Jumaat, 21 April 2017

Di mana bidaahnya perbuatan berselawat semasa Maulidur Rasul?

ARKIB : 09/05/2004
SOALAN: Sehingga sekarang ini saya berasa pelik, kenapa umat Islam, yang mengetahui amalan menyambut maulidur rasul itu bidaah, tetapi masih melakukan, menyambutnya setiap tahun di bandar-bandar dan kampung-kampung.
Saya harap amalan-amalan bidaah yang terus-menerus diamalkan seperti ini ada dalam maklumat tuan. - Ahmad Syawal, Guar Periuk.
JAWAPAN: Istilah ``bidaah'' berasal dari kata Arab ``bada'a'' yang bererti mengadakan atau menciptakan sesuatu yang baru tanpa contoh terlebih dahulu. Dalam surah al-Baqarah: 117, terdapat firmah Allah yang berbunyi: Badi'u `s-samawati wa'l-ard (yang mengadakan atau yang menciptakan tanpa contoh terlebih dahulu, iaitu langit dan bumi).
R.J Wilkinson (1, 1959:136) menjelaskan ``bidaah'' bererti innovation in religion, in popular speech, lying. Al-Badi' ialah yang mengadakan atau menciptakan pertama kali. Ia adalah merupakan salah satu nama Allah yang indah (asma'u `l-husna), sedangkan orang yang pertama sekali menciptakan sesuatu atau orang yang mengadakan perbuatan bidaah disebut sebagai `mubtadi,' contohnya Edison, James Watt atau Stevenson adalah mubtadi. Kerana mereka adalah orang yang pertama kali menciptakan listrik, mesin wap dan kereta api.
Menurut istilah, bidaah ialah suatu perbuatan, pekerjaan atau cara baru dalam agama yang menyerupai syariah, dengan maksud bahawa melaksanakannya itu akan mendapat keredaan Allah s.w.t.
bidaah boleh dikategorikan kepada beberapa kelompok, di antaranya ialah (i) bidaah sebenar, iaitu sesuatu perbuatan atau acara agama yang sama sekali tidak ada keterangannya daripada al-Quran ataupun hadis.
Contohnya seperti amalan mendekatkan diri kepada Allah dengan menjauhkan diri daripada hiruk-pikuk manusia dengan berpuasa dan bertapa, berpuasa pati geni, iaitu puasa tiga hari atau beberapa hari tertentu menurut yang diajar oleh guru, seperti tujuh hari, atau empat puluh hari berturut-turut tanpa makan dan minum kecuali sedikit, juga makanan tertentu dalam jumlah tertentu, menjadi rahib sehingga tidak beristeri dan sebagainya. bidaah ini juga diistilahkan sebagai bidaah kulliyah.
bidaah lain (ii) ialah bidaah idhafiyah, iaitu amalan yang keterangannya boleh disandarkan kepada al-Quran atau hadis, tetapi salah dalam pelaksanaannya, seperti melakukan sembahyang dua rakaat setelah melakukan sembahyang asar atau subuh. bidaah ini dinamakan bidaah juz'iyyah.
Amalan menyambut maulud di Malaysia dilakukan dengan berkumpul beramai-ramai, berarak dari tempat-tempat tertentu, sama ada dimulakan dari pejabat daerah atau tempat-tempat tertentu menuju ke tempat tertentu, selalunya berhenti di masjid. Demikian dilakukan sekiranya maulud itu diadakan di peringkat daerah.
Pada peringkat yang lebih kecil, selalunya tempat berhenti juga di masjid atau di surau. Ketika perarakan itu berjalan, sepanduk, yang ditulis dengan cogan kata tertentu, dengan ayat-ayat al-Quran, hadis-hadis dan sebagainya dijadikan panji-panji. Mereka beramai-ramai seperti kanak-kanak sekolah, ibu bapa berpakaian cantik kerana menyambut hari yang mereka anggap amat bersejarah lagi besar, berjalan sambil berselawat ke atas nabi yang dikasihi.
Setelah tiba di masjid atau surau, mereka berhenti. Di sana mereka berhimpun beramai-ramai mendengar syarahan oleh orang-orang tertentu yang telah dijemput hadir bersama, setelah itu mereka dijamu dengan hidangan yang disediakan. Di peringkat negeri perhimpunan ini menjadi satu hari kebesaran tahunan. Terlalu janggal sekiranya ia tidak diadakan. Setahu saya amalan menyambut hari kebesaran seperti ini tidak pernah ditinggalkan biar dalam keadaan apa sekalipun.
Di kebanyakan tempat, terutama di peringkat kampung atau daerah, majlis diadakan dengan menjemput penduduk tempatan hadir ke masjid, atau datang ke tempat tertentu, seperti di tanah lapang untuk hadir, biasanya di malam hari mendengar ceramah daripada penceramah yang dijemput.
Pada hari berkenaan majlis-majlis marhaban dan lain-lainnya diadakan. Kaum ibu bapa, jiran juga jawatankuasa masjid berpadu tenaga dalam usaha menyempurnakan perhimpunan tertentu.
Saudara menekankan bahawa amalan ini sebagai amalan bidaah iaitu ``bidaah dalalah'', bidaah sesat, melencong daripada amalan rasulullah dan setiap amalan bidaah itu tempatnya di dalam neraka.
Upacara keagamaan yang memenuhi sebahagian daripada upacara tersebut ialah berselawat. Dalam surah al-Ahzab: 56 Allah menjelaskan bahawa Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas nabi. Kerana itu Allah menyuruh orang yang beriman agar berselawat dan salam yang sempurna.
Rasulullah dalam sebuah hadis menyatakan bahawa barang siapa berselawat ke atasnya satu selawat, Allah akan berselawat ke atasnya sebanyak 10 kali. Orang yang paling utama bersama nabi pada hari kiamat kelak ialah mereka yang paling banyak berselawat ke atasnya.
Sebaik-baik hari ialah hari Jumaat. Kerana itu perbanyakkan selawat pada hari berkenaan, kerana selawat manusia itu akan diperlihatkan atau ditunjukkan ke atas nabi dan baginda akan menjawab salam berkenaan.
Tidak dijelaskan secara khusus ketika bila dan keadaan seseorang itu dianjurkan berselawat, ketika duduk selepas sembahyang lima waktu, ketika kenduri akikah selepas bermarhaban, atau ketika berarak maulidur rasul.
Terlalu besar fadilat mereka yang berselawat, termasuk mereka yang berarak maulidur rasul atau oleh orang-orang tertentu yang diikuti oleh mereka yang hadir di masjid-masjid, surau-surau atau di tanah-tanah lapang.
Agaknya saudara yang berasa pelik dengan amalan seperti ini dapat membuktikan, di manakah bidaahnya amalan berselawat tersebut, yang menyebabkan pengamalnya iaitu mereka yang berselawat itu akhirnya akan berada di neraka jahanam seperti yang saudara luahkan dalam surat saudara yang panjang lebar itu?
Kebesaran
Maulidur rasul adalah salah satu lambang atau syiar kebesaran agama Islam. Kerajaan Malaysia telah mengiktirafnya, lalu memberi cuti pada hari berkenaan, memberi peluang setiap orang Islam menyambut hari berkenaan.
Sebahagian daripada mereka keluar rumah. Kecil, besar, ibu dan bapa berkumpul berarak sambil berselawat beramai-ramai menuju ke masjid seperti yang dijelaskan.
Sebahagian masyarakat Melayu tidak mengambil endah dengan perayaan ini kerana menganggapnya tidak penting, tidak ada masa kerana balik kampung, cuti atau atas sebab-sebab peribadi dan mungkin ada juga menganggap bahawa amalan ini satu amalan bidaah, kerana terpengaruh dengan pandangan orang yang seperti saudara, atau secara kebetulan mempunyai pegangan seperti saudara.
Mereka yang berarak maulud berakhir di masjid, seperti yang dijelaskan. Satu amalan menggalakkan manusia Islam ke masjid, rumah Allah. Apabila saudara mengatakan bahawa berarak ke masjid itu amalan bidaah dan setiap bidaah itu akan berakhir di neraka, bererti bahawa secara tidak langsung saudara memberi tafsiran bahawa perbuatan ke masjid itu adalah bidaah, yang akhirnya ke neraka. Pegangan saudara secara tidak langsung seperti mengancam atau menakut-nakutkan mereka yang pergi ke masjid.
Apabila satu kumpulan umat Islam itu telah mengamalkan satu upacara keagamaan, contohnya seperti mengadakan majlis maulidur rasul, majlis bertahlil kenduri arwah, membaca talkin kematian, juga amalan wirid setelah sembahyang lima waktu, seperti yang dilakukan sekarang ini, tiba-tiba lahir pendapat yang mengatakan bahawa amalan tersebut sebagai bidaah, tidak pernah dilakukan oleh rasulullah, oleh para sahabat, tabiin atau oleh negara-negara Arab, maka kumpulan umat Islam itu sebahagian daripadanya akan terpengaruh oleh pendapat seperti ini, lebih-lebih lagi sekiranya orang yang bercakap, atau memberi syarahan atau pendapat itu terdiri daripada guru-guru agama atau oleh orang yang berpengaruh.
Apabila ini terjadi, maka akan berlakulah perpecahan di kalangan umat Islam tempatan, hasil daripada pengaruh atau apa yang boleh dianggap sebagai hasutan orang yang seperti saudara. Di sini jelas, membuktikan bahawa orang yang seperti saudara inilah yang memecahbelahkan umat Islam, dengan bertopengkan alasan-alasan agama seperti yang dijelaskan hasil daripada rasa taksub yang menebal.
Cukuplah dengan apa yang berlaku sekarang ini, di mana orang Islam dibunuh, dihina, dikencing dan ditelanjangi juga dirogol, berpunca daripada perpecahan sesama sendiri, perpecahan akibat kabilah, mazhab, perbezaan parti politik, perbezaan taraf hidup keturunan dan batas-batas geografi. Jadikan apa yang berlaku di negara-negara Islam sebagai contoh, jangan diheret terbawa-bawa di negara tersayang kita ini.
Kalau saudara kata sambutan maulud itu bidaah sesat, boleh agaknya saudara beri jalan keluar, satu alternatif mengganti upacara memperingati maulidur rasul yang ada sekarang ini. Adakah perlu kita mengadakan majlis maulud itu dengan lumba motor di jalan raya, perlawanan bola di padang atau duduk di rumah menonton tv, tayangan main kompang, menonton gambar kartun atau gusti?
Saudara perlu ada kesedaran dan sensitiviti bahawa di Malaysia ini, setiap bangsa berusaha hendak menonjolkan syiar pegangan agama masing-masing. Orang Cina, cuba menonjolkan perarakan tanglung mereka, untuk menjadi lambang pegangan budaya yang dikagumi di universiti-universiti, orang India yang beragama Hindu berusaha menonjolkan perarakan Thaipusam, bersatu berarak berbatu-batu ke kuil-kuil, di setiap kuil, daerah dan negeri, terutamanya di Batu Caves, yang dihadiri penganut dan peminatnya dari seluruh pelosok dunia, tetapi orang yang seperti saudara tidak berhenti-henti meracuni pemikiran orang Islam yang cuba bersatu atas dasar ``bidaah'' yang saudara sendiri hakikatnya tidak begitu faham apa itu bidaah yang sebenar akibat taksub yang dimiliki.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan