Jumaat, 22 September 2017

Sambutan dingin kaum ‘Ad kepada dakwah Nabi Hud



ARKIB : 30/03/2007
Kisah Al-Quran (SIRI 34)
ADAPUN kaum ‘Ad maka mereka menyombongkan diri di muka bumi tanpa alasan yang benar dan berkata: “Siapakah yang kekuatannya lebih besar daripada kami?”.

Dan apakah mereka itu tidak memperhatikan bahawa Allah yang menciptakan mereka adalah lebih besar kekuatannya daripada mereka? Dan adalah mereka mengingkari tanda-tanda (kekuatan) Kami. (Fussilat: 15)

KAUM ‘Ad memberi sambutan dingin terhadap dakwah Nabi Hud. Mereka menolak sekeras-kerasnya dakwah tersebut. Bagi kaum ‘Ad, seruan dan dakwah Nabi Hud itu merupakan suatu benda baru yang tidak pernah didengar oleh mereka.

Mereka juga menganggap ajaran yang dibawa Nabi Hud itu akan mengubah semua cara hidup, peraturan dan adat resam yang diwarisi daripada nenek moyang mereka dahulu kala.

Mereka mula tercengang-cengang dan hairan mengapa di celah-celah kaum mereka, lahir seorang yang berani mengubah adat resam serta serta agama yang dianuti mereka selama ini. Ia digantikan pula dengan sesuatu yang baru dan tidak dikenali oleh mereka pun. Lantaran itulah, mereka menolak sekeras-kerasnya ajaran Nabi Hud.

Mereka bukan sahaja menolak, malah Nabi Hud dilemparkan dengan kata-kata cacian dan maki hamun yang amat pedih. Mereka juga memberikan pelbagai alasan untuk tidak menerima ajaran Nabi Hud.

Kaum Ad’ juga sewenang-wenangnya menuduh Nabi Hud sebagai orang gila kerana mengajak mereka menyembah sesuatu yang tidak dapat diterima oleh akal. Berkali-kali mereka menggesa Nabi Hud agar kembali kepada agama asal dan menyembah apa yang mereka sembah. Mereka menganggap berhala yang disembah itu dapat menunaikan harapan dan rezeki yang melimpah ruah dalam kehidupan sehari-hari.

Kaum ‘Ad pernah berkata kepada Nabi Hud, “Wahai Hud! Ajaran dan agama apa yang engkau mahu ajarkan kepada kami? Engkau mahu kami beriman dan meninggalkan sembahan kami yang berkuasa ini dan menyembah Tuhanmu yang tidak dapat kami terima dengan akal? Ketahuilah wahai Hud, cara sembahan yang kami lakukan inilah yang diwarisi daripada nenek moyang kami dan kami sekali-kali tidak akan meninggalkannya. Sebaliknya kamulah yang harus kembali kepada ajaran nenek moyangmu. Janganlah cuba untuk mengubahnya lagi. Sesungguhnya ini tidak direstui oleh mereka.”

Walaupun kaum ‘Ad menolak ajaran dakwahnya, Nabi Hud tetap tidak berputus asa untuk mendidik kaumnya itu.

Firman Allah merakamkan kata-kata Nabi Hud: Sesungguhnya aku bertawakal kepada Allah, Tuhanku dan Tuhanmu. Tidak ada seekor binatang melata pun melainkan Dialah yang memegang ubun-ubunnya. Sesungguhnya Tuhanku di atas jalan yang lurus. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya aku telah menyampaikan kepadamu apa (amanat) yang aku diutus untuk menyampaikannya) kepadamu. Dan Tuhanku akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain; dan kamu tidak dapat membuat mudarat kepada-Nya sedikitpun. Sesungguhnya Tuhanku adalah Maha Pemelihara segala sesuatu. (Huud: 56-57)

* Petikan daripada buku Untaian 366 Kisah Daripada al-Quran, Edusystem Sdn. Bhd. Tel: 03-6137 9220 atau e-mel: edusb@streamyx. com.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0330&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_07.htm#ixzz4tQL4XDQW
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan