa menyerahkan juga anak yang paling disayanginya itu untuk disembelih.

Lalu tanpa banyak berkata-kata lagi, Abdul Mutalib pun membawa Abdullah ke Kaabah dan sebilah pisau tajam yang hendak digunakan untuk menyembelih anaknya itu. Tindakan Abdul Mutalib itu benar-benar menimbulkan kegemparan di kalangan penduduk kota Mekah ketika itu.

100 ekor unta

Mereka berusaha sedaya upaya untuk menghalang Abdul Mutalib daripada meneruskan niatnya untuk menyembelih Abdullah itu. Bapa-bapa saudara Abdullah sebelah ibunya (Fatimah binti Amru bin Aidh bin Imran bin Makhzum bin Yaqzah bin Murrah) daripada kalangan Bani Makhzum dan terutamanya saudaranya Abu Talib begitu menghalang Abdul Mutalib daripada terus menyembelih Abdullah.

Tetapi Abdul Mutalib seorang yang berpegang kepada nazarnya, tetap akan meneruskan niatnya itu kecuali terdapat cadangan lain yang dapat menebus nazar tersebut.

Lalu mereka mencadangkan supaya Abdul Mutalib menemui seorang ahli tilik wanita untuk meminta nasihat daripadanya mengenai masalah nazar itu.

Wanita itu mencadangkan menuliskan nama Abdullah pada anak panah itu dengan tebusan 10 ekor unta. Jika nama yang keluar ialah nama Abdullah maka hendaklah ditambah 10 ekor unta lagi sehingga Tuhan merestuinya. Jika anak yang dicabut pula ialah unta maka hendaklah disembelih unta-unta itu.

Namun yang terjadi selepas itu, nama Abdullah yang sentiasa ‘naik’ pada cabutan sehinggalah 10 kali cabutan yang menyebabkan setiap satunya terpaksa ditambah dengan 10 ekor unta lagi. Ini menjadikan kesemuanya 100 ekor unta menjadi tebusan kepada nyawa Abdullah.

Maka terlepaslah nyawa Abdullah dengan dibayar 100 ekor unta yang kemudiannya diberi kepada orang lain tanpa halangan atau disembelih.

Sebelum ini bayaran diat di kalangan orang Arab hanya 10 ekor unta tetapi sejak peristiwa itu bayaran diat bagi nyawa manusia menjadi 100 ekor unta yang kemudiannya diterima dalam Islam.

Rasulullah SAW sendiri pernah bersabda: “Aku adalah putera dua orang yang disembelih (iaitu Nabi Ismail dan bapa Baginda, Abdullah)”.

Abdul Mutalib tentu sahaja gembira dengan penebusan nyawa anaknya itu, beliau kini beroleh kembali anaknya itu daripada bakal disembelih oleh tangannya sendiri.

Sebagai meraikan anaknya itu dan kebetulan Abdullah didapati sudah sesuai untuk mendirikan rumah tangga, lalu Abdul Mutalib menjodohkan anaknya dengan Siti Aminah binti Wahb bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Kilab menjadi isteri. Ketika itu Aminah dianggap wanita bangsa arab Quraisy yang paling mulia dari segi keturunan dan kedudukan. Bapanya ialah ketua Bani Zuhrah dari segi hubungan nasab dan kemuliaan.

Lalu berkahwinlah Abdullah dan Siti Aminah lalu mereka menetap di Kota Mekah.

Tidak lama mereka berkahwin, Abdullah bersama rombongan kafilah dagangan menuju ke Madinah bagi menjalankan perniagaan di sana. Sesetengah meriwayatkan Abdullah sebenarnya hendak menuju ke Syam tetapi di pertengahan jalan, beliau kemudiannya jatuh sakit lalu meninggal dunia berhampiran Madinah.

Jenazahnya dikebumikan di Dar al Nabighah al Ja’di dikatakan dalam usia yang sangat muda iaitu 25 tahun.

Kematian Abdullah ini dikatakan pada dua bulan sebelum keputeraan anakandanya, Rasulullah menyebabkan si anak menjadi yatim sejak dalam kandungan ibunya lagi, Siti Aminah.

Kematian Abdullah benar-benar diratapi dengan penuh sedih oleh Siti Aminah, tentunya kerana mengenangkan nasib anaknya yang tidak sempat melihat wajah si bapa.

Sambil meratap hiba itu, Aminah sempat melagukan sebuah syair pilu seperti yang tersiar dalam keluaran lalu.

Pemergian Abdullah telah meninggalkan kepada isterinya itu iaitu lima ekor unta, beberapa ekor kambing dan seorang hamba perempuan berketurunan Habsyah bernama Barakah yang digelar Ummu Ayman yang kemudiannya pernah mengasuh Rasulullah semasa Baginda masih kecil!.

lPetikan daripada Sirah Nabawiyah terbitan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)
sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0316&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm#ixzz54lrUKRd8

© Utusan Melayu (M) Bhd