Sabtu, 8 April 2017

Rasulullah juga memendekkan langkah ke tempat sembahyang



ARKIB : 26/10/2003

Soal Jawab Agama Bersama Dr. Amran Kasimin
SOALAN:
Saya terbaca dalam sebuah kitab menyatakan bahawa seseorang itu digalakkan berjalan kaki ke masjid untuk sembahyang. Semakin hampir kepada masjid, dia digalakkan supaya mengecilkan langkahnya untuk memperbanyakkan lagi pahalanya. Orang yang langkahnya kecil, akan banyak langkahnya, apabila langkahnya banyak, maka pahalanya akan lebih banyak. Saya mohon dapat sekiranya ustaz menjelaskan secara tepat apakah yang patut dilakukan oleh setiap orang yang hendak ke masjid mendirikan sembahyang agar memperoleh pahala atau ganjaran yang maksimum. - ANIS, Keramat.

Jawapan:
Rasulullah mengajar, supaya setiap orang yang ke luar dari rumah untuk mendirikan sembahyang di masjid itu dalam keadaan bersih, tenang, sopan, merendah diri dan khusyuk serta tidak dalam keadaan gopoh-gapah.

Hadis daripada Abu Hurairah menyatakan, Aku telah mendengar Rasulullah bersabda: Apabila sembahyang itu hendak didirikan, jangan engkau tergesa-gesa untuk menunaikannya, datanglah dengan berjalan, hendaklah kamu dalam keadaan tenang, maka apa yang kamu peroleh sembahyangnya dan apa yang tertinggal daripada maka sempurnakanlah akan dia - riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Hadis ini adalah jelas. Tidak sayugia bagi seseorang yang ingin berjemaah itu berlari untuk mendapatkan rakaat bersama imam, sama ada rakaat pertama atau akhir rakaat atau untuk mendapatkan qiyam bersama imam, sebelum imam sujud dengan berlari.

Jalan perlahan seperti biasa, apa yang dapat, lakukan dan yang tertinggal sempurnakan. Menurut Ibn al-Qayyim, ketenangan (as-sakinah) itu melahirkan rasa khuduk dan menundukkan pandangan mata.

Dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah beliau berkata, telah bersabda Rasulullah: Apabila seseorang itu berwuduk, maka perelokkanlah wuduk tersebut, kemudian keluar untuk sembahyang, tidak keluar dia kecuali untuk sembahyang. Tidak melangkah dia satu langkah, kecuali diangkat baginya satu darjah dan dihapuskan daripadanya satu dosa. Maka apabila dia berselawat, maka malaikat sentiasa berselawat ke atasnya selagi ia berada di tempat sembahyang - riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Hadis daripada Zaid bin Thabit, beliau berkata: Aku pernah berjalan bersama Rasulullah untuk sembahyang, di mana baginda memendekkan langkah, baginda berkata: Adakah kamu tahu kenapa aku pendekkan langkah? Aku menjawab: Allah dan rasulnya lebih mengetahui. Baginda berkata: Seorang hamba itu sentiasa berada di dalam sembahyang selagi dia dalam usaha untuk menunaikan sembahyang. Menurut satu riwayat: Sesungguhnya aku berbuat demikian untuk memperbanyakkan langkahku ketika hendak sembahyang - riwayat at-Tabrani.

Berdasarkan hadis ini, memang benarlah bacaan yang saudara katakan. Nabi menganjurkan supaya seseorang itu memendekkan langkah kerana mahukan pahala yang lebih banyak, berdasarkan banyaknya langkah yang di tapak ketika menuju ke tempat sembahyang. Kita perhatikan, Rasulullah sendiri pun berbuat demikian, mahukan pahala yang lebih berdasarkan kepada langkah yang dilakukan, padahal baginda adalah maksum, terpelihara daripada dosa, pada masa yang telah lalu dan yang akan datang. Baginda telah dipastikan tempatnya di syurga, tetapi tetap mahukan pahala yang lebih.

Demikianlah kehidupan manusia kekasih Allah, yang semakin tunduk, menghambakan diri kepada Allah. Semakin banyak menikmati kurniaan Allah, maka semakin banyak kesyukuran kepada-Nya. Demikianlah di antara amalan baginda yang sewajarnya dijadikan teladan kepada hamba-Nya.

Ketika keluar rumah disunatkan membaca doa berikut yang bermaksud: Dengan nama Allah, aku bertawakal kepada Allah, tidak ada usaha juga tidak ada kekuatan kecuali pada Allah.

Menurut hadis daripada Anas r.a. bahawa Rasulullah apabila keluar dari rumah membaca doa di atas, maka dikata bagi orang yang membaca itu: Engkau telah diberi petunjuk, memadailah dan engkau telah terpelihara dan syaitan menjauhi darinya - hadis riwayat at-Tarmizi, Abu Daud dan Ibn Habban dalam sahihnya.

Selain doa di atas, Rasulullah mengajar agar seseorang itu membaca doa berikut: Ya Allah, jadikan dalam hatiku cahaya, pada lidahku cahaya, pada pendengaranku cahaya dan jadikanlah pada pandanganku cahaya, belakangku cahaya, hadapanku cahaya dan jadikanlah di atasku cahaya, bawahku cahaya dan anugerahkanlah akan daku cahaya - riwayat Muslim.

Jangan bertasbik, iaitu memasukkan jari-jari tangan ke celah-celah jari tangan yang lain. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Said daripada Rasulullah bahawasanya baginda telah bersabda: Apabila seorang daripada kamu berada di dalam masjid, maka janganlah dimasukkan jari-jarinya di celah-celah jari tangan yang lain, maka sesungguhnya tasbik itu daripada perbuatan syaitan. Dan sesungguhnya seseorang daripada kamu sentiasa berada dalam sembahyang selagi dia berada di masjid, sehinggalah dia keluar darinya - riwayat Ahmad dengan sanadnya yang hasan.

Dalam sebuah hadis lain, daripada Kaab bin Ujzah dinyatakan bahawa Rasulullah telah melihat seorang lelaki memasukkan jari-jarinya di celah jari-jari tangannya yang lain dalam sembahyang, maka baginda menghuraikan jari-jarinya tadi. Hadis riwayat Ibn Majah. Begitu juga makruh hukumnya berbuat demikian ketika menantikan waktu mendirikan sembahyang.

Rasulullah mengajar membaca doa berikut ketika hendak memasuki masjid: Dengan nama Allah, aku berlindung kepada Allah yang agung juga wajah-Nya yang mulia dan kekuasaan-Nya yang kekal daripada syaitan yang direjam. Ya Allah, selawat sejahtera ke atas Muhammad. Ya Allah ampunilah dosa-dosaku, dan bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmat-Mu.

Setelah membaca doa ini, barulah masuk masjid melangkah dengan kaki kanan. Dalam sebuah hadis lain, baginda mengajar supaya seseorang itu membaca doa berikut sebelum masuk masjid, maknanya: Aku berlindung kepada Allah yang agung juga dengan wajah-Nya yang mulia dan kekuasaan-Nya yang kekal daripada syaitan yang direjam.

Baginda memberitahu: Apabila seseorang itu membaca doa di atas, syaitan berkata: Dia terpelihara daripada aku sepanjang hari - hadis riwayat Abu Daud. Hadis hasan.

Jangan duduk di masjid kecuali setelah mendirikan sembahyang dua rakaat tahiyat masjid. Demikianlah yang dilakukan oleh baginda di mana baginda sembahyang dua rakaat sebelum duduk. Dalam sebuah hadis daripada Jabir yang diceritakan tentang seorang lelaki yang telah masuk masjid ketika baginda sedang membaca khutbah Jumaat. Baginda bertanya: Adakah anda telah sembahyang? Lelaki itu menjawab: Belum. Baginda berkata: Bangun. Sembahyang dua rakyat - riwayat Bukhari dan Muslim.

Duduk menghadap kiblat. Setiap sesuatu itu ada penghulu atau ketuanya. Ketua bagi sesuatu majlis itu ialah arah kiblat. Demikianlah yang disebut oleh sebuah hadis dengan sanadnya yang hasan, riwayat oleh at-Tabrani, kemudian berzikir, membaca al-Quran ataupun diam dan jangan bertasbik, iaitu memasukkan jari-jari ke celah jari-jari tangan lain.

Makruh berbicara tentang urusan dunia, termasuk berbicara urusan perniagaan. Dalam sebuah hadis mursal, dinyatakan bahawa Rasulullah ada bersabda: Akan datang satu zaman di mana manusia perbualan mereka ialah urusan dunia ketika berada di masjid-masjid. Maka janganlah kamu duduk bersama mereka, maka tidak ada bagi Allah itu hajat pada mereka - riwayat al-Bayhaqiy.

Dalam sebuah hadis lain, hadis daripada Abu Hurairah dinyatakan bahawa Rasulullah ada bersabda: Apabila kamu lihat orang yang sedang berjual beli di masjid, maka katakanlah: Allah tidak akan memberi keuntungan terhadap perniagaanmu - riwayat at-Tarmizi.

Ketika iqamah telah dibacakan, maka ditegah seseorang itu mendirikan sembahyang sunat, sekalipun ia terdiri daripada sunat rawatib, iaitu sekiranya sembahyang tersebut belum dilakukan sepenuhnya satu rakaat.

Sekiranya telah dikerjakan satu rakaat, lalu kedengaran iqamah dibacakan, maka dia hendaklah menyempurnakan sembahyang sunatnya tadi iaitu dua rakaat. Sekiranya belum sempurna satu rakaat, iaitu belum melakukan rukuk, atau baru hendak membaca al-Fatihah, dia hendaklah membaca salam dan memutuskan sembahyangnya lalu ikut berjemaah.

Dalam keadaan seperti ini, muazzin atau orang yang terlibat membaca iqamah hendaklah memastikan bahawa setiap orang itu tidak dalam keadaan sembahyang sunat, untuk mengelakkan daripada berlakunya kejadian seperti dijelaskan, iaitu seseorang itu sedang sembahyang sunat pada hal iqamah telah sempurna dibaca.

Keterangan ini adalah berdasarkan kepada hadis daripada Abu Hurairah, yang menyatakan bahawa Rasulullah ada bersabda: Apabila iqamah sembahyang telah dimulakan, maka tidak ada sembahyang kecuali sembahyang fardu.

Mendirikan sembahyang di masjid dengan berjemaah mempunyai adab-adab dan peraturan tertentu menurut sunah Rasulullah. Apabila membicarakan tentang pahala yang banyak bagi mereka yang berjalan kaki, menurut banyaknya langkah yang diatur, maka akan timbul persoalan tentang orang yang menaiki basikal, kereta dan sebagainya, termasuk mereka yang menjadi tauke, duduk di belakang kereta lalu menuju ke masjid dipandu oleh pemandu.

Keterangan hadis di atas memperlihatkan bahawa seseorang itu perlu berusaha melakukan ibadah yang hendak dilakukan, iaitu ibadah sembahyang sebaik boleh, agar memperoleh pahala yang banyak. Untuk memperoleh pahala atau ganjaran yang banyak atau maksimum seperti saudara harapkan, amalan-amalan yang pernah dilakukan oleh Rasulullah perlu difahami, dihayati dan diikuti. Semoga Allah memberkati amalan kita semua.

Pembaca yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:

Dr. Amran Kasimin

Mingguan Malaysia

46M, Jalan Chan Sow Lin

55200 Kuala Lumpur.

Faks: 03-92213752

E-mel: mingguan@utusan.com.my

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=1026&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_05.htm#ixzz4de5RRvSo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan