Isnin, 25 September 2017

Iktibar taubat Nabi Musa a.s.



SAMA ADA orang yang dizalimi atau melakukan kezalima, merekan perlu dibantu. - GAMBAR HIASAN

25 September 2017 4:00 PM
AddThis Sharing Buttons
Share to FacebookShare to TwitterShare to WhatsAppShare to TelegramShare to EmailShare to More1

SEMUANYA berlaku di luar kawalan Nabi Musa a.s. Baginda langsung tidak menyangka satu tumbukan mudah dengan niat mengundurkan kemaraan si Qibti itu langsung meragut nyawanya. Rasa menyesal terus menghantui baginda kerana tersilap menyahut bantuan lelaki sebangsa baginda iaitu dari Bani Israel itu bergaduh.

Kisahnya disebut dalam firman Allah SWT maksudnya: “Dan masuklah dia ke bandar (Mesir) dalam masa penduduknya tidak menyedarinya, lalu didapatinya di situ dua lelaki sedang berkelahi, - seorang daripada golongannya sendiri dan seorang lagi daripada pihak musuh. Maka orang daripada golongannya meminta tolong kepadanya melawan orang daripada pihak musuh; Musa pun menumbuknya lalu menyebabkan orang itu mati. (Pada saat itu) Musa berkata: “Ini adalah daripada kerja syaitan, sesungguhnya syaitan itu musuh menyesatkan, yang nyata (angkaranya)”. Baginda merayu (dengan sesalnya): “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri; oleh itu ampunkanlah, apalah jua kiranya akan dosaku”. (Maka Allah menerima taubatnya) lalu mengampunkan dosanya; sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (al-Qasas :15-16)

Masakan sekali tumbuk sudah meragut nyawa? Kalau begitu, jika masuk pertandingan tinju pasti Nabi Musa akan sapu bersih kejuaraan. Itulah hakikat tenaga baginda yang menyamai 10 lelaki (Tafsir Ibn Kathir).

Walaupun terbukti perkasa, Musa berdoa agar kekuatannya tidak disalurkan ke lorong gelap dengan menjadi “macai atau algojo” manusia zalim.

Sebagaimana dinyatakan dalam Surah al-Qasas ayat 17 maksudnya: “(Musa berdoa lagi): “Wahai Tuhanku, demi nikmat-nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku, (peliharalah daku) supaya aku tidak akan menjadi penyokong kepada golongan yang bersalah.”

Si zalim yang dimaksudkan Nabi Musa dalam doanya itu bukan sahaja ayah angkatnya Firaun, tetapi lelaki kaki gaduh daripada bangsanya sendiri (Tafsir al-Qurtubi). Apa pula pengajaran untuk kita yang hidup pada zaman ini?

SALAH GUNA KEKUATAN

Pada zaman ini banyak sekali kita lihat orang yang ada sedikit kekuatan tunduk membuta tuli kepada ketua jahat. Apa sahaja arahan ketuanya yang bersifat binatang akan dituruti bak wahyu Tuhan lalu seteru ketuanya menjadi mangsa kezaliman. Ada sahaja orang yang tak bersalah merengkok dalam penjara atau jatuh tersungkur dan teraniaya.

Berapa ramai ‘teman sebangsa’ sanggup menutup mata hati menyokong pendirian salah temannya atas alasan “ini hari awak, besok mungkin hari saya. Hari ini saya jaga belakang awak walau terang-terang awak bersalah kerana esok mungkin awak pula akan menjaga belakang saya.”

Inilah yang dikatakan sokong membawa rebah. Rebahnya pula bukan rebah biasa tetapi rebah yang disambar api neraka.

Sebagaimana firman Allah maksudnya: “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang berlaku zalim maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain daripada Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.” (Hud: 113).

Bantulah diri kita dengan menyelamatkannya daripada disambar api neraka. Bantulah juga sahabat kita yang dizalimi dan yang menzalimi orang lain.

Bagaimana? Hayatilah sabda Rasulullah SAW ini: “Bantulah saudaramu yang berlaku zalim dan dizalimi. Para sahabat lalu bertanya: “Wahai Rasulullah! (betul dan logik) kami bantu yang ini kerana dia dizalimi, namun begitu mana mungkin kami membantu yang berlaku zalim? Rasulullah menjawab: Bantu (si zalim) dengan menghalangnya daripada berlaku zalim.” - Riwayat Bukhari

.............Pedoman.............

* Sedikit kuasa, tenaga yang dipinjamkan Allah hanya sementara.

* Jangan relakan kuasa dieksploitasi mana-mana manusia zalim kerana kelak menjadi sesalan.

* Bantu orang dizalimi dengan menyelesaikan kezaliman dihadapi.

* Bantu orang yang melakukan zalim dengan menghalang daripada melakukan perbuatan itu.

SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/iktibar-taubat-nabi-musa-a-s-1.530463#ixzz4thvurBJW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan