Jumaat, 20 Oktober 2017

Berhijrah selamatkan akidah



ARKIB : 06/01/2008

Oleh: MOHD SHAUKI ABD MAJID

KEMUNCULAN bulan Muharam pada tahun ini bermakna umat Islam telah memasuki tahun baru Hijrah 1429. Mengingati peristiwa hijrah ini ia sebenarnya mengandungi pengertian dan pengajaran yang amat luas. Ada satu persepsi yang kurang tepat, pada saat menyambut tahun baru Muharam. Dalam tahun baru kita menyambutnya dengan kegembiraan sedangkan jika kita lihat sejarah Nabi Muhammad s.a.w. tahun baru Islam itu merujuk kepada perjalanan Nabi s.a.w. dari Mekah menuju Madinah atau yang dikenali dengan hijrah.

Hijrah bukanlah satu tanda kemenangan kaum Muslim dan di samping kita merayakan Maal Hijrah dan detik bermulanya keagungan Islam ini, jangan kita lupa peristiwa pengorbanan luar biasa oleh kaum Muhajirin dan Ansar. Kaum Muhajirin mengorbankan dan meninggalkan segala yang mereka miliki untuk menjaga kesucian iman. Manakala kaum Ansar berkorban dengan penuh keikhlasan dalam membantu saudara- saudaranya kaum Muhajirin. Bagaimana teguh dan eratnya tali persaudaraan antara mereka (Muhajirin dan Ansar). Perayaan seperti ini diharapkan boleh mengingatkan kita kepada sejarah perjuangan dan pengorbanan yang besar dan bersejarah itu.

Hijrah merupakan perintah ilahiah. Dan tahun Islam mengingatkan kaum muslim bahawa pada setiap tahun bukan terhadap kemenangan, tetapi banyaknya pengorbanan yang telah dilakukan dan menyiapkan untuk melakukan pengorbanan yang sama seperti yang dilakukan oleh kaum Muhajirin dan Ansar itu. Iman, hijrah dan jihad adalah trilogi perjalanan hidup Rasulullah dan para sahabat. Trilogi tersebut diabadikan dalam al-Quran pada surah al-Baqarah ayat 218: Sesungguhnya orang-orang yang beriman, orang-orang yang berhijrah dan berjihad di jalan Allah, mereka itu mengharapkan rahmat Allah, dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Sejarah mencatatkan bahawa peristiwa hijrah ini amat besar ertinya bagi perjuangan Rasulullah khususnya, dan umumnya kepada seluruh umat Islam. Peristiwa ini juga bertujuan merubah strategi perjuangan Nabi s.a.w. dalam menegakkan syiar Islam. Di bawah panji-panji Islam kaum Muhajirin dan Ansar membangun persaudaraan sejati, membangun masyarakat Madani di bawah pimpinan Rasulullah.

Dalam meneruskan perjuangan Islam ini, tiada bekalan yang paling utama selain daripada akidah itu sendiri. Hijrah sebenarnya menggambarkan perjuangan untuk menyelamatkan akidah. Kita hijrah maknawi daripada perbuatan syirik kepada tauhid, dari kufur kepada iman, dari melakukan maksiat kepada taat, dari riak kepada ikhlas, dari takbur kepada tawaduk, dari malas kepada rajin dari khianat kepada amanah, dari dusta kepada jujur, dari perpecahan dan permusuhan kepada perpaduan dan berkasih sayang.

Perjuangan menegakkan akidah umat Islam di negara ini harus dihadapi dengan perjuangan dan keyakinan bahawa Allah s.w.t. sentiasa bersama dengan kita. Ini bukan bererti Allah bertempat sebagaimana fahaman satu kumpulan bidaah. Al-Quran sendiri menjelaskan bahawa ketika saat hijrah Rasulullah ia adalah satu kemenangan walaupun ketika itu pada pandangan kita kemenangan itu belum dicapai.

Kalau kamu tidak menolong (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Mekah) mengeluarkannya (dari negerinya Mekah) sedang ia salah seorang daripada dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya. Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkan dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. - (Surah al-Taubah ayat 40).

Keteguhan akidah atau agama seseorang itu diukur ketika saat ditimpa musibah bukan saat atau suasana kemenangan atau kejayaan. Semua akan memeluk satu akidah apabila melihat kejayaan, namun belum tentu demikian apabila mengalami penderitaan.

Akidah atau tauhid adalah sesuatu yang paling berharga kepada umat Islam. Nabi s.a.w. diutus untuk membawa manusia kepada akidah yang sebenar. Pastinya benih tanaman akidah yang suci dan bersih ini dapat melahirkan bunga-bunga perpaduan dan kasih sayang, keikhlasan dan ketakwaan serta pengorbanan.

Dalam Islam, akidah yang berunsur ketakwaan inilah yang akan melahirkan amalan yang benar-benar ikhlas, di mana amalanamalan seseorang tidak akan diterima Allah kecuali amalan-amalan yang dilakukan oleh orang yang tidak menyekutukan atau menyerupakan Tuhannya dengan sesuatu yang lain. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: Tidak ada seumpama-Nya suatu pun. (As-Shuraa ayat 11).

Dari segi realiti pula, apa yang berlaku di negara kita terdapat gerakan-gerakan politik dan ideologi tertentu yang telah mengutamakan kepentingan politik dan peribadi daripada agama Islam itu sendiri sehingga lahir fatwa-fatwa karut yang boleh memesongkan amalan mereka atas alasan tuntutan sunah, agama dan sebagainya.

Akibatnya, kita dapat melihat begitu banyak sekali penyelewengan fikiran dan fahaman baik besar dan kecil tanpa disedari oleh pengikut awam. Semua ini berpunca daripada amalan mentaati semua fatwa yang dikeluarkan oleh pemimpin tertentu dan setengahnya adalah daripada kalangan pemimpin tertinggi agama yang mempunyai kepentingan diri dan politik.

Adalah tidak wajar kepada mana-mana golongan, misalnya mencampuri urusan Allah berhubung dengan perkara-perkara yang hanya diketahui oleh Allah seperti iman dan kufur, syurga dan neraka atau masa depan seseorang itu masuk syurga atau neraka, kerana ia juga dikategorikan sebagai penyelewengan akidah dalam mencapai sesuatu tujuan. Dalam Islam memfatwa dengan menafikan akidah sesama Islam secara rambang dan mudah adalah terkeluar daripada sunah Rasulullah.

Islam amat ketat untuk menentukan seseorang itu terkeluar daripada akidah atau murtad, kecuali setelah dia terang-terangan menunjukkan pengkhianatannya terhadap akidah Islam. Itu pun setelah dinilai dengan saksama oleh orang yang ahli dalam bidang tersebut.

Demikian juga pusat pemulihan akidah yang dikawal selia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu memainkan peranan yang lebih aktif khususnya dalam memulihkan akidah orang yang telah murtad atau mereka yang terpengaruh dengan ajaran sesat. Ini bertujuan bagi memastikan mereka benar-benar bertaubat dan kembali ke jalan benar dan diredai Allah. Begitu juga dengan gerakan antihadis yang dianggap telah menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Apa yang membimbangkan kita, gejala penyelewengan akidah akhir-akhir ini kian menular di kalangan masyarakat Melayu Islam. Kenyataan dari Jakim dan jabatan-jabatan agama Islam negeri sebelum ini bahawa masih terdapat saki-baki ajaran sesat yang masih aktif, sewajar diberi perhatian dan diambil tindakan tegas oleh pihak berkuasa agama negeri di mana ajaran-ajaran sesat itu beroperasi.

Demikian juga dengan gerakan ajaran antihadis yang masih wujud perlu dipantau oleh pihak berkuasa kerana gerakan ini telah diwartakan sebagai bertentangan dengan agama Islam oleh Jawatankuasa Fatwa Wilayah Persekutuan sejak 1987 dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan pada tahun 1988.

Kita yakin dan percaya bahawa umat Islam yang kuat pegangan akidahnya tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang disebutkan itu. Ajaran Islam telah meletakkan ilmu sebagai suatu perkara yang penting dan utama dan mendapatkan ilmu melalui sumber rujukan yang muktabar sahajalah umat Islam akan menjadi umat yang cemerlang dan digeruni.

Sempena tahun baru Hijrah 1429 ini, kita harus berusaha melawan hawa nafsu yang cenderung mengajak manusia ke arah melakukan perkara-perkara kejahatan dan penyeleweng daripada lunas-lunas syariat. Kita tanamkan azam baru untuk mengamalkan secara bersungguh-sungguh perintah Allah seperti yang ditunjukkan oleh baginda supaya amalan agama subur dalam diri umat Islam.

Hijrah daripada sifat jahil kepada sifat kecerdikan dan kepandaian. Ini semua merupakan maksud dan tuntutan hijrah dalam Islam. Maka hijrah dari satu amalan yang tidak diredai Allah kepada suatu amalan yang dikehendaki-Nya adalah termasuk dalam maksud hijrah yang sebenar. Dalam hal ini, Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: Orang yang berhijrah itu ialah mereka yang berhijrah meninggalkan apa yang dilarang Allah. (Riwayat Muslim).

- PENULIS ialah Pengurus Penyelidikan YADIM.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0106&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm#ixzz4w6tNK6RD
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan