ARKIB : 03/08/2011
Susunan SITI AINIZA KAMSARI
Walaupun pun keselamatan diancam dan nyawa menjadi
taruhan, umat Islam seperti rakyat Palestin ini tetap teguh iman dan perjuangan
dalam mempertahankan agama dan tanah airnya. - Gambar hiasan
APABILA menyedari bahaya besar menanti di hadapan,
keenam-enam sahabat yang mengikuti misi dakwah yang diketuai oleh Ashim bin Tsabit
tidak mempunyai pilihan lain kecuali terpaksa berhadapan dengan pihak musuh
yang mengepung mereka.
Untuk menyerah semata-mata bagi menyelamatkan diri
tidak sekali-kali. Mereka nekad untuk melawan.
Apabila melihat pengikut-pengikut Rasulullah itu
seperti berdegil, tidak mahu menyerah diri, lalu mereka dipujuk oleh pihak
musuh dan diberikan tawaran yang menarik.
"Kami tidak akan membunuh kamu. Kami akan
menghantar kamu kembali ke Mekah, tempat asal kamu dahulu, kepada kaum keluarga
kamu sendiri," kata pihak musuh.
Di sebalik tawaran itu, keenam-enam sahabat
tersebut sedar bahawa kembali ke Mekah bermaksud menjadi tawanan kepada pihak
Quraisy. Tentu sekali ia satu penghinaan yang sangat besar.
Lalu mereka menolak bulat-bulat tawaran berkenaan
malah bersedia untuk bertempur bagi mempertahankan maruah dan kepentingan
Islam.
Maka berlakulah satu pertempuran berat sebelah yang
kita sudah boleh jangka apakah kesudahannya.
Dengan bilangan mereka yang kecil, hanya enam
orang, tentu pihak Islam tidak dapat mengalah musuh yang jumlahnya berpuluh
kali ganda lebih ramai itu.
Namun, yang penting mereka tetap memberikan
tentangan hebat dan sengit walaupun akhirnya tiga daripadanya terkorban
termasuk ketua misi, Ashim Tsabit.
Dua sahabat lagi yang terkorban, Khalid bin Bukair
dan Martsad bin Abi Martsad.
Tiga sahabat lagi iaitu Khubaib bin Adi, Abdullah
bin Thariq dan Zaid bin Datsinah ditangkap dan diikat tangan mereka.
Mereka ditawan dan dibawa pulang ke Mekah dengan
kawalan yang sangat ketat.
Di Mekah mereka akan dijual sebagai hamba abdi
kepada pembesar-pembesar Quraisy.
Namun di pertengahan jalan, Abdullah berjaya
melepaskan ikatan yang mengikat tangannya lalu merampas senjata pihak musuh
yang mengawalnya lalu dibunuhnya.
Abdullah tidak berpeluang untuk menyelamatkan
rakan-rakannya yang lain kerana mahu segera memberitahu Rasulullah akan
peristiwa buruk yang menimpa mereka.
Namun, malang bagi Abdullah apabila beliau berjaya
dikejar lalu dilempar batu bertubi-tubi menyebabkan beliau terkorban juga
akhirnya.
Kini tinggal Zaid dan Khubaib yang dibawa ke Mekah.
Sebaik sahaja sampai di sana, kedua-dua pemuda itu terus dibeli.
Zaid dibeli oleh Shafwan bin Umayyah manakala Khubaib
dibeli oleh Al Harits bin Amir bin Naufal.
Namun pemuda-pemuda itu bakal dibunuh atas dasar
membalas dendam yang melibatkan ahli keluarga pembesar-pembesar Quraisy yang
mati dalam Perang Badar dahulu.
Shafwan ingin membunuh Zaid bagi menuntut bela atas
kematian bapanya, Umayyah bin Khalaf yang terbunuh di medan Badar.
Manakala Khubaib bakal menjadi mangsa balas dendam
atas kematian anak Al Harits sendiri, iaitu Uqbah.
Dari aspek keimanan, kedua-dua sahabat itu, Zaid
dan Khubaib sangat luar biasa.
Walaupun nyawa menjadi taruhan ia sedikitpun tidak
menjejaskan pegangan mereka terhadap Islam.
Segala tawaran supaya berpaling tadah tidak sedikit
pun menggoyahkan keimanan mereka walaupun kampung halaman sudah berada di
hadapan mata.
Oleh kerana mereka berdegil dan tidak akan mahu
berpaling tadah, akhirnya tiada pilihan lain kecuali mereka dibunuh sebagai
cara untuk membalas dendam.
Shafwan sendiri memerintahkan seorang hambanya,
iaitu Nasthas supaya menamatkan riwayat Zaid.
Namun saat Zaid hendak dibunuh, tiba-tiba muncul
Abu Suffian bin Harb, pembesar Quraisy yang tidak asing lagi cuba membuat
tawaran terakhir kepada pengikut Rasulullah yang berjaya ditawan itu.
Abu Suffian menawarkan keampunan dan kebebasan
kepada Zaid dengan syarat Zaid meninggalkan kepercayaannya terhadap Islam dan
kembali kepada menyembah berhala, agama nenek moyang mereka.
Disangkanya Zaid akan menerima dengan mudah tawaran
pengampunan itu lalu Abu Suffian pun berkata lagi: "Aku mahu bertanya
kepada kamu wahai Zaid, apakah sekarang ini kamu suka sekiranya sahabat kamu
Muhammad (Nabi) dijadikan pengganti diri kamu bagi dipotong lehernya?
"Sesudah itu tentu sahaja kamu boleh kembali
kepada keluarga kamu dan bersenang-senang dengan mereka di rumah sebagaimana
yang pernah kamu nikmati dahulu."
Tetapi tawaran itu tidak mampu untuk mengubah
pendirian Zaid.
"Demi Allah, aku tidak sekali-kali reda
sekiranya Nabi Muhammad disakiti walaupun dengan satu tusukan duri ke badannya!
Sedangkan aku berada bersama-sama ahli keluargaku sambil bersenang-senang.
Tidak sekali-kali," tegas Zaid
Zaid lebih rela dirinya dibunuh oleh pihak musuh
daripada hidup dan kembali kepada keluarganya dengan menjadikan Nabi Muhammad
sebagai galang gantinya.
Abu Suffian terkejut dengan ketegasan Zaid yang
teguh mempertahankan prinsip dan sanggup mengenepikan kepentingan diri sendiri
semata-mata kerana Islam.
Sambil menggeleng-gelengkan kepalanya Abu Suffian
pun berkata: "Aku belum pernah melihat seseorang itu mencintai sahabatnya,
sebagaimana para sahabat Muhammad mencintai dia."
Atas keimanan yang tiada tolok bandingnya, akhirnya
Zaid dibunuh dan tentunya sahaja kematiannya adalah syahid, semulia-mulia
kematian!
Begitulah ujian getir yang terpaksa dibayar dengan
begitu mahal termasuk dengan nyawa oleh para pejuang Islam.
Keteguhan dan kekuatan iman yang dimiliki oleh
pengikut Islam itu sememangnya menghairankan pihak musuh.
Sebagaimana Rasulullah sendiri sebelum ini, yang
tidak termakan dengan pelbagai usaha dan pujuk termasuk tawaran pelbagai habuan
yang lumayan daripada harta kekayaan kepada jawatan ketua pembesar Mekah akan
diberi jika baginda sedia meninggalkan Islam, begitu juga pengikut-pengikut
baginda.
"Meskipun mereka berjaya meletakkan matahari
di tangan kananku dan bulan ditangan kiriku, agar aku meninggalkan seruanku.
Sungguh, sampai mati pun tidak akan kutinggalkan," tegas Rasulullah.
Jika baginda sendiri pernah diuji keimanannya
dengan segala macam tawaran yang seperti itu dan ditolaknya mentah-mentah,
apatah lagi para sahabat.
Baginda telah memberikan contoh yang sangat baik
untuk mereka contohi dan tidak sekali-kali mereka akan tergoda dengan apa juga
tawaran yang menjadi umpan.
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0803&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm#ixzz5ej6xrWpQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan