Jumaat, 8 September 2017

Dakwah Nabi Syu’aib kepada penduduk Madyan



ARKIB : 20/10/2006
Kisah Al-Quran (Siri 12)
HAI kaumku, janganlah hendaknya pertentangan antara aku (dengan kamu) menyebabkan kamu menjadi jahat hingga kamu ditimpa azab seperti yang menimpa kaum Nuh atau kaum Hud atau kaum Soleh, sedang kaum Luth tidak (pula) jauh (tempatnya) daripada kamu. (Huud: 89)

Nabi Syu’aib adalah seorang rasul berbangsa Arab yang berasal dari keturunan Nabi Luth. Baginda tinggal di daerah Ma’an di pinggir negeri Syam.

Nabi Syu’aib diutuskan oleh Allah s.w.t. kepada penduduk Madyan. Penduduk Madyan terdiri daripada orang-orang kafir. Mereka menyembah ‘Aikah’ iaitu sebuah patung yang terletak di sebuah padang pasir yang hanya ditumbuhi beberapa batang pokok. Perbuatan mereka itu menyekutukan Allah s.w.t.

Oleh sebab itu, Nabi Syu’aib ditugaskan oleh Allah untuk menyeru penduduk Madyan supaya menyembah-Nya. Baginda menasihatkan mereka agar meninggalkan amalan yang tidak bermanfaat itu. Bahkan, ia juga memudaratkan mereka dan merosakkan akidah.

Selain itu, penduduk Madyan juga tidak berlaku adil dalam perniagaan mereka. Mereka membuat kezaliman dengan mengurangkan timbangan semasa berurusniaga. Sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran, Nabi Syu’aib menegur mereka supaya berlaku adil dalam urusan membuat timbangan. Ini kerana, mereka mendapat kekayaan dengan hasil yang tidak halal.

Nabi Syu’aib bimbang kalau-kalau penduduk Madyan itu akan ditimpa azab daripada Allah s.w.t. atas perbuatan buruk mereka.

Di samping menasihatkan mereka supaya berlaku adil, Nabi Syu’aib juga sentiasa mengingatkan mereka tentang hari kebangkitan. Mereka diajar bahawa pada hari kebangkitan kelak, manusia akan dibangkitkan kembali. Segala perbuatan mereka semasa di dunia akan dipersoalkan semula sama ada perbuatan itu baik atau buruk.

Nabi Syu’aib tidak pernah berputus asa berdakwah kepada mereka, Sudah banyak kali baginda dicerca, tetapi baginda tetap sabar dan tidak cepat marah. Segala cacian mereka dibalas dengan jawapan yang sopan dan lemah lembut oleh Nabi Syu’aib.

Walau bagaimanapun, dakwah baginda masing ditentang hebat oleh penduduk Madyan. Berbagai-bagai ancaman dan ugutan yang diterima oleh Nabi Syu’aib. Tentangan mereka itu akhirnya telah membawa padah. Allah s.w.t. telah menurunkan azab yang pedih kepada mereka.

* Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd.. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx.com.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1020&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_09.htm#ixzz4s5H7Rw9l
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan