Ahad, 3 September 2017

Kisah hidup Nabi Yaakub



ARKIB : 06/10/2006
Kisah Al-Quran - Siri 10
SESUNGGUHNYA Kami telah memberikan wahyu kepadamu sebagaimana Kami telah memberikan wahyu kepada Nuh dan nabi-nabi yang kemudiannya, dan Kami telah memberikan wahyu kepada Ibrahim, Ismail, Ishak, Yaakub dan anak cucunya Isa, Ayub, Yunus, Harun dan Sulaiman. Dan Kami berikan Zabur kepada Daud. (an-Nisaa’: 163)

NABI Yaakub adalah anak Nabi Ishak bin Ibrahim. Ibunya bernama Rifqah binti A’zar. Nabi Yaakub mempunyai saudara kembar bernama ‘Aishu. Perwatakan ‘Aishu sangat berbeza dengan Nabi Yaakub. Dia mempunyai sifat yang tidak baik. Dia sangat memusuhi Nabi Yaakub malah mempunyai hasad dengki terhadapnya.

Nabi Yaakub yang sememangnya berhati mulia selalu dimanjakan oleh ibunya. Baginda menjadi anak yang paling disayangi. Ini membuatnya ‘Aishu berasa cemburu. Hubungan mereka berdua semakin renggang dan bertambah buruk. Tambahan pula Nabi Yaakub sentiasa diberkati dan didoakan oleh ayahnya, Nabi Ishak.

Melihat keadaan yang bertambah tegang dan sentiasa dimusuhi oleh ‘Aishu, Nabi Yaakub pun datang mengadu kepada ayahnya.

“Wahai ayahku, tolonglah beritahuku bagaimana untuk menghadapi ‘Aishu. Dia sangat membenciku dan berdendam denganku. Dia juga selalu menyindirku dengan kata-kata yang menyakitkan hati,” kata Yaakub.

“`Aishu marah kerana ayah selalu mendoakan aku supaya menjadi orang yang soleh, mudah mendapat rezeki dan sentiasa hidup bahagia,” sambung Yaakub lagi.

Nabi Ishak yang sudah tua pada masa itu mula berasa bimbang. Baginda bimbang hubungan kedua-dua anak kembarnya itu menjadi semakin teruk selepas kematiannya kelak. Baginda sudah masak benar perangai ‘Aishu.

Lalu Nabi Ishak berkata kepada Nabi Yaakub, “Wahai anakku, ayah sudah tua dan tidak mampu lagi untuk mempertahankan kamu. Bila-bila masa sahaja ayah akan meninggal dunia.

Ayah bimbang setelah ayah tiada, permusuhan ‘Aishu dengan kamu akan makin buruk dengan bantuan saudara-saudara iparnya yang berpengaruh. Jadi lebih baik kamu berhijrah ke rumah pakcik kamu di Fadan A’raam di Iraq. Kamu berkahwinlah dengan anak perempuannya. Semoga Allah memberkati perjalananmu.”

Nabi Yaakub dengan berat hati bersetuju dengan nasihat ayahnya itu. Hanya itu sahaja caranya untuk dia mengelakkan daripada dimusuhi oleh ‘Aishu. Selepas itu Nabi Yaakub bertolak ke Fadan A’raam. Sesampainya di sana, baginda dibawa berjumpa dengan pakciknya yang bernama Laban. Kedatangan Nabi Yaakub disambut dengan penuh gembira.

Nabi Yaakub menyampaikan pesanan ayahnya supaya dia berkahwin dengan anak pakciknya itu. Pakciknya bersetuju tetapi dengan satu syarat. Sebagai mas kahwin, Nabi Yaakub harus berkerja dengan pakciknya selama tujuh tahun. Nabi Yaakub tidak membantah. Pada tujuh tahun yang pertama, baginda berkahwin dengan Laiya, anak sulung pakciknya itu.

Seterusnya, selepas tujuh tahun kedua, baginda berkahwin pula dengan anak kedua pakciknya bernama Rahil. Pada waktu itu, hukum beristerikan dua wanita bersaudara masih belum diharamkan dalam agama. Selepas kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. barulah ia diharamkan.

Hasil perkahwinan Nabi Yaakub dengan dua orang adik-beradik itu, baginda dikurniakan 12 anak. Dua orang di antaranya ialah Nabi Yusuf dan Bunyamin.

lPetikan daripada Untaian 366 kisah daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-61379220/ 8396/7834 atau e-mel: edusb@streamyx.com

PENGAJARAN

*Dalam sesebuah keluarga, setiap anggotanya perlulah mengamalkan sikap sayang-menyayangi dan bertolak ansur di antara satu sama lain.

*Elakkan diri daripada perasaan hasad dengki kerana ia akan memutuskan ikatan persaudaraan.

PERBENDAHARAAN KATA

*perwatakan: keseluruhan sifat seseorang

*hasad dengki: cemburu

*renggang: tidak berapa rapat

*berpengaruh: berkuasa

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1006&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_04.htm#ixzz4rf1yb4NU
© Utusan Melayu (M) Bhd

1 ulasan:

  1. Salam. Saya telah baca kisah Nabi Yaakub dari ruangan ini. Penulisan yang padat dan ringkas. Saya memohon izin untuk copy paste serta membuat sedikit pemantapan di sana sini bagi menghasilkan ebook saya insyaAllah. ebook tersebut hanyalah untuk edaran keluarga dan dan kenalan saya sahaja. Jasa baik tuan sangat dihargai dan didahulukan dengan jazakallukhairan kasiro.

    BalasPadam